Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 31 Mac 2014

Jambatan Gantung Sultan Ismail terbiar tanpa penyelenggaraan

NAMA Jambatan Gantung Sultan Ismail Sungai Nal mungkin kurang diketahui umum termasuk masyarakat di daerah ini kerana monumen ini lebih dikenali sebagai Gertak Gantung Sungai Nal dalam kalangan penduduk tempatan.

Jambatan yang mempunyai seni bina kukuh ini mempunyai nilai sejarah begitu bermakna kepada masyarakat di Kuala Krai kerana suatu ketika dulu, ia merupakan laluan utama menghubungkan penduduk sekitar Kota Bharu dengan daerah ini.

Terletak kira-kira 11 kilometer dari bandar Kuala Krai, jambatan itu  pernah menjadi jalan penghubung utama yang membantu sektor ekonomi masyarakat setempat khususnya dalam memasarkan hasil pertanian.

Dibuka kepada umum pada 19 April 1932, jambatan tersebut  dirasmikan sendiri oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad IV dan dinamakan bersempena nama baginda.

Reka bentuknya menyerupai kebanyakan jambatan yang terdapat di Eropah berdasarkan struktur binaannya menggunakan besi keluli yang begitu teguh dan kuat.

Jambatan berkenaan mempunyai ukuran panjang 21 meter dan lebar sembilan meter digantung menggunakan tali besi dengan ukur lilit 12 inci, dipintal di bahagian luar dengan dawai besi lebih kecil menampakkan seperti tali berpintal.

Unsur-unsur digunakan untuk memastikan keteguhan jambatan tersebut sekali gus memberikan ciri-ciri keunikan kepada Gertak Gantung Sungai Nal yang kekal sehingga ke hari ini.

Terbiar selepas jambatan baharu dibina

Bermula 1986, jambatan itu  tidak lagi digunakan setelah jambatan baharu berhampirannya siap dibina, menyebabkan jambatan yang begitu bermakna kepada penduduk dan  mempunyai nilai sejarah itu terbiar.

Jambatan berkenaan mampu menjadi salah satu produk pelancongan terkenal, bukan hanya di daerah ini malah kepada Kelantan secara umumnya sekiranya ia diberi penjagaan dan pemuliharaan sempurna.

Kini, Jambatan Gantung Sultan Ismail Sungai Nal yang menjadi simbol Daerah Kuala Krai dikhuatiri akan lenyap dalam lipatan sejarah negeri berikutan kayu lantai jambatan itu sudah semakin reput.

Pastinya jambatan tersebut  menyimpan begitu banyak nostalgia bagi orang lama di Daerah Kuala Krai dan penduduk di sini, terutama mereka yang pernah menggunakan jambatan berkenaan suatu ketika dahulu tidak mahu melihat ia terus dibiarkan begitu sahaja.

Dalam keadaan sekarang, ia dilihat seakan-akan tiada nilai kerana kawasan sekitarnya tidak diselenggarakan dengan sempurna berikutan tiada pihak bertanggungjawab memulihara kawasan itu.

Pernah terbakar

Kawasan yang mempunyai nilai sejarah ini pernah terbakar dipercayai berpunca daripada puntung rokok yang dibuang warga asing ketika dalam perjalanan untuk ke pasar malam tidak jauh dari kawasan tersebut.

Generasi baharu di Kuala Krai mahu kawasan ini dipulihara dan dijadikan kawasan tumpuan ramai kerana melihat ia berpotensi untuk dimajukan memandangkan lokasinya terletak di tengah-tengah laluan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

Anak jati Kuala Krai, Zuraihah Muhammad mengharapkan jambatan tersebut diselenggarakan dengan baik bagi mengelak warisan sejarah itu hanya tinggal nama dan berpendapat, kawasan yang mempunyai nilai begitu tinggi harus diabadikan dalam peta pelancongan negeri.

"Jambatan ini memang sudah tidak digunakan untuk tujuan perhubungan memandangkan telah ada jambatan baharu di sebelahnya. Namun ia mempunyai nilai tinggi dalam sejarah dan  industri pelancongan, malah ramai pengantin baharu memilih tempat ini untuk merakam momen indah dalam hidup mereka," katanya.

Sementara itu, seorang lagi anak jati Kuala Krai yang ditemui, Nazman Che Iberahim berkata, pelbagai kemudahan boleh dibina di kawasan jambatan berkenaan bagi memastikan warisan sejarah itu terus dapat dinikmati generasi seterusnya.

Katanya, sebagai contoh, restoran jejantas sepertimana terdapat di Ayer Keroh, Melaka boleh dibina di kawasan itu dan kemudahan kedai makan yang banyak di kawasan itu boleh menarik orang ramai untuk singgah di lokasi bersejarah tersebut setelah melalui perjalanan jauh.

"Sekiranya lokasi ini mempunyai pelbagai kemudahan, tidak mustahil ia akan maju. Orang ramai bukan sahaja boleh berhenti rehat malah boleh menikmati keindahan persekitaran kawasan ini yang masih dipenuhi tumbuhan hijau.

"Sekiranya kawasan Jambatan Gantung Sultan Ismail Sungai Nal ini belum diwartakan sebagai kawasan bersejarah, saya rasa pihak berkenaan perlu berbuat demikian dalam kadar segera," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 31 Mac 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan