KOTA BHARU: Selepas Terengganu memperkenalkan langkah menutup pusat beli-belah selama dua jam pada hari Jumaat, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam kini memperkenalkan langkah yang hampir sama.
Ia telah mengarahkan semua premis perniagaan dan tidak terhad kepada yang mempunyai peniaga beragama Islam sahaja untuk membuat penutupan dari pukul 12.30 tengahari hingga pukul 2 petang pada setiap hari Jumaat.
Surat bertarikh 14 Januari dan ditandatangani oleh Setiausaha Majlis Rosnazli Amin, memberi amaran bahawa tindakan akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi arahan tersebut dan telah diedarkan kepada semua perniagaan.
Walau bagaimanapun, arahan itu telah menimbulkan kemarahan di kalangan ahli perniagaan bukan Islam, yang ingin dikecualikan daripada peraturan baharu ini.
"Semua pekerja saya adalah bukan Islam. Jika saya menutup perniagaan selama dua jam setiap minggu, saya akan mengalami kerugian.
"Selama ini, saya mendapat untung paling banyak pada hari Jumaat apabila semua kedai lain ditutup.
"Saya tidak nampak sebarang sebab untuk saya menutup kedai kerana saya tidak mempunyai pekerja Islam," kata seorang ahli perniagaan, yang enggan namanya disiarkan.
Beliau memiliki beberapa buah restoran di sini. Seorang lagi ahli perniagaan berkata premis perniagaan bukan Islam tanpa pekerja Islam hendaklah dibenarkan beroperasi seperti biasa.
"Pekeliling terkini yang dikeluarkan menunjukkan seolah-olah pihak berkuasa cuba menjerat leher kami dengan memaksa kami mengikut ideologi Islam.
"Kita harus dikecualikan daripada perintah itu. Ia adalah tidak perlu dan tidak sesuai, " kata seorang lagi ahli perniagaan yang menguruskan sebuah restoran tidak halal, namun enggan namanya disiarkan.
Timbalan Ketua MCA Kelantan Tan Ken Ten berkata adalah tidak perlu sama sekali untuk melibatkan entiti perniagaan tidak halal dalam peraturan baharu itu, sambil menegaskan bahawa waktu solat bagi umat Islam adalah bersamaan dengan waktu makan tengah hari untuk orang lain.
"Ia akan menjadi sesuatu yang janggal untuk pelanggan. Sebelum ini, semua entiti perniagaan kecuali premis tidak halal boleh membuka perniagaan semasa solat Jumaat. "
Sekarang, ia telah menjadi mandatori untuk semua; jika tidak, lesen dan permit mereka tidak akan diperbaharui atau lebih teruk lagi, mereka perlu membayar denda, "katanya.
Ken Ten berkata walaupun bukan satu masalah bagi perniagaan untuk menghormati umat Islam memelihara solat Jumaat, majlis hendaklah menggunakan budi bicaranya kerana ia akan menyusahkan dan tidak menjadi keperluan untuk melibatkan entiti perniagaan tidak halal.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Abdul Fattah Mahmood tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.
Sumber: mStar Online | 15 Februari 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan