Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 15 Februari 2015

Pencuri sumbat lembu ke dalam kereta Proton Saga ditangkap

Suspek yang berjaya ditangkap penduduk sebelum diserahkan kepada pihak polis. Seekor lembu yang disumbat di tempat duduk belakang kereta Proton Saga.
BACHOK: Seorang lelaki berjaya ditangkap penduduk kampung ketika cuba melarikan lembu yang diletakkan di tempat duduk belakang sebuah kereta di Sungai Binjai, dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, ketika kejadian penternak lembu mengesyaki sesuatu apabila dua buah kereta dilihat memasuki kawasan ternakan lembu pada jam 12 tengah malam semalam.

Beliau berkata, penduduk terpaksa mengejar dua buah kereta iaitu Proton Wira dan Saga itu sebelum menahannya namun semua suspek cuba melarikan diri.

“Terdapat dua lelaki dalam setiap kereta yang masing-masing membawa seekor lembu di tempat duduk belakang. Seorang suspek berjaya ditangkap penduduk dan tiga lagi berjaya melarikan diri.

“Suspek yang ditahan seorang lelaki Melayu berusia 22 tahun mengaku terlibat mencuri lembu di sekitar Kelantan untuk pasaran tempatan terutamanya Pasir Mas. 

Suspek mengaku ada ketua yang mendalangi kegiatan itu lebih setahun lalu. Kami masih memburu tiga lagi suspek,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Gunong semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

Beliau berkata, kes kecurian lembu ini disebabkan terdapat permintaan tinggi terhadap daging lembu tempatan terutamanya apabila menjelang musim perayaan.

Katanya, rekod tahun lalu menunjukkan terdapat 22 kes kecurian lembu di Bachok dan sehingga Februari ini pula sudah empat kes dilaporkan.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 15 Februari 2015

150 rumah mangsa banjir dibina semula di Jajahan Kuala Krai

KUALA KRAI: Kerajaan Persekutuan akan membina semula 150 rumah yang musnah akibat banjir di Jajahan Kuala Krai dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman berkata pembinaan rumah berkenaan boleh dilakukan dengan cepat kerana pemiliknya mempunyai tanah sendiri untuk didirikan rumah.

"Baki 1,200 lagi rumah yang musnah masih dalam peringkat rundingan dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan tapak kerana pemilik rumah tidak mempunyai tanah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang ehsan bencana banjir Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pahi di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 1,548 mangsa banjir sebilangan besarnya penoreh getah yang tinggal di kawasan Dun Manek Urai masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM500 sumbangan Kumpulan Wang Amanah Bencana Negeri Kelantan.

Ramzi yang juga Adun Dabong dan Ketua Umno Bahagian Kuala Krai berkata, sebuah jawatankuasa khas di peringkat Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai sudah ditubuh untuk mempercepatkan urusan penyediaan tapak rumah kepada mangsa banjir.

"Mereka sebelum kejadian banjir yang berlaku Disember tahun lalu, membina rumah di kawasan tanah simpanan (rizab) kepunyaan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan kawasan rizab sungai.

Ramzi berkata dalam tempoh terdekat, beliau akan menemui pihak Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai untuk menentukan tanah yang sesuai untuk pembinan rumah kepada mangsa banjir.

Beliau percaya kerajaan negeri masih mempunyai banyak kawasan yang strategik yang terletak di pinggir bandar Kuala Krai untuk dijadikan kawasan penempatan baharu kepada mangsa banjir.

Sumber: BERNAMA | 14 Februari 2015

Ikutlah sunah nabi ketika ziarah pusara Tok Guru Nik Aziz

Pusara Tok Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat di Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan. 
KOTA BHARU: Nik Mohamad Abduh, anak Allahyarham Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan orang ramai supaya mengikut sunah Nabi Muhammad SAW ketika menziarahi pusara ayahnya itu.

Beliau berkata orang ramai diminta untuk tidak melakukan perkara yang boleh dianggap sebagai khurafat ketika menziarahi pusara Allahyarham.

"Saya nasihat kepada rakyat Malaysia yang datang ziarah hendaklah menepati sunah Nabi Muhammad SAW kerana ziarah keluarga dan tok guru adalah sama.

"Perlu berdoa dan mengambil peringatan untuk diri sendiri, jangan tambah (melakukan) benda yang bersifat bidaah dan khurafat kerana ia akan membatalkan amalan soleh kita sendiri," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka di sini, hari ini.

Nik Mohamad Abduh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin kononnya terdapat segelintir masyarakat yang mengambil tanah di pusara berkenaan untuk dijadikan azimat dan sebagainya.

Tinjauan Bernama di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka di sini, mendapati orang ramai tidak henti-henti menziarahi pusara bekas Menteri Besar Kelantan itu.

Beliau meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka pada 9.40 malam, Khamis ketika berusia 84 tahun.

Anggota Dewan Undangan Negeri Chempaka itu dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian di sini, kira-kira 8.40 malam hari yang sama setelah dirawat di hospital itu sejak 19 Januari lepas kerana kanser prostat.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, pada 11.30 pagi semalam.

Sumber: Bernama | 14 Februari 2015

Mejar Zaidi pilih sertai PAS

Zaidi Ahmad
PETALING JAYA: Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dipecat, Mejar Zaidi Ahmad akhirnya membuat keputusan untuk menyertai PAS, lapor beberapa portal berita. 

Zaidi, yang sebelum ini pernah mengumumkan beliau akan menyertai Pakatan Rakyat selepas dia dipecat, berkata dia memilih PAS kerana parti itu lebih dekat dengan Islam. 

Zaidi juga dilaporkan berkata dia berharap dapat memainkan peranan untuk menyatukan Pakatan Rakyat yang dilihat berhadapan dengan banyak krisis dalaman lewat kebelakangan ini. 

"Saya akan cuba memainkan peranan untuk menyatakan Pakatan, terutamanya ketika hendak menghadapi pilihan raya umum," katanya yang dipetik sebagai berkata. 

Beliau dilaporkan berkata Pakatan sedang berhadapan dengan kepayahan selepas Ketua Pembangkang, Datuk Anwar Ibrahim dipenjarakan, namun beliau berharap apa pemimpin baharu yang dapat menyatukan ketiga-tiga parti. 

Pada 12 Januari lalu Mejar Zaidi didapati bersalah di Mahkamah Tentera di atas dua dakwaan melanggar protokol semasa mendedahkan masalah dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya umum Mei 2013 dan dihukum buang kerja daripada perkhidmatan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sumber: mStar Online | 14 Februari 2015

Semua perniagaan di Kota Bharu diarah tutup ketika Solat Jumaat

KOTA BHARU: Selepas Terengganu memperkenalkan langkah menutup pusat beli-belah selama dua jam pada hari Jumaat, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam kini memperkenalkan langkah yang hampir sama.

Ia telah mengarahkan semua premis perniagaan dan tidak terhad kepada yang mempunyai peniaga beragama Islam sahaja untuk membuat penutupan dari pukul 12.30 tengahari hingga pukul 2 petang pada setiap hari Jumaat.

Surat bertarikh 14 Januari dan ditandatangani oleh Setiausaha Majlis Rosnazli Amin, memberi amaran bahawa tindakan akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi arahan tersebut dan telah diedarkan kepada semua perniagaan.

Walau bagaimanapun, arahan itu telah menimbulkan kemarahan di kalangan ahli perniagaan bukan Islam, yang ingin dikecualikan daripada peraturan baharu ini.


"Semua pekerja saya adalah bukan Islam. Jika saya menutup perniagaan selama dua jam setiap minggu, saya akan mengalami kerugian.

"Selama ini, saya mendapat untung paling banyak pada hari Jumaat apabila semua kedai lain ditutup.

"Saya tidak nampak sebarang sebab untuk saya menutup kedai kerana saya tidak mempunyai pekerja Islam," kata seorang ahli perniagaan, yang enggan namanya disiarkan.

Beliau memiliki beberapa buah restoran di sini. Seorang lagi ahli perniagaan berkata premis perniagaan bukan Islam tanpa pekerja Islam hendaklah dibenarkan beroperasi seperti biasa.

"Pekeliling terkini yang dikeluarkan menunjukkan seolah-olah pihak berkuasa cuba menjerat leher kami dengan memaksa kami mengikut ideologi Islam.

"Kita harus dikecualikan daripada perintah itu. Ia adalah tidak perlu dan tidak sesuai, " kata seorang lagi ahli perniagaan yang menguruskan sebuah restoran tidak halal, namun enggan namanya disiarkan.

Timbalan Ketua MCA Kelantan Tan Ken Ten berkata adalah tidak perlu sama sekali untuk melibatkan entiti perniagaan tidak halal dalam peraturan baharu itu, sambil menegaskan bahawa waktu solat bagi umat Islam adalah bersamaan dengan waktu makan tengah hari untuk orang lain.

"Ia akan menjadi sesuatu yang janggal untuk pelanggan. Sebelum ini, semua entiti perniagaan kecuali premis tidak halal boleh membuka perniagaan semasa solat Jumaat. "
Sekarang, ia telah menjadi mandatori untuk semua; jika tidak, lesen dan permit mereka tidak akan diperbaharui atau lebih teruk lagi, mereka perlu membayar denda, "katanya. 
Ken Ten berkata walaupun bukan satu masalah bagi perniagaan untuk menghormati umat Islam memelihara solat Jumaat, majlis hendaklah menggunakan budi bicaranya kerana ia akan menyusahkan dan tidak menjadi keperluan untuk melibatkan entiti perniagaan tidak halal.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Abdul Fattah Mahmood tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.

Sumber: mStar Online | 15 Februari 2015

Jumaat, 13 Februari 2015

Pemergian Nik Aziz dianggap kehilangan besar buat pimpinan ulama dan arena politik negara

KOTA BHARU: Pemergian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan kehilangan besar kepada pimpinan ulama dan arena politik negara, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Namun beliau berkata PAS akan meneruskan perjuangan parti meskipun kehilangan Allahyarham.

"(Pemimpin) Yang pergi (meninggal dunia) akan berganti, tetapi tidak mungkin sama dengan yang telah pergi," katanya ketika menziarah jenazah Allahyarham Nik Abdul Aziz di Masjid Pulau Melaka di sini.

Antara pemimpin pembangkang yang turut menziarah ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Sementara itu Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata jasa dan pengorbanan Nik Aziz akan sentiasa dikenang kerana beliau merupakan pendokong penubuhan Pakatan Rakyat.

Beliau melahirkan rasa kagum dengan kehidupan sederhana yang diamalkan bekas menteri besar Kelantan itu dan berkata ia wajar dijadikan teladan buat semua.

"Saya mewakili kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan takziah ke atas keluarga beliau.

"Kehilangan pemimpin PAS tersohor ini sememangnya kami rasai kerana dia disegani semua lapisan masyarakat baik pemimpin besar termasuklah bukan Islam," katanya.

Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu berkata Allahyarham Tok Guru merupakan seorang ketua yang hebat serta disegani semua pihak dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar.

Allahyarham meninggal di kediamannya di Pulau Melaka pada pukul 9.40 malam tadi.

Sumber: BERNAMA | 13 Februari 2015

Allahyarham Nik Abdul Aziz pemimpin Islam dikagumi - Tengku Abdullah

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia malam tadi di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Baharu.

"Al-Fatihah ... Tok Guru Nik Aziz seorang pemimpin Islam yang dikagumi dan dihormati," titah baginda dalam kumpulan media sosial pegawai-pegawai baginda.

Tengku Mahkota Pahang telah menitahkan Setiausaha Sulit Khas baginda, Left Kol (B) Nor Hashim mengutus ucapan takziah daripada baginda sekeluarga kepada keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz.

Baginda turut menitahkan semua masjid di Pahang supaya mengadakan majlis bacaan yasin dan tahlil untuk Allahyarham selepas solat Jumaat hari ini.

Titah baginda itu dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Khas baginda kepada semua imam masjid di seluruh Pahang awal pagi ini.

Sementara itu, lebih 2,000 jemaah Masjid Lapang Besar di sini mengadakan tahlil untuk Allahyarham selepas solat Jumaat sebagaimana titah Tengku Mahkota Pahang.

Nik Abdul Aziz, 84, yang juga Mursyidul Am PAS dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka meninggal dunia di kediamannya di Pulai Melaka di sini pukul 9.40 malam tadi selepas dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 19 Jan lalu kerana kanser prostat.

Di KOTA BAHARU, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kerajaan negeri dan rakyat Kedah berkongsi kesedihan dengan rakyat Kelantan yang kehilangan pemimpin kesayangan mereka.

"Saya sebagai mewakili rakyat Kedah, mengucapkan takziah kepada rakyat Kelantan terutama keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada upacara pengebumian jenazah Nik Abdul Aziz di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka Jumaat.

Mukhriz berkata soal politik yang berbeza tidak menghalang rakyat kedua-dua negeri berkongsi kesedihan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pemergian allahyarham merupakan satu kehilangan yang besar buat negara.

"Ia merupakan satu kehilangan besar bagi negara meskipun kami berbeza pendapat dari segi politik dan aliran parti tetapi sebagai Muslim kami rasai kehilangannya.

"Beliau (Allahyarham) mendidik masyarakat dan umat Islam dalam pendekatan dakwah, saya bagi pihak kerajaan mengucapkan takziah kepada anggota keluarga (Allahyarham," katanya.

Di ALOR SETAR, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyatakan pemergian ke rahmatullah Nik Abdul Aziz merupakan suatu kehilangan yang besar kepada umat Islam di nusantara dan dunia.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Allahyarham telah meninggalkan khazanah ilmu serta kebijaksanaan sebagai seorang pendakwah.

"Kami meletakkan Almarhum sebagai guru umat yang sangat besar jasanya bukan sahaja dalam arena politik Islam malah dalam pentarbiyahan umat yang sangat mendalam kesannya," katanya dalam kenyataan.

Sumber: BERNAMA | 13 Februari 2015