KOTA BHARU: Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-21 mulai 28 Februari hingga 1 Mac ini akan memberi tumpuan kepada memastikan semua langkah yang ditetapkan di dalam Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) tercapai.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dalam satu kenyataan. menyatakan AEC akan direalisasikan menjelang 31 Disember depan dan bertujuan mewujudkan sebuah pasaran tunggal dan sebagai pusat pengeluaran bagi mengukuhkan lagi kemajuan dan kemakmuran ASEAN.
"Saranan daripada sektor swasta dan kebimbangan berhubung persepsi wujudnya peningkatan halangan bukan tarif terhadap perdagangan di rantau ini akan menjadi satu daripada agenda utama perbincangan .
"Menteri-menteri juga dijangka mempertimbang dan memberikan panduan berhubung kerja-kerja merangka Visi dan Pelan Ekonomi Pasca-2015 ASEAN.
"Semua pihak mempunyai harapan tinggi bahawa ASEAN akan menghasilkan satu pelan baharu dan berani pada penghujung tahun ini untuk menetapkan hala tuju bagi integrasi serantau untuk dekad akan datang," menurut kenyataan itu.
Pemukiman adalah acara tahunan yang bertujuan membolehkan Menteri Ekonomi ASEAN menilai dan mengambil maklum tentang pencapaian keseluruhan proses integrasi serantau selain mempertimbang dan membincangkan inisiatif baharu.
Menurut kenyataan itu, pemukiman Menteri Ekonomi ASEAN akan didahului oleh mesyuarat kelapan Kumpulan Kerja Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN berhubung Visi Ekonomi Pasca-2015 dan Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi.
Sebagai pengerusi dan tuan rumah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, akan mengambil peluang untuk mendapatkan sokongan negara anggota ASEAN bagi beberapa acara sampingan yang bakal diadakan di Malaysia, termasuk Persidangan Pembaharuan Peraturan Asia Tenggara pada 9 hingga 12 Mac ini.
"Selain itu, Pameran dan Persidangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ASEAN 2015 akan diadakan pada 26 hingga 28 Mac, Persidangan Perniagaan dan Pelaburan ASEAN pada November dan beberapa sidang kemuncak berkaitan belia dan usahawan muda Asean," menurut kenyataan itu.
Sumber: BERNAMA | 18 Februari 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan