Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 7 Mac 2015

Terminal Bersepadu Selatan: Hab bas ekspres sektor Selatan dan Pantai Timur

TERMINAL Bersepadu Selatan (TBS) terletak di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, iaitu sebuah bandar kecil yang terletak di bahagian selatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.  

TBS telah memulakan operasi pada 1 Januari 2011 sekali gus semua syarikat bas ekspres yang menawarkan perkhidmatan ke Wilayah Selatan dari Hentian Bas Pudu Sentral di pusat bandar raya Kuala Lumpur dipindahkan ke TBS. 

Pada 14 April 2013, kompleks terminal bersepadu ini telah dirasmikan oleh Y.A.B. Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. 

Mulai 1 Disember 2014 pula, semua operasi bas ekspres sektor Pantai Timur yang beroperasi di Hentian Bas Putra dipindakan ke TBS

Manakala mulai 9 Mac 2015 semua perkhidmatan bas sektor Pantai Timur yang masih mengambil dan menurunkan penumpang di Hentian Bas Greenwood tidak lagi dibenarkan berbuat demikan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan mereka diminta mengambil dan menurunkan penumpang di TBS sahaja

Langkah ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Batu Caves, iaitu lokasi Hentian Bas Greenwood berada sekali gus melancarkan perjalanan bas ke destinasi masing-masing tanpa berhenti mengambil atau menurunkan penumpang di sini. 

TBS merupakan hab bas ekspres terbesar di bandar raya kuala Lumpur yang menjadi nadi perkhidmatan bas ekspres yang menghubungkan bandar raya ini dengan bandar-bandar raya dan bandar-bandar utama di Wilayah Selatan (termasuk Singapura) dan Pantai Timur tanah air. 

Ia juga turut menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik ke Terminal KLIA 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang ditawarkan Jetbus untuk kemudahan penumpang. Untuk maklumat lanjut tentang perkhidmatan Jetbus, sila layari laman sesawang www.jetbus.com.my

Selain itu, terdapat juga beberapa buah syarikat bas ekspres yang beroperasi dari TBS yang menawarkan perkhidmatan ke Wilayah Utara. 

TBS dibahagikan kepada berapa ruang utama, iaitu lobi utama (pusat penjualan tiket), lobi perlepasan, dan lobi ketibaan. Jika anda membeli tiket selain di TBS tetapi mengambil bas dari TBS, anda perlu menukarkan tiket tersebut kepada pas masuk (boarding pass) secara percuma di sebuah kaunter yang disediakan di lobi utama terlebih dahulu. Hal ini kerana hanya penumpang yang mempunyai pas masuk sahaja yang dibenarkan memasuki lobi perlepasan oleh polis bantuan yang bertugas. 

Cara Ke Sini: TBS terletak di Bandar Tasik Selatan di bahagian selatan bandar raya Kuala Lumpur dan dihubungkan dengan tiga mod pengangkutan rel melalui Stesen Bandar Tasik Selatan, iaitu LRT Aliran Sri Petaling, KTM Komuter (Aliran Tanjung Malim - Sungai Gadut), dan KLIA Transit (ERL). Perkhidmatan bas ulang alik juga ada disediakan dari Hentian Bas Pudu Sentral dan Terminal KLIA 2 ke TBS ini.  Untuk maklumat lanjut tentang TBS, sila layari laman sesawang www.tbsbts.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan