KUALA LUMPUR: Menteri-Menteri Ekonomi negara-negara anggota ASEAN akan bermesyuarat di Kota Bharu, Kelantan dari 28 Februari hingga 1 Mac untuk merancang usaha-usaha ke arah penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (ASEAN Economic Community - AEC).
Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-21 itu, salah satu daripada mesyuarat-mesyuarat ASEAN dianjurkan bersempena kepimpinan ASEAN oleh Malaysia pada 2015, akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Ini merupakan acara tahunan diadakan bertujuan membolehkan menteri-menteri ASEAN itu menilai dan meneliti pencapaian keseluruhan proses integrasi serantau itu selain mempertimbang dan membincangkan inisiatif-inisiatif baru.
Mesyuarat kali ini sangat penting memandangkan menteri-menteri akan memberi tumpuan kepada memastikan semua langkah yang telah ditetapkan dalam Pelan Tindakan AEC tercapai.
AEC akan direalisasikan menjelang 31 Disember 2015. Ia disasarkan untuk mewujudkan sebuah pasaran tunggal dan sebagai pusat pengeluaran rantau ini bertujuan mengukuhkan lagi kemajuan dan kemakmuran ASEAN.
Saranan-saranan daripada sektor swasta dan kebimbangan berhubung persepi wujudnya peningkatan halangan-halangan bukan tarif (non-tariff barriers) terhadap perdagangan di rantau ini akan menjadi salah satu agenda utama di dalam perbincangan mereka.
Menteri-menteri ASEAN itu dijangka mempertimbang dan memberikan panduan berhubung kerja-kerja merangka Visi dan Pelan Ekonomi Pasca-2015 ASEAN.
Ini merupakan satu lagi hasil utama (deliverable) bagi menteri-menteri berkenaan di mana semua pihak berkepentingan mempunyai harapan tinggi bahawa ASEAN akan menghasilkan satu pelan baru dan berani pada penghujung tahun ini untuk menetapkan hala tuju integrasi serantau yang lebih mendalam pada dekad mendatang.
Pemukiman menteri-menteri ekonomi ASEAN ini akan didahului oleh Mesyuarat Kali ke-8 Kumpulan Kerja Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN berhubung Visi Ekonomi Pasca-2015 dan Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi.
Sebagai Pengerusi dan tuan rumah, Mustapa akan mengambil peluang sempena pemukiman ini untuk mendapatkan sokongan negara-negara anggota ASEAN bagi beberapa acara sampingan yang bakal diadakan di Malaysia.
Ini termasuklah:
a) Persidangan Pembaharuan Peraturan Asia Tenggara (Southeast Asia Regulatory Reform Conference), 9-12 Mac 2015;
b) Pameran dan Persidangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ASEAN 2015 (ASEAN SME Showcase and Conference), 26-28 Mac 2015;
c) Persidangan Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ASEAN Business and Investment Summit), November 2015; dan
d) Beberapa sidang kemuncak berkaitan belia dan usahawan muda ASEAN (Several ASEAN Youth and Young Entrepreneurs related summits).
Program penuh aktiviti pemukiman ini boleh diperoleh melalui http://mrem.bernama.com/mrembm/pdf/7722(B).pdf.
Sumber: BERNAMA | 18 Februari 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan