Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 29 Jun 2016

Bomba Kelantan beri tumpuan tujuh laluan bahaya sempena Ops Raya

PASIR PUTEH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenal pasti tujuh laluan berisiko tinggi berlaku kemalangan jalan raya di negeri ini untuk diberi tumpuan dalam 'Ops Raya' bermula Rabu ini.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata jalan berkenaan ialah Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Jalan Jeli-Grik, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, Jalan Pasir Puteh-Jerteh, Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas, Jalan Tanah Merah-Pasir Mas dan Jalan Gua Musang-Merapuh.

"Laluan tersebut paling tinggi berlaku kemalangan sama ada mangsanya cedera atau maut, sepanjang sambutan Aidilfitri setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa anjuran Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh di sini, malam Ahad.

Azmi berkata arahan sudah dikeluarkan agar pasukan bomba di kawasan terbabit lebih kerap membuat rondaan sepanjang kempen sehingga seminggu selepas Aidilfitri.

Katanya selain itu, sembilan ambulans bomba dan enam anggota bomba bermotosikal kuasa tinggi akan membuat rondaan secara berkala ke laluan terbabit. "Sebuah kereta bomba ditempatkan 24 jam berhampiran Masjid Muhammadi, Kota Baharu, bagi laluan Kota Baharu-Pantai Cahaya Bulan yang dijangka berlaku kesesakan teruk di bandar Kota Baharu," katanya.

Azmi berkata 20 peratus daripada 500 anggota JBPM Kelantan akan dibekukan cuti mereka bagi menjayakan 'Ops Raya' berkenaan.

"Ini tidak termasuk hampir 100 anggota bomba bantuan yang akan digerakkan pada bila-bila masa, jika keadaan memerlukan," katanya.

Beliau berkata kesemua laluan utama itu akan menjadi sesak menjelang Aidilfiri apabila ramai rakyat Kelantan yang bekerja di luar negeri ini, pulang untuk menyambut perayaan itu di kampung.

Sumber: Bernama | 27 Jun 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan