Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 27 Mei 2017

Kerajaan Kelantan lancar tong sampah buang dan tebus

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hari ini melancarkan tong sampah buang dan tebus bagi menggalakkan penduduk di negeri ini mengamalkan kitar semula dan membuang sampah secara tersusun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abd Fattah Mahmood berkata tong berkenaan merupakan rekaan anak tempatan dan yang pertama seumpamanya di negara ini.

"Menerusi tong sampah buang dan tebus ini, penduduk perlu mengumpulkan sekurang-kurangnya 50 unit barang terbuang yang boleh dikitar semula sebelum membuang bahan berkenaan ke dalam tong yang disediakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Madinah Ramada di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, hari ini.

Beliau berkata pengguna akan memperoleh resit yang boleh ditebus dengan wang tunai di kedai-kedai yang bakal dilantik kerajaan negeri selepas ini.

Abd Fattah berkata sebagai permulaan, kerajaan negeri akan menempatkan tong-tong berkenaan di beberapa pasar raya di jajahan ini sebelum Aidilfitri bagi mendidik masyarakat menjaga kebersihan tanpa mengira masa dan tempat.

Sementara itu, Pengurus Kitar Pro Management Tengku Mohd Fadhil Tengku Hamzah berkata buat permulaan pihaknya akan menempatkan lima tong berkenaan yang berharga antara RM2,000 dan RM4,000.

Beliau berkata inovasi yang dimulakan sejak 10 tahun lepas itu akan digunakan secara meluas di negara ini bagi mendidik masyarakat menjaga kebersihan.

Sumber: Bernama | 26 Mei 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan