Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 1 Oktober 2018

Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai tetap diteruskan demi rakyat

KOTA BHARU: Pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai tetap diteruskan demi kepentingan rakyat walaupun negara sedang menghadapi cabaran kewangan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir.

Beliau berkata tidak ada sebab projek pembinaan lebuh raya empat lorong sepanjang 73km itu hendak dibatalkan kerana pelaksanaannya berjalan lancar setakat ini.

"Semua projek atas kepentingan rakyat tetap kita teruskan dan tidak ada sebab kita berhentikan, cuma rakyat harus bersabar dengan kedudukan ekonomi sekarang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan gudang jualan Bina Paint Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status lebuh raya tersebut sama ada ditangguhkan pembinaan atau sebaliknya, berikutan masalah kewangan dihadapi negara.

Setakat ini, Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok melibatkan laluan sejauh 10.5km telah siap dan dibuka kepada pengguna mulai Ogos lepas, manakala pakej 2A (Kadok-Ketereh) dan pakej 2B (Ketereh-Kok Lanas) sedang dalam pembinaan.

Pakej 1B, 2A dan 2B merupakan fasa pertama daripada tiga fasa bagi projek lebuh raya itu yang dianggarkan melibatkan kos RM1.8 bilion.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bina Integrated Industries Sdn Bhd Rosli Adam berkata Bina Paint Kelantan adalah cawangan gudang jualan cat keluaran syarikat tersebut yang keempat selepas di Alor Setar, Kuantan dan Bandar Baru Bangi.

Beliau berkata Cat Bina Paint merupakan produk keluaran Bumiputera yang tidak mengandungi sebarang kandungan bercanggah dengan patuh syariah dan bebas daripada kandungan DNA Porcine.

Sumber: Bernama | 1 Oktober 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan