Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 28 Jun 2014

Felixia Yeap peluk Islam pada 5 Ramadan 1435H

"SAYA akan mengucap pada 5 Ramadan ini, iaitu pada 3 Julai ini (Khamis)," kata model pakaian Muslimah, Felixia Yeap (gambar), ketika menjadi panel  jemputan di Program Semarak Ramadan anjuran kerajaan Negeri Selangor di Dataran Shah Alam malam ini.

Felixia berkata, tarikh 5 Ramadan dipilih kerana ia jatuh pada hari ulang tahun kelahirannya.

"...5 Ramadan iaitu jatuh pada  3 Julai ini iaitu pada hari 'birthday' saya, hari itu juga merupakan hari kegemaran Nabi Muhammad," katanya.

Ketika berbicara mengenai puasa, Felixia berpesan supaya umat Islam Malaysia tidak meninggalkan puasa.

Sementara bercakap mengenai ciri-ciri suami idamannya, Felixia berharap lelaki itu seorang yang mampu membawanya ke jalan syurga.

"Biarlah beliau seorang yang mampu membimbing saya ke jalan jannah," katanya.

Sumber: Sinar Harian | 27 Jun 2014

Seorang wanita ditemui dikurung di sebuah bilik di Kg. Pasir Pekan Hulu, Tumpat

Nazitah (tengah) dipercayai dikurung lebih 10 tahun.

TUMPAT: Satu lagi kes kecuaian dan penderaan dilaporkan apabila seorang wanita yang mengalami Sindrom Down ditemui dikurung dalam sebuah bilik kecil dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan.

Wanita yang dipercayai berusia 30-an itu diselamatkan oleh polis dan Jabatan Kebajikan Daerah pada Khamis berikutan laporan orang awam.

Dipercayai mangsa dipaksa hidup di bilik kecil di sebuah rumah sejak 10 tahun lalu di Kampung Pasir Pekan Hulu.

Mangsa dikenali sebagai Nazitah diselamatkan dalam keadaan terbiar dipenuhi dengan najis dan air kencing selepas pihak berkuasa terpaksa memotong jeriji pintu masuk sebelum menjumpai bilik yang terselindung itu.

Ketua Polis Daerah Supritendan Zaharuddin Rasip berkata, polis sedang mencari lelaki yang dipercayai abang mangsa untuk mendapatkan maklumat mengenai perkara ini selepas jiran memaklumkan kepada polis dan jabatan kebajikan pada pukul 3.30 petang.

"Apabila polis dan pegawai  jabatan tiba di rumah itu, kami mendapati wanita itu dalam keadaan yang menyedihkan dan tidak bermaya.

"Keadaan bilik tersebut gelap dan hasil siasatan mendapati mangsa bertahan untuk hidup dengan meminum air daripada sumber luaran," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

"Siasatan kami juga menunjukkan bahawa saudara mangsa tinggal berhampiran," kata Supt Zaharudin.

"Kami cuba untuk mengesan saudara mangsa untuk mengetahui mengapa wanita itu dikurung. "Menurut jiran, mangsa dikurung kerana tidak mahu dia berkeliaran.

"Tetapi bilik terlalu kecil dan  mangsa telah dibiarkan untuk menyara diri sendiri," kata beliau sambil menambah bahawa mangsa telah dihantar ke hospital daerah untuk rawatan.

Seorang penduduk, Rubiah Abdullah, 54, berkata dia sedih melihat wanita itu dikurung seperti itu dan percaya bahawa mangsa telah dikunci untuk kebaikan sendiri.

Kes Nazitah ini ditemui  seminggu selepas seorang remaja orang kurang upaya Muhammad Firdaus Dullah ditemui dalam keadaan menyedihkan di sebuah rumah yang kotor.

Sumber: mStar Online | 28 Jun 2014

Jumaat, 27 Jun 2014

Usia 95 tahun masih gigih kayuh beca demi impian tunai haji

Omar masih mengayuh beca biarpun sudah berusia 95 tahun. Foto: Sinar Harian
KOTA BHARU: Meskipun mencecah usia 95 tahun, Omar Osman tetap meneruskan rutin harian mengayuh beca yang menjadi punca rezekinya membesarkan sembilan anak sejak 40 tahun lepas.
   
Warga emas ini tetap bersemangat meneruskan pekerjaan bermandikan keringat itu demi impian untuk mengerjakan haji dengan hasil mengayuh beca.
   
Pengayuh beca tertua di Kelantan ini bersyukur dengan kesihatan baik hasil daripada pekerjaannya itu yang menurutnya merupakan senaman semula jadi.
   
"Sepatutnya pada usia emas ini pakcik dah boleh berhenti memandangkan duit bulanan anak-anak dah sediakan, tetapi disebabkan hasrat pakcik untuk ke tanah suci dengan hasil duit mengayuh, jadi pakcik lebih bersemangat.
   
"Anak-anak turut membantu menyediakan duit untuk tujuan tersebut dan pakcik harap ada pihak dapat membantu mempercepatkan hasrat pakcik ini," katanya ketika ditemui di perkarangan Pasar Siti Khadijah, di sini.

Masih menggunakan beca usang dan berkarat yang dibelinya pada harga RM1,200 pada 40 tahun lalu itu, Omar berkata beca itu banyak berjasa kepadanya dalam menyara keluarga dan memberi pelajaran kepada anak-anaknya.
   
"Kayuh beca ini adalah senaman semulajadi, menyihatkan dan memberi pendapatan.
   
"Rugi anak-anak muda yang mengganggur dan masih banyak tenaga tidak menjadikan pekerjaan kayuh beca sebagai kerjaya...jadi pengayuh beca bergantung kepada rezeki," katanya yang kini tinggal di Kampung Sungai Keladi di sini.
   
Menurutnya, tiga daripada anaknya telah meninggal dunia manakala isterinya telah kembali ke rahmahtullah beberapa tahun lepas.
   
Katanya keadaan sekarang adalah amat jauh berbeza berbanding ketika mula menjadi pengayuh pada tahun 1970-an.

"Kalau dahulu pakcik mengayuh dengan jarak jauh tetapi belum tentu untuk dapat RM3, tetapi kini dengan jarak yang dekat pakcik dah dibayar sebanyak RM3.
   
"Ada juga pelanggan memberikan upah antara RM3 hingga RM10 sekali perjalanan di bandar Kota Baharu, selain RM50 sebagai tanda penghargaan dalam jarak yang dekat," katanya.
   
Omar berharap hasratnya untuk mengerjakan haji akan tercapai dan berdoa agar diberikan kesihatan baik untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Sumber: Bernama | 27 Jun 2014

Wanita sindrom down dikurung bawah rumah di Kg. Pasir Pekan Hulu, Tumpat

TUMPAT: Seorang wanita yang menghidap sindrom down ditemui dikurung di sebuah bilik kecil di bawah rumah keluarganya di Kampung Pasir Pekan Hulu di sini.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharuddin Rasip berkata, mangsa yang berusia 30-an itu dipercayai dikurung adik-beradiknya dalam sebuah bilik berukuran 5.8 meter persegi dan setinggi lebih dua meter sejak 10 tahun yang lalu selepas kematian ibu bapa mereka.

"Pihak polis terpaksa memotong jeriji besi bilik berkenaan untuk mengeluarkan mangsa setelah menerima maklumat dari orang ramai pada pukul 3.30 petang tadi," katanya kepada pemberita di rumah berkenaan.

Beliau berkata, ketika ditemui anggota keluarga mangsa tidak berada di rumah itu dan maklumat awal yang diperoleh, mangsa dijaga oleh abangnya yang tinggal berdekatan rumah berkenaan.

"Kita ingin siasat kenapa dia dikurung dan maklumat awal kita dapati mangsa dikurung kerana bimbang mangsa merayau di tempat awam," katanya.

Zaharuddin berkata, wanita itu telah dihantar ke Hospital Tumpat. Seorang penduduk Rubiah Abdullah, 54, berkata anggota keluarga mangsa mengurung mangsa dipercayai kerana tidak mahu dia keluar merayau-rayau.

Sumber: Bernama | 27 Jun 2014

MDPP bangun bandar baharu di Tok Bali

KOTA BHARU: Tok Bali yang kini merupakan pelabuhan perikanan utama di Pantai Timur bakal berubah wajah tidak lama lagi apabila kawasan seluas 2.5 ekar dibangun sebagai bandar baharu.

Majlis Daerah Pasir Puteh dengan Syarikat Pingat Harmoni Sdn Bhd akan membina 13 kedai dua tingkat dan 27 rumah teres dua tingkat.

Hasil kerjasama tersebut MDPP akan mendapat dua unit kedai dan enam unit rumah teres, di mana kesemuanya bernilai RM2.5 juta.

Perjanjian kerjasama projek berkenaan ditandatangani antara MDPP dengan Pingat Harmoni disaksikan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah di sebuah hotel di sini, semalam.

Pada perjanjian terbabit MDPP diwakili Yang Dipertuanya, Mat Jusoh Hussin, Setiausaha MDPP, Mohd Shargowi Derahman dan Ketua Whip, Che Bisi Hassan, manakala syarikat berkenaan pula diwakili Ketua Pengarah Eksekutifnya, Md Rasid Mohamad.

Mohd Amar ketika berucap pada majlis itu berkata, majlis-majlis daerah di Kelantan digalakkan mencari pelaburan baru bagi membangunkan kawasan di bawah pentadbiran mereka.

“Projek pembangunan baharu rumah kedai dan perumahan wajar dilaksanakan di tempat-tempat yang berpotensi menjadi tarikan ramai.

“Selain mendapat manfaat kepada majlis-majlis daerah, masyarakat setempat juga mendapat limpahan pembangunan,” ujarnya.

Pelabuhan juga sedang dibina di Tok Bali. Selain itu terdapat banyak jeti pendaratan ikan di sepanjang Terusan Tok Bali termasuk dimiliki Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia .

Sumber: Harakah Daily | 27 Jun 2014

Penagihan dadah: Pencegahan lebih penting

Hamidah (tengah) bersama Ilias (dua, kanan), Ibrahim Abd Ghani (kanan) selepas menandatangani plak sempena lawatan ke bangunan baharu bengkel pembuatan roti CCRC Bachok, kelmarin.
BACHOK: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menganggap aspek pencegahan lebih penting berbanding rawatan yang menelan kos lebih tinggi dalam usaha mengekang penagihan dadah di negara ini.

Ketua Pengarah AADK, Suhaimi Abdullah berkata, dari 1988 sehingga kini, terdapat 345,000 penagih dadah direkodkan di seluruh negara dan jumlah itu menunjukkan peningkatan setiap tahun sama ada melibatkan kes berulang atau kes baharu.

"Kini terdapat 5,000 penagih ditempatkan di 18 pusat pemulihan atau Cure and Care Rehab Centre (CCRC). Untuk pulih sepenuhnya agak sukar dan perlu kos tinggi setiap tahun bagi membiayai mereka di pusat. Setiap tahun kerajaan peruntukan RM280 juta untuk kos pengurusan.

"Saya rasa tidak praktikal untuk kita buat ceramah beramai-ramai mengenai dadah. "Lebih baik kita dapatkan data, fokus lokasi strategik dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah, penghulu, imam dan pemimpin tempatan untuk langkah pencegahan lebih efektif," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Lawatan Bersama Isteri Menteri Dalam Negeri, Datin Seri Hamidah Khamis ke CCRC Bachok, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah AADK Kelantan, Ibrahim Abd Ghani; Pengarah CCRC Bachok, Siti Rugayah Ismail dan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat CCRC, Datuk Dr Ilias Husain.

Mengulas pecahan negeri utama yang mempunyai kadar penagihan dadah paling tinggi, beliau memaklumkan, antara negeri tertinggi ialah Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Katanya, Kelantan mempunyai kira-kira 2,500 penagih di bawah pengawasan dan jumlah itu berpotensi untuk meningkat disebabkan faktor negeri ini berhampiran sempadan negara jiran yang didominasi pil kuda.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 27 Jun 2014

Lebuh raya bantu ekonomi Kelantan

Mohd Amar (dua, kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Yang Dipertua MDPP, Mat Jusoh Hussin (kanan) dengan Ketua Pengarah Eksekutif Pingat Harmoni Sdn Bhd, Md Rasid Mohamad.
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berharap pembinaan jajaran lebuh raya baharu menghubungkan Singapura dan negara Indo-China dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya, lebuh raya yang akan melalui Kelantan itu membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

“Saya sudah mendapat maklumat awal mengenai pembinaan lebuh raya yang akan dilaksanakan Kerajaan Persekutuan itu dan yang menariknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhasrat memulakan pembinaannya di negeri ini.

“Saya difahamkan lebuh raya itu bermula di Sungai Ris, Singapura iaitu lokasi jambatan kedua negara itu dan ia bersambung dengan Lebuh Raya Pantai Timur," katanya.

Mohd Amar berkata, ia memasuki Kelantan melalui Tok Bali, Pasir Puteh, Bachok serta Pengkalan Kubor, Tumpat dan memasuki Thailand sehingga ke Vietnam dan mungkin ke China.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Di Antara Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) Dengan Syarikat Pingat Harmoni Bagi Projek Pembangunan Bercampur Di Mukim Semerak, Pasir Puteh di Hotel Perdana, di sini, semalam.

Menurutnya, jika lebuh raya itu menjadi kenyataan, ia semestinya membantu pertumbuhan ekonomi negeri ini dan menarik kedatangan lebih ramai pelancong.

“Sebahagiannya akan melibatkan pengambilan tanah, manakala sebahagian hanya membabitkan penggunaan tanah untuk tiang kerana lebuh raya itu nanti lebih banyak menggunakan jalan atas.

“Saya membayangkan lokasi jalan susur keluar dari lebuh raya itu akan membangun sekali gus menjadikan negeri ini lebih padat kegiatan ekonominya.

“Kita amat bersetuju pembinaan lebuh raya ini dan kerajaan negeri tunggu taklimat rasmi dan maklumat terperinci mengenainya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 27 Jun 2014