KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan bersedia untuk mengambil 
alih pengurusan sisa pepejal di negeri ini yang kini diurus Kerajaan Pas
 Kelantan bagi meningkatkan kecekapan operasi agar menjadi lebih 
sistematik.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar 
Mustapha berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak telah diadakan 
namun sehingga kini masih belum mencapai keputusan rasmi.
"Kerajaan Persekutuan sentiasa terbuka dan mahu membantu 
menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat Kelantan termasuk perihal 
berkaitan pengurusan sisa pepejal.
"Namun keputusan pengambilalihan pengurusan tersebut bergantung kepada perbincangan antara kedua-dua pihak," kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran 
Program Rakan Alam Sekitar Peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT) 
sempena sambutan Hari Bumi 2014 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), 
Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan, 
Muhibbah Selamat dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan 
Alumni), Prof. Madya Abdul Aziz Ab. Latif.
Makhtar memberitahu, Kerajaan Persekutuan menyalur peruntukan 
kira-kira RM21 juta setahun kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di 
negeri ini.
Tambah beliau, walaupun peruntukan terbabit diberikan kepada PBT namun pembelian peralatan diurus oleh kerajaan Persekutuan.
"Peruntukan itu bagaimanapun berbeza-beza bagi setiap daerah kerana bergantung kepada keperluan dan keluasan kawasan.
"Secara umum, bantuan asas telah diberikan kepada PBT untuk mencantik dan menghias landskap di Kelantan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Makhtar memberitahu, JAS Kelantan telah 
menubuhkan Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) di setiap kawasan Parlimen 
di negeri ini yang terdiri daripada komuniti setempat.
Kata beliau, kira-kira 15 orang Jawatankuasa Kemajuan dan 
Kese-lamatan Kampung (JKKK), komuniti keagamaan dan belia di setiap 
parlimen terlibat.
"Mereka ini akan memain peranan untuk menjadi mata dan telinga 
kepada JAS untuk melapor kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang.
"Sehubungan itu, diharap lebih ramai penduduk setempat akan menjadi 
Rakan Alam Sekitar untuk membantu JAS membanteras kegiatan-kegiatan yang
 merosak dan mencemar alam sekitar," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 22 April 2014 | Terbitan 23 April 2014 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan