Kawasan di Mindanao yang menjadi wilayah autonomi bagi Bangsamoro. |
MANILA: Kerajaan Filipina (GPH) dan Barisan
Pembebasan Islam Moro (MILF) pada Khamis membuka lembaran baharu bagi
hubungan mereka sebelum ini yang ditandai dengan permusuhan dan sikap
saling tidak mempercayai apabila mereka duduk semeja untuk
menandatangani Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) bagi
membuka jalan ke arah mencari penyelesaian politik di Mindanao.
Perjanjian penuh bersejarah yang diusahakan Malaysia ini berlangsung
di perkarangan Istana Malacanang serta turut dihadiri Presiden Filipina
Benigno Aquino III dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Rundingan damai dengan MILF, yang bermula pada 1997, bertujuan
menamatkan pemberontakan di wilayah selatan Filipina sejak tahun
1970-an, yang sehingga kini telah meragut lebih 100,000 nyawa.
Malaysia bertindak sebagai pemudah cara pihak ketiga dalam proses damai ini, dengan Kuala Lumpur mula menyertainya pada 2001.
Perjanjian damai GPH-MILF bermatlamat mewujudkan satu entiti politik
berperintahan sendiri dikenali sebagai Bangsamoro, yang akan mempunyai
lebih banyak kuasa politik dan ekonomi.
Entiti baharu ini akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao,
sejajar dengan Undang-undang Asas Bangsamoro, yang akan diluluskan
Kongres Filipina dan disahkan penduduk terbabit.
Ketika mengalu-alukan penandatanganan perjanjian itu, Najib berkata
Malaysia akan terus membantu meningkatkan kemajuan Bangsamoro dalam
usahanya untuk mewujudkan institusi, mengukuhkan pendidikan dan menambah
baik sektor pertanian.
"Dua tahun lepas, saya berjanji kepada Presiden Aquino bahawa
Malaysia akan terus memberi bantuan dari segi pembangunan. Janji ini
terpakai selagi ia diperlukan. Malaysia akan terus menjadi rakan ke arah
perdamaian.
Beliau berkata Malaysia bangga kerana dapat memainkan peranannya
dalam proses damai Filipina-MILF, yang membantu mengukuhkan lagi ikatan
kepercayaan antara Malaysia dan GPH.
"Apa yang kami inginkan hanyalah keamanan dan kemakmuran saudara kami di Bangsamoro dan Filipina. "Sambil kita mengharapkan masa depan lebih cerah untuk Bangsamoro,
saya berikrar Malaysia akan terus memberi sokongannya. Kami akan terus
memainkan peranan kami sebagai pemudah cara pihak ketiga dan terus
berusaha melalui Pasukan Pemantauan Antarabangsa di Mindanao," katanya.
Najib yakin GPH akan terus bekerjasama dengan MILF dalam menyediakan
deraf Undang-undang Asas Bangsamoro kerana sokongan semua pihak adalah
penting sekiranya mereka ingin melihat ia diluluskan Kongres Filipina
dan dalam pungutan suara di Bangsamoro.
Katanya CAB bersejarah itu menjamin hak rakyat Bangsamoro dan kedaulatan Filipina. "Kami berharap rakyat Bangsamoro akan bekerjasama dengan kerajaan Filipina dan MILF untuk menjamin kejayaannya.
Najib menggesa semua pihak supaya menghayati semangat dan kandungan
perjanjian itu bagi memastikan wujudnya sikap hormat terhadap agama dan
mengamalkan prinsip membenci keganasan dan mengamalkan kesederhanaan.
Hanya melalui penyelesaian yang dicapai secara rundingan, keamanan berkekalan boleh dinikmati dan hanya tadbir urus yang baik sahajalah yang boleh menjamin
tercapainya cita-cita bersama kita: melihat Bangsamoro yang kuat dan
makmur," kata beliau.
Najib menyifatkan penandatanganan perjanjian itu sebagai peristiwa
bersejarah tentang keberanian dan yakin ia akan mengubah sejarah negara
mereka.
"Dengan menyertai proses damai, MILF telah membalas kepercayaan yang
diberi kepadanya oleh rakyat. Dengan berunding secara penuh keikhlasan,
kerajaan Filipina mengesahkan hak Bangsamoro untuk menentukan nasib
sendiri.
"Perpaduan tidak boleh dicapai dalam tempoh semalaman. Selepas
bertahun-tahun, tidak terdapat jalan pintas mengenainya. Banyak lagi
usaha perlu dilakukan dan akan terdapat halangan dalam melaksanakannya.
Tetapi, komitmen terhadap keamanan - komitmen yang dapat saya lihat
wujud di dalam dewan ini hari ini - tidak sepatutnya luntur," kata
beliau.
Najib memuji usaha luar biasa yang dilakukan hingga membolehkan
perjanjian itu ditandatangani, dengan kedua-dua pihak bekerja sepenuh
hati untuk memastikan rakyat Bangsamoro dapat menikmati dividen keamanan
yang tidak terhitung jumlahnya.
Sementara itu, beliau juga menyampaikan ucapan terima kasih atas
sokongan negara jiran, termasuk Filipina dalam usaha mencari pesawat
Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang hilang sejak 8 Mac.
"Kehilangan 239 orang yang menaiki Penerbangan MH370 amat menyedihkan
...dalam menghadapi detik-detik sukar ini, kami mendapat kekuatan
daripada bantuan dan ihsan negara-negara sahabat," katanya.
Sementara itu, dalam kenyataannya, Aquino berkata rakyat Filipina
akan terhutang budi selama-lamanya kepada Malaysia dan kehadiran
Malaysia memberi sinar kepada setiap peringkat perjanjian damai itu.
Ketika menzahirkan penghargaannya kepada semua negara yang terlibat
menjadikan perjanjian damai itu suatu kenyataan, beliau berkata
sesungguhnya, Malaysia, di bawah kepimpinan Najib, telah memainkan
peranan penting.
"Kita sama-sama menunjukkan suatu contoh kepada seluruh dunia.
Perjanjian ini menjadi bukti bahawa kepercayaan dan kesungguhan mampu
menggerakkan sifat kemanusiaan ke tahap lebih jauh.
"Ia menunjukkan betapa kejujuran, perasaan muhibbah merupakan alat
paling berkesan untuk menamatkan konflik, ia membuktikan bahawa usaha
mencari kesepakatan pasti membawa hasil yang tidak terhitung banyaknya,"
kata beliau.
Sumber: mStar Online | 27 Mac 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan