Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 27 Jun 2014

Usia 95 tahun masih gigih kayuh beca demi impian tunai haji

Omar masih mengayuh beca biarpun sudah berusia 95 tahun. Foto: Sinar Harian
KOTA BHARU: Meskipun mencecah usia 95 tahun, Omar Osman tetap meneruskan rutin harian mengayuh beca yang menjadi punca rezekinya membesarkan sembilan anak sejak 40 tahun lepas.
   
Warga emas ini tetap bersemangat meneruskan pekerjaan bermandikan keringat itu demi impian untuk mengerjakan haji dengan hasil mengayuh beca.
   
Pengayuh beca tertua di Kelantan ini bersyukur dengan kesihatan baik hasil daripada pekerjaannya itu yang menurutnya merupakan senaman semula jadi.
   
"Sepatutnya pada usia emas ini pakcik dah boleh berhenti memandangkan duit bulanan anak-anak dah sediakan, tetapi disebabkan hasrat pakcik untuk ke tanah suci dengan hasil duit mengayuh, jadi pakcik lebih bersemangat.
   
"Anak-anak turut membantu menyediakan duit untuk tujuan tersebut dan pakcik harap ada pihak dapat membantu mempercepatkan hasrat pakcik ini," katanya ketika ditemui di perkarangan Pasar Siti Khadijah, di sini.

Masih menggunakan beca usang dan berkarat yang dibelinya pada harga RM1,200 pada 40 tahun lalu itu, Omar berkata beca itu banyak berjasa kepadanya dalam menyara keluarga dan memberi pelajaran kepada anak-anaknya.
   
"Kayuh beca ini adalah senaman semulajadi, menyihatkan dan memberi pendapatan.
   
"Rugi anak-anak muda yang mengganggur dan masih banyak tenaga tidak menjadikan pekerjaan kayuh beca sebagai kerjaya...jadi pengayuh beca bergantung kepada rezeki," katanya yang kini tinggal di Kampung Sungai Keladi di sini.
   
Menurutnya, tiga daripada anaknya telah meninggal dunia manakala isterinya telah kembali ke rahmahtullah beberapa tahun lepas.
   
Katanya keadaan sekarang adalah amat jauh berbeza berbanding ketika mula menjadi pengayuh pada tahun 1970-an.

"Kalau dahulu pakcik mengayuh dengan jarak jauh tetapi belum tentu untuk dapat RM3, tetapi kini dengan jarak yang dekat pakcik dah dibayar sebanyak RM3.
   
"Ada juga pelanggan memberikan upah antara RM3 hingga RM10 sekali perjalanan di bandar Kota Baharu, selain RM50 sebagai tanda penghargaan dalam jarak yang dekat," katanya.
   
Omar berharap hasratnya untuk mengerjakan haji akan tercapai dan berdoa agar diberikan kesihatan baik untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Sumber: Bernama | 27 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan