Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 15 Februari 2015

150 rumah mangsa banjir dibina semula di Jajahan Kuala Krai

KUALA KRAI: Kerajaan Persekutuan akan membina semula 150 rumah yang musnah akibat banjir di Jajahan Kuala Krai dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman berkata pembinaan rumah berkenaan boleh dilakukan dengan cepat kerana pemiliknya mempunyai tanah sendiri untuk didirikan rumah.

"Baki 1,200 lagi rumah yang musnah masih dalam peringkat rundingan dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan tapak kerana pemilik rumah tidak mempunyai tanah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang ehsan bencana banjir Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pahi di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 1,548 mangsa banjir sebilangan besarnya penoreh getah yang tinggal di kawasan Dun Manek Urai masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM500 sumbangan Kumpulan Wang Amanah Bencana Negeri Kelantan.

Ramzi yang juga Adun Dabong dan Ketua Umno Bahagian Kuala Krai berkata, sebuah jawatankuasa khas di peringkat Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai sudah ditubuh untuk mempercepatkan urusan penyediaan tapak rumah kepada mangsa banjir.

"Mereka sebelum kejadian banjir yang berlaku Disember tahun lalu, membina rumah di kawasan tanah simpanan (rizab) kepunyaan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan kawasan rizab sungai.

Ramzi berkata dalam tempoh terdekat, beliau akan menemui pihak Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai untuk menentukan tanah yang sesuai untuk pembinan rumah kepada mangsa banjir.

Beliau percaya kerajaan negeri masih mempunyai banyak kawasan yang strategik yang terletak di pinggir bandar Kuala Krai untuk dijadikan kawasan penempatan baharu kepada mangsa banjir.

Sumber: BERNAMA | 14 Februari 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan