Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 28 Mac 2014

Pas yakin MH370 dirampas

YAN: Pas yakin bahawa MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac lalu kemungkinan dirampas oleh individu tertentu. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tanda-tanda mengenai rampasan itu sudah ada.

“Kerajaan mesti mengesahkan bahawa MH370 telah dirampas, cuma kita belum tahu siapa yang lakukan perkara itu.

“Tanda-tanda terjadi itu ada sebab dia pesawat itu dibawa ke tempat yang sukar dan tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Ijtimak Ulama Pas Kedah di Markas Pas Kawasan Jerai, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau turut mendoakan supaya semua penumpang dan anak kapal MH370 selamat. “Saya doakan mudah-mudahan ada harapan untuk mereka selamat dan takziah kepada keluarga penumpang. “Takziah bukan bermaksud kematian saja, tetapi bencana yang menimpa ahli keluarga berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Nik Mohd Zawawi Saleh mengharapkan supaya ahli keluarga mangsa tabah dan kuatkan semangat.

“Sekiranya ditakdirkan penumpang pesawat MH370 mati, kita harap ALLAH SWT mengampunkan dosa-dosa mereka. “Dalam situasi ini juga, penumpang-penumpang dan anak kapal itu dikira sebagai syahid akhirat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | 27 Mac 2014

MH370: Tiada masalah ucap takziah, al-Fatihah - Mufti Kelantan

KOTA BHARU: Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad (gambar) menegaskan tiada masalah kepada umat Islam yang mengucapkan takziah, menyedekahkan al-Fatihah serta membacakan surah Yasin kepada penumpang pesawat MH370.

Sambil menggalakkan ikhtiar tersebut, beliau berkata, dengan bacaan al-Fatihah dan Yasin, ia membolehkan mereka yang melakukannya mendapat kebaikan, malah digalakkan mengucap takziah kerana ia terletak di bawah hukum mafkud.

“Kalau kes begini, kita panggil ia sebagai hukum mafkud, iaitu baru dianggap mati, yang mana pengesahan mati perlu dilakukan oleh mahkamah syariah.

“Jadi dalam kes MH370, pada peringkat ini ia hukum mafkud, dikira orang hilang yang dianggap mati atau bahasa lebih mudah, belum sahih meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak mempertikaikan ucapan takziah, bacaan Al-Fatihah dan surah Yasin kepada penumpang pesawat MH370 yang didakwa masih samar penemuannya.

Mohamad Shukri berkata, mengucapkan takziah memang perlu dibuat kerana ia ditujukan ketika berlaku perkara tidak disenangi termasuk kes kemalangan.

“Apa-apa musibah termasuk tragedi, tiada halangan untuk kita terus berdoa, ucap takziah, mengadakan tahlil dan membaca surah Yasin.

“Tahlil tidak semestinya untuk kematian, sebaliknya ia adalah salah satu zikir, jika dibuat akan dapat pahala kepada si mati dan orang berzikir,” katanya.

Justeru katanya, orang ramai dianjurkan meneruskan doa dan solat hajat bagi memudahkan urusan penemuan mencari kesan atau bangkai pesawat MH370.

Sementara itu, kata beliau, solat ghaib tidak boleh dilakukan pada masa ini memandangkan si mati perlu dimandikan terlebih dahulu oleh anak Nabi Adam (manusia).

“Kalau hilang atau tenggelam di laut, ia belum tentu dimandikan dan tidak boleh solat ghaib,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | 28 Mac 2014

Kerajaan Filipina dan MILF metrai perjanjian bersejarah

Kawasan di Mindanao yang menjadi wilayah autonomi bagi Bangsamoro.
MANILA: Kerajaan Filipina (GPH) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) pada Khamis membuka lembaran baharu bagi hubungan mereka sebelum ini yang ditandai dengan permusuhan dan sikap saling tidak mempercayai apabila mereka duduk semeja untuk menandatangani Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) bagi membuka jalan ke arah mencari penyelesaian politik di Mindanao.

Perjanjian penuh bersejarah yang diusahakan Malaysia ini berlangsung di perkarangan Istana Malacanang serta turut dihadiri Presiden Filipina Benigno Aquino III dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rundingan damai dengan MILF, yang bermula pada 1997, bertujuan menamatkan pemberontakan di wilayah selatan Filipina sejak tahun 1970-an, yang sehingga kini telah meragut lebih 100,000 nyawa.

Malaysia bertindak sebagai pemudah cara pihak ketiga dalam proses damai ini, dengan Kuala Lumpur mula menyertainya pada 2001.

Perjanjian damai GPH-MILF bermatlamat mewujudkan satu entiti politik berperintahan sendiri dikenali sebagai Bangsamoro, yang akan mempunyai lebih banyak kuasa politik dan ekonomi.

Entiti baharu ini akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao, sejajar dengan Undang-undang Asas Bangsamoro, yang akan diluluskan Kongres Filipina dan disahkan penduduk terbabit.

Ketika mengalu-alukan penandatanganan perjanjian itu, Najib berkata Malaysia akan terus membantu meningkatkan kemajuan Bangsamoro dalam usahanya untuk mewujudkan institusi, mengukuhkan pendidikan dan menambah baik sektor pertanian.

"Dua tahun lepas, saya berjanji kepada Presiden Aquino bahawa Malaysia akan terus memberi bantuan dari segi pembangunan. Janji ini terpakai selagi ia diperlukan. Malaysia akan terus menjadi rakan ke arah perdamaian.

Beliau berkata Malaysia bangga kerana dapat memainkan peranannya dalam proses damai Filipina-MILF, yang membantu mengukuhkan lagi ikatan kepercayaan antara Malaysia dan GPH.

"Apa yang kami inginkan hanyalah keamanan dan kemakmuran saudara kami di Bangsamoro dan Filipina. "Sambil kita mengharapkan masa depan lebih cerah untuk Bangsamoro, saya berikrar Malaysia akan terus memberi sokongannya. Kami akan terus memainkan peranan kami sebagai pemudah cara pihak ketiga dan terus berusaha melalui Pasukan Pemantauan Antarabangsa di Mindanao," katanya.

Najib yakin GPH akan terus bekerjasama dengan MILF dalam menyediakan deraf Undang-undang Asas Bangsamoro kerana sokongan semua pihak adalah penting sekiranya mereka ingin melihat ia diluluskan Kongres Filipina dan dalam pungutan suara di Bangsamoro.

Katanya CAB bersejarah itu menjamin hak rakyat Bangsamoro dan kedaulatan Filipina. "Kami berharap rakyat Bangsamoro akan bekerjasama dengan kerajaan Filipina dan MILF untuk menjamin kejayaannya.

Najib menggesa semua pihak supaya menghayati semangat dan kandungan perjanjian itu bagi memastikan wujudnya sikap hormat terhadap agama dan mengamalkan prinsip membenci keganasan dan mengamalkan kesederhanaan.

Hanya melalui penyelesaian yang dicapai secara rundingan, keamanan berkekalan boleh dinikmati dan hanya tadbir urus yang baik sahajalah yang boleh menjamin tercapainya cita-cita bersama kita: melihat Bangsamoro yang kuat dan makmur," kata beliau.

Najib menyifatkan penandatanganan perjanjian itu sebagai peristiwa bersejarah tentang keberanian dan yakin ia akan mengubah sejarah negara mereka.

"Dengan menyertai proses damai, MILF telah membalas kepercayaan yang diberi kepadanya oleh rakyat. Dengan berunding secara penuh keikhlasan, kerajaan Filipina mengesahkan hak Bangsamoro untuk menentukan nasib sendiri.

"Perpaduan tidak boleh dicapai dalam tempoh semalaman. Selepas bertahun-tahun, tidak terdapat jalan pintas mengenainya. Banyak lagi usaha perlu dilakukan dan akan terdapat halangan dalam melaksanakannya. Tetapi, komitmen terhadap keamanan - komitmen yang dapat saya lihat wujud di dalam dewan ini hari ini - tidak sepatutnya luntur," kata beliau.

Najib memuji usaha luar biasa yang dilakukan hingga membolehkan perjanjian itu ditandatangani, dengan kedua-dua pihak bekerja sepenuh hati untuk memastikan rakyat Bangsamoro dapat menikmati dividen keamanan yang tidak terhitung jumlahnya.

Sementara itu, beliau juga menyampaikan ucapan terima kasih atas sokongan negara jiran, termasuk Filipina dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang hilang sejak 8 Mac.

"Kehilangan 239 orang yang menaiki Penerbangan MH370 amat menyedihkan ...dalam menghadapi detik-detik sukar ini, kami mendapat kekuatan daripada bantuan dan ihsan negara-negara sahabat," katanya.
Sementara itu, dalam kenyataannya, Aquino berkata rakyat Filipina akan terhutang budi selama-lamanya kepada Malaysia dan kehadiran Malaysia memberi sinar kepada setiap peringkat perjanjian damai itu.

Ketika menzahirkan penghargaannya kepada semua negara yang terlibat menjadikan perjanjian damai itu suatu kenyataan, beliau berkata sesungguhnya, Malaysia, di bawah kepimpinan Najib, telah memainkan peranan penting.

"Kita sama-sama menunjukkan suatu contoh kepada seluruh dunia. Perjanjian ini menjadi bukti bahawa kepercayaan dan kesungguhan mampu menggerakkan sifat kemanusiaan ke tahap lebih jauh.

"Ia menunjukkan betapa kejujuran, perasaan muhibbah merupakan alat paling berkesan untuk menamatkan konflik, ia membuktikan bahawa usaha mencari kesepakatan pasti membawa hasil yang tidak terhitung banyaknya," kata beliau.

Sumber: mStar Online | 27 Mac 2014

Khamis, 27 Mac 2014

Pokku sedia lanyak Sangsayan

SEBUT saja nama Pokku (gambar) atau nama sebenarnya, Tengku Shahrizal Tengku Abdul Rahman, 29, pasti membuatkan lawannya kecut perut, lebih-lebih lagi apabila terbayang kepantasan dan kekuatan tumbukan serta tendangannya.

Begitu pun, Pokku yang membawa panji pasukan Kuda Merah akui tidak mengetahui secara terperinci lawan dari Thailand, Sangsayan menjelang Kejohanan Kuala Lumpur International Muaythai Challenge Super 4 Edition Series 2014 di Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Jumaat ini.

"Saya tak pernah jumpa beliau pada pertarungan sebelum ini. Tapi, saya sudah 80 peratus bersedia dan menjalani latihan bagi kekalkan kecergasan.

"Saya harap dengan sokongan penonton dan keluarga yang hadir ke stadium akan meningkatkan keyakinan di atas gelanggang nanti," katanya yang juga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pokku peninju tumpuan Jumaat ini yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan sudah beraksi sebanyak 210 kali dan hanya tewas lapan dan dua seri sepanjang perlawanan bagi kategori 60 kilogram.

Sumber: Sinar Harian | Sukan | 26 Mac 2014

Rabu, 26 Mac 2014

Pesawat Malindo Air berpatah balik selepas alami kebakaran

PETALING JAYA: Kemenangan pasukan bola sepak Terengganu bertukar tragis apabila pesawat penerbangan Malindo Air yang mereka naiki terpaksa berpatah balik kerana enjin turbin pesawat terbakar.

Pemain tengah Terengganu Faiz Subri menyiarkan gambar turbin yang terbakar dan berkata pesawat itu telah berpatah balik ke Lapangan Terbang Subang. Kesemua mereka di dalam kapal terbang selamat.

Kapal terbang itu dijadualkan kembali ke Kuala Terengganu pada Rabu selepas pasukan Terenggau menewaskan ATM FA 3-0 di Stadium Selayang pada Selasa.

Menurut Terengganu FA, pasukan itu mengambil penerbangan pagi ini dan salah seorang daripada ahli kakitangan berkata pemain-pemain telah menyiarkan gambar-gambar di laman media sosial mereka.

Sementara itu, Malindo Air dalam satu kenyataan media mengesahkan kapten penerbangan itu telah berpatah balik ke Lapangan Terbang Subang setelah telah sistem pengesan kebakarannya memberi amaran kebakaran.

Ketika itu penerbangan berada di paras 7,000 kaki. Semua penumpang selamat dan mereka dipindahkan ke penerbangan lain ke Terengganu.

Menurut kenyataan tersebut, punca kebakaran masih disiasat dan pihaknya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa dan syarikat enjin dan pembuatan.
 
Sumber: mStar Online | 26 Mac 2014

Enjin terbakar, pesawat Malindo Air berpatah balik

SHAH ALAM: Sebuah pesawat Malindo Air dalam perjalanan dari Subang ke Kuala Terengganu terpaksa berpatah balik sejurus selepas berlepas kerana kebakaran enjin.

Dalam insiden jam 7.30 pagi itu, kesemua penumpang penerbangan, termasuk pasukan bola sepak Liga Super Terengganu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Malindo Air dalam satu kenyataan menyebut kejadian itu berlaku ketika pesawat itu mendaki pada ketinggian 7,000 kaki.

"Sistem pengesan kebakaran diaktifkan dan krew operasi serta-merta melaksanakan semakan kecemasan seperti prosedur operasi standard dalam situasi ini," kenyataan itu dipetik.

Satu kenyataan di laman web Terengganu FA menyebut, pasukan pemain itu menaiki penerbangan ganti ke Kuala Terengganu pada jam 10 pagi ini.

Mereka baru pulang selepas menewaskan pasukan Angkatan Tentera Malaysia di Stadium Selayang semalam.

Sumber: Sinar Harian | Terkini | 26 Mac 2014

Persatuan Sukan Boksing Kelantan mohon stadium

Mohammad Agus (tiga, kanan) menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan Sukan Boksing Kelantan tahunan kali pertama, semalam.
RANTAU PANJANG: Persatuan Sukan Boksing Kelantan memohon kerajaan negeri bagi membina stadium boksing untuk kegunaan ahli.

Presiden Persatuan, Datuk Mohammad Agus Mohd Noor berkata, stadium boksing itu kelak dapat digunakan untuk kejohanan peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Selain itu beliau berkata, kemudahan baharu itu akan memudahkan lebih 5,000 ahli gabungan antara ahli boksing dengan ahli Seni Silat Gayong Malaysia dan Seni Silat Sekebun Malaysia mengadakan sesi latihan bersama.

“Boksing bukan sahaja menjadi sukan kegemaran penduduk di Kelantan, malah kita turut berjaya menyumbang lima pingat emas dan dua gangsa dalam sukan Sukma tahun lalu.

“Maka pembinaan stadium ini amat diperlukan oleh semua ahli dari 10 jajahan seluruh negeri,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan kali pertama, semalam.

Beliau berkata, sepanjang tahun lepas sahaja, sebanyak 46 kejohanan sukan boksing diadakan di beberapa daerah, antaranya Rantau Panjang, Tumpat, Tanah Merah dan Kota Bharu.

Hasil kerjasama erat daripada Jabatan Belia dan Sukan serta kerajaan negeri katanya, persatuan itu berjaya melahirkan atlit sukan boksing dalam kalangan golongan muda.

“Tidak mustahil, sekiranya pembinaan stadium dan bantuan peruntukan sebanyak RM50,000 disalurkan, kita dapat menggilap lebih ramai belia dalam bukan ini. “Seterusnya, meraih lebih banyak pingat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa kelak,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Mac 2014