Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 13 Februari 2015

Pemergian Nik Aziz dianggap kehilangan besar buat pimpinan ulama dan arena politik negara

KOTA BHARU: Pemergian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan kehilangan besar kepada pimpinan ulama dan arena politik negara, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Namun beliau berkata PAS akan meneruskan perjuangan parti meskipun kehilangan Allahyarham.

"(Pemimpin) Yang pergi (meninggal dunia) akan berganti, tetapi tidak mungkin sama dengan yang telah pergi," katanya ketika menziarah jenazah Allahyarham Nik Abdul Aziz di Masjid Pulau Melaka di sini.

Antara pemimpin pembangkang yang turut menziarah ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Sementara itu Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata jasa dan pengorbanan Nik Aziz akan sentiasa dikenang kerana beliau merupakan pendokong penubuhan Pakatan Rakyat.

Beliau melahirkan rasa kagum dengan kehidupan sederhana yang diamalkan bekas menteri besar Kelantan itu dan berkata ia wajar dijadikan teladan buat semua.

"Saya mewakili kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan takziah ke atas keluarga beliau.

"Kehilangan pemimpin PAS tersohor ini sememangnya kami rasai kerana dia disegani semua lapisan masyarakat baik pemimpin besar termasuklah bukan Islam," katanya.

Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu berkata Allahyarham Tok Guru merupakan seorang ketua yang hebat serta disegani semua pihak dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar.

Allahyarham meninggal di kediamannya di Pulau Melaka pada pukul 9.40 malam tadi.

Sumber: BERNAMA | 13 Februari 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan