Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 22 Februari 2015

Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-21, Kota Bharu, Kelantan, 28 Feb - 1 Mac 2015

KUALA LUMPUR: Menteri-Menteri Ekonomi negara-negara anggota ASEAN akan bermesyuarat di Kota Bharu, Kelantan dari 28 Februari hingga 1 Mac untuk merancang usaha-usaha ke arah penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (ASEAN Economic Community - AEC).

Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-21 itu, salah satu daripada mesyuarat-mesyuarat ASEAN dianjurkan bersempena kepimpinan ASEAN oleh Malaysia pada 2015, akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Ini merupakan acara tahunan diadakan bertujuan membolehkan menteri-menteri ASEAN itu menilai dan meneliti pencapaian keseluruhan proses integrasi serantau itu selain mempertimbang dan membincangkan inisiatif-inisiatif baru.

Mesyuarat kali ini sangat penting memandangkan menteri-menteri akan memberi tumpuan kepada memastikan semua langkah yang telah ditetapkan dalam Pelan Tindakan AEC tercapai.

AEC akan direalisasikan menjelang 31 Disember 2015. Ia disasarkan untuk mewujudkan sebuah pasaran tunggal dan sebagai pusat pengeluaran rantau ini bertujuan mengukuhkan lagi kemajuan dan kemakmuran ASEAN.

Saranan-saranan daripada sektor swasta dan kebimbangan berhubung persepi wujudnya peningkatan halangan-halangan bukan tarif (non-tariff barriers) terhadap perdagangan di rantau ini akan menjadi salah satu agenda utama di dalam perbincangan mereka.

Menteri-menteri ASEAN itu dijangka mempertimbang dan memberikan panduan berhubung kerja-kerja merangka Visi dan Pelan Ekonomi Pasca-2015 ASEAN.

Ini merupakan satu lagi hasil utama (deliverable) bagi menteri-menteri berkenaan di mana semua pihak berkepentingan mempunyai harapan tinggi bahawa ASEAN akan menghasilkan satu pelan baru dan berani pada penghujung tahun ini untuk menetapkan hala tuju integrasi serantau yang lebih mendalam pada dekad mendatang.

Pemukiman menteri-menteri ekonomi ASEAN ini akan didahului oleh Mesyuarat Kali ke-8 Kumpulan Kerja Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN berhubung Visi Ekonomi Pasca-2015 dan Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi.

Sebagai Pengerusi dan tuan rumah, Mustapa akan mengambil peluang sempena pemukiman ini untuk mendapatkan sokongan negara-negara anggota ASEAN bagi beberapa acara sampingan yang bakal diadakan di Malaysia.

Ini termasuklah:

a) Persidangan Pembaharuan Peraturan Asia Tenggara (Southeast Asia Regulatory Reform Conference), 9-12 Mac 2015;

b) Pameran dan Persidangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ASEAN 2015 (ASEAN SME Showcase and Conference), 26-28 Mac 2015;

c) Persidangan Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ASEAN Business and Investment Summit), November 2015; dan

d) Beberapa sidang kemuncak berkaitan belia dan usahawan muda ASEAN (Several ASEAN Youth and Young Entrepreneurs related summits).

Program penuh aktiviti pemukiman ini boleh diperoleh melalui http://mrem.bernama.com/mrembm/pdf/7722(B).pdf.

Sumber: BERNAMA | 18 Februari 2015

Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Kota Bharu tumpu pelaksanaan pelan tindakan AEC

KOTA BHARU: Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-21 mulai 28 Februari hingga 1 Mac ini akan memberi tumpuan kepada memastikan semua langkah yang ditetapkan di dalam Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) tercapai.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dalam satu kenyataan. menyatakan AEC akan direalisasikan menjelang 31 Disember depan dan bertujuan mewujudkan sebuah pasaran tunggal dan sebagai pusat pengeluaran bagi mengukuhkan lagi kemajuan dan kemakmuran ASEAN.

"Saranan daripada sektor swasta dan kebimbangan berhubung persepsi wujudnya peningkatan halangan bukan tarif terhadap perdagangan di rantau ini akan menjadi satu daripada agenda utama perbincangan .

"​Menteri-menteri juga dijangka mempertimbang dan memberikan panduan berhubung kerja-kerja merangka Visi dan Pelan Ekonomi Pasca-2015 ASEAN.

"Semua pihak mempunyai harapan tinggi bahawa ASEAN akan menghasilkan satu pelan baharu dan berani pada penghujung tahun ini untuk menetapkan hala tuju bagi integrasi serantau untuk dekad akan datang," menurut kenyataan itu.

​Pemukiman adalah acara tahunan yang bertujuan membolehkan Menteri Ekonomi ASEAN menilai dan mengambil maklum tentang pencapaian keseluruhan proses integrasi serantau selain mempertimbang dan membincangkan inisiatif baharu.

Menurut kenyataan itu, pemukiman Menteri Ekonomi ASEAN akan didahului oleh mesyuarat kelapan Kumpulan Kerja Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN berhubung Visi Ekonomi Pasca-2015 dan Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi.

Sebagai pengerusi dan tuan rumah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, akan mengambil peluang untuk mendapatkan sokongan negara anggota ASEAN bagi beberapa acara sampingan yang bakal diadakan di Malaysia, termasuk Persidangan Pembaharuan Peraturan Asia Tenggara pada 9 hingga 12 Mac ini.

"Selain itu, Pameran dan Persidangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ASEAN 2015 akan diadakan pada 26 hingga 28 Mac, Persidangan Perniagaan dan Pelaburan ASEAN pada November dan beberapa sidang kemuncak berkaitan belia dan usahawan muda Asean," menurut kenyataan itu.

Sumber: BERNAMA | 18 Februari 2015

Rabu, 18 Februari 2015

Kafa jual tiket secara dalam talian

SELEPAS hampir setiap perlawanan dihantui dengan kehadiran ulat tiket, kini peminat The Red Warriors (TRW) tidak perlu beratur panjang untuk mendapatkan tiket setiap perlawanan musim ini.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa melalui entri Facebooknya sebagai berkata, penyokong dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan bagi mengelak daripada gejala ulat tiket yang semakin berleluasa dalam setiap perlawanan.

“Tidak perlu membeli daripada ulat, tidak perlu beratur panjang, tidak perlu tunggu hari perlawanan, Kafa sudah pun melancarkan penjualan tiket secara online (dalam talian) bagi semua perlawanan liga musim ini,” katanya semalam.

Menurutnya, laman www.ticketnow.com.my akan membantu orang ramai membeli dengan mudah selain turut dimuatkan jadual perlawanan dan tarikh kutipan tiket dan sebagainya.

Annuar melalui entrinya sebelum ini turut berkongsi perlawanan Liga Super Kelantan menentang Lion XII kelmarin yang dicemari dengan insiden penjualan tiket melalui ulat ini.

“Ternyata tiket yang dijual adalah tiket asal, persoalannya dari mana (tiket)? Kawalan jumlah penyokong akan menjadi sukar jika berlaku ketirisan.

“Harap pihak pengurusan (Kafa) buat laporan kepada pihak Jawatankuasa Intergriti, Polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat puncanya, kepada mereka yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan pembelian tiket online akan ditutup dua hari sebelum perlawanan berlangsung, maka pembelian lebih awal disarankan bagi memastikan urusan bersama ulat tiket dapat dielakkan.
 
Sumber: Sinar Harian | Sukan | 18 Februari 2015

Selasa, 17 Februari 2015

Kereta sewa di Kelantan paling daif

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyifatkan kereta sewa di Kelantan antara paling daif.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar (gambar) berkata, ia berlaku ekoran beberapa kekangan dihadapi pengusaha teksi dari segi pendapatan dan kebajikan.

Menurutnya, atas dasar itu SPAD tidak menetapkan jangka hayat atau had sesebuah kereta sewa kerana pihaknya sedia maklum masalah dihadapi.

“Kereta sewa di Kelantan antara paling teruk dan cukup daif, mahu tukar kepada yang baharu bukan murah, tambah pula dengan pengusahanya yang sudah berumur lebih 50 tahun.

“Bila dah berusia, kebanyakan pengusaha kereta sewa persendirian ini susah nak pinjam atau bayar balik pinjaman,” katanya kepada media ketika program misi bantuan banjir fasa 2 di Stesen Persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Teksi dan Kereta Sewa, kelmarin. Turut hadir, Presiden Persatuan Kereta Sewa Kelantan, Ramli Mat Yacob.

Beliau berkata, SPAD ambil langkah proaktif menyelami masalah dihadapi pengusaha kereta sewa dengan bertemu persatuan di setiap negeri.

“Penurunan harga minyak memang beri impak positif dan turut membantu pengusaha kereta sewa tapi tidak sepenuhnya. Kos tayar, insurans dan membaikinya amat mahal bagi kereta berusia lebih 20 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, pihak juga akan kemukakan setiap aduan daripada persatuan pemandu kereta sewa kepada pihak berkuasa, antaranya mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan jika melakukan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Ditanya mengenai perkembangan pengangkutan awam, khususnya kereta api yang terjejas banjir, beliau berkata, pegawai SPAD telah meninjau dan membuat laporan berkaitan laluan kereta api yang rosak teruk di Gua Musang dan Kuala Krai.

“Laporan dah dapat daripada pihak SPAD yang selia bahagian landasan, kita akan tengok macam mana nanti untuk baiki bergantung keadaan kerosakannya, untuk pulih sepenuhnya mungkin ambil masa setahun,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 16 Februari 2015

Ahad, 15 Februari 2015

Polis rampas dadah bernilai lebih RM50,000 di Kota Bharu

Ketua Polis Daerah Kota Baharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan bungkusan air ketum dan pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam serbuan berasingan di sekitar Kota Baharu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini, hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Polis merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000 dalam Ops Bersepadu Cegah Jenayah Khas di sekitar daerah Kota Baharu, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Rohaimi Md Isa berkata tiga suspek berusia 25 hingga 52 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan yang dijalankan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kota Baharu.

"Kami menahan seorang lelaki berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kampung Betong Seberang di sini dan menemui 10 botol plastik bertudung kuning dipercayai dadah, 230 pil kuda dan 0.3 gram ganja yang keseluruhannya bernilai RM51,600.

"Suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kami percaya dengan tertangkapnya suspek ini, kami berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Pasir Mas dan Kota Baharu," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu di sini, Ahad.

Rohaimi berkata dua lagi suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kampung Belukar Jenerih dan Kampung Wakaf Stan di sini.

"Kami merampas 600 pil kuda dan tiga botol cerah berisi serbuk putih dipercayai dadah yang jumlah keseluruhan bernilai RM7,350," katanya.

Rohaimi berkata kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pada 11 Feb lalu pihaknya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun kerana menjual 32 bungkus air daun ketum di rumahnya di Kampung Bukit China di sini.

"Suspek ditahan pada 8 malam dan kami percaya suspek memperoleh bekalan air ketum dari Kemaman, Terengganu. Ia dijual kepada pelanggan tetap dengan setiap satu berharga RM20," katanya.

Sumber: BERNAMA | 15 Februari 2015

Pembinaan 24 rumah kekal untuk mangsa banjir di Tanah Merah dilancar

TANAH MERAH: Pengerusi Jawatankuasa Bersama Bencana Banjir Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed pada Ahad melancarkan pembinaan rumah untuk mangsa banjir yang kehilangan tempat kediaman mereka baru-baru ini di Kampung Panjang, Gual Ipoh di sini.

Mustapa berkata pembinaan sebanyak 24 rumah bertiang setinggi lapan kaki itu dijangka siap dalam tempoh enam minggu dan diharap dapat didiami mereka terbabit sebelum Ramadan depan.

"Keutamaan kini adalah bagi mangsa banjir yang mempunyai hak milik ke atas tanah dan di Kelantan, sebanyak satu pertiga daripada kira-kira 2,600 mangsa yang kehilangan rumah mempunyai milikan tanah sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu.

Turut hadir anggota Parlimen Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abd Aziz dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pembinaan dua jenis model rumah - binaan bertiang dan binaan terletak (tidak bertiang).

Rumah berkenaan bernilai RM48,000 dan mempunyai tiga bilik tidur, ruang makan, ruang tamu, satu tandas dan satu bilik mandi.

Mengulas mengenai mangsa banjir yang tidak mempunyai milikan tanah sendiri, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pihaknya telah mengenalpasti beberapa lokasi yang sesuai untuk penempatan mereka.

"Saya akan bermesyuarat dengan Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) dalam masa terdekat ini untuk lihat tempat-tempat yang dikenal pasti dan kerajaan negeri telah bersetuju," katanya.

Sumber: BERNAMA | 15 Februari 2015

Pihak berkuasa diminta ambil tindakan ke atas bomoh khurafat

Ibrahim memulakan 'ritual membunuh hantu raya' di hadapan Penjara Sungai Buloh dengan mengangkat dua biji kelapa.
SHAH ALAM: Perbuatan 'Raja Bomoh Malaysia', Ibrahim Mat Zin menggunakan kayu golf kononnya untuk menghalau hantu raya yang dihantar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim diselar Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Menurut Harussani, perbuatan Ibrahim itu sama sekali tiada kaitan dengan perubatan Islam. “Itu hanya perbuatan bomoh, perbuatan khurafat, tetapi dia (Ibrahim) gunakan ayat al-Quran untuk kelirukan orang ramai,” kata Harussani kepada Sinar Harian, semalam.

Harussani turut meminta Majlis Agama Negeri Selangor melihat peruntukan undang-undang yang boleh digunakan bagi mengambil tindakan terhadap perbuatan khurafat Ibrahim itu.

Ibrahim dalam satu video yang mula tersebar di internet kelmarin, dilihat kembali melakukan ritual luar biasanya, kali ini menggunakan kayu golf untuk menghalau hantu raya di Penjara Sungai Buloh.

Dia mendakwa menerima alamat terdapat empat hantu raya dihantar untuk membunuh Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di situ, namun tidak menyebut identiti pihak atau individu yang menghantar makhluk halus itu.

Dalam rakaman sepanjang 3 minit 27 saat itu, Ibrahim memulakan ritualnya dengan menggunakan dua teropong dipercayai diperbuat daripada buluh untuk melihat ke arah pintu masuk utama Penjara Sungai Buloh.

Dia kemudian mengangkat dua biji kelapa sebelum mula berdoa supaya perlindungan diberikan kepada Anwar bagi memastikan pemimpin pembangkang itu dapat menjalani hukuman dengan baik tanpa gangguan makhluk halus.

“Berikan perlindungan kepada Anwar, tegap dan tabahkan hati supaya dia senang buat amal ibadat dan jauhkan kejahatan orang yang hasad dengki daripada beliau,” doanya sambil membacakan beberapa potong ayat al-Quran.

Ibrahim kemudian dengan gaya seperti pemain golf menggunakan kayu golf sebenar bagi memukul empat biji limau yang diletakkan di atas jalan raya. “Okay, alhamdulillah,” katanya selepas itu.

Untuk rekod, Ibrahim pernah mencetuskan kontroversi sehingga menarik perhatian media antarabangsa apabila menggunakan bubu mata pancing dan teropong buluh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi ‘membantu’ mencari pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac tahun lalu.

Sumber: Sinar Harian | Nasional | 15 Februari 2015