Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 1 Ogos 2015

TH jamin jemaah haji Malaysia terus nikmati subsidi

KOTA BHARU: Kos perlu dibayar jemaah muassasah yang bakal mengerjakan haji buat kali pertama dikekalkan pada kadar RM9,980 seorang walaupun kos sebenar ibadat tersebut terus meningkat setiap tahun.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Johan Abdullah berkata, kos sebenar ibadat haji pada tahun ini meningkat kepada RM17,270 seorang.

Tahun lalu kos sebenar ibadat haji adalah sebanyak RM16,115 setiap seorang.

Sehubungan itu katanya, TH perlu menanggung sebanyak 42 peratus daripada kos sebenar pada tahun ini bagi membolehkan jemaah haji dari Malaysia terus menikmati subsidi dan membayar pada harga sama.

“Daripada RM17,270 kos sebenar pada tahun ini, TH menanggung sebanyak RM7,290 bagi setiap jemaah muassasah bagi memastikan bayaran haji dikekalkan RM9,980 seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri 1436H/2015M membabitkan 1,500 bakal jemaah haji di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Tabung Haji negeri, Wahyudin Tamami.

Johan dalam pada itu memberitahu, pihak TH menghargai komitmen kerajaan PAS Kelantan dalam membantu melancarkan urusan penghantaran jemaah haji dari negeri ini.

Kata beliau, pada tahun ini, kerajaan negeri memberi peruntukan sebanyak RM230,000 bagi menjayakan enam penerbangan sewa khas secara ‘direct transit’ Kota Bharu – Kuala Lumpur – Madinah atau Jeddah.

“Penerbangan ini membabitkan 960 jemaah haji bermula 16 Ogos hingga 3 September.

“Diharap penerbangan ini diteruskan pada tahun-tahun akan datang bagi memberi keselesaan kepada jemaah haji dari negeri ini,” katanya. – 1 Ogos 2015.

Sumber: sokmo.net | 1 Ogos 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan