Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 15 Februari 2015

Pihak berkuasa diminta ambil tindakan ke atas bomoh khurafat

Ibrahim memulakan 'ritual membunuh hantu raya' di hadapan Penjara Sungai Buloh dengan mengangkat dua biji kelapa.
SHAH ALAM: Perbuatan 'Raja Bomoh Malaysia', Ibrahim Mat Zin menggunakan kayu golf kononnya untuk menghalau hantu raya yang dihantar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim diselar Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Menurut Harussani, perbuatan Ibrahim itu sama sekali tiada kaitan dengan perubatan Islam. “Itu hanya perbuatan bomoh, perbuatan khurafat, tetapi dia (Ibrahim) gunakan ayat al-Quran untuk kelirukan orang ramai,” kata Harussani kepada Sinar Harian, semalam.

Harussani turut meminta Majlis Agama Negeri Selangor melihat peruntukan undang-undang yang boleh digunakan bagi mengambil tindakan terhadap perbuatan khurafat Ibrahim itu.

Ibrahim dalam satu video yang mula tersebar di internet kelmarin, dilihat kembali melakukan ritual luar biasanya, kali ini menggunakan kayu golf untuk menghalau hantu raya di Penjara Sungai Buloh.

Dia mendakwa menerima alamat terdapat empat hantu raya dihantar untuk membunuh Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di situ, namun tidak menyebut identiti pihak atau individu yang menghantar makhluk halus itu.

Dalam rakaman sepanjang 3 minit 27 saat itu, Ibrahim memulakan ritualnya dengan menggunakan dua teropong dipercayai diperbuat daripada buluh untuk melihat ke arah pintu masuk utama Penjara Sungai Buloh.

Dia kemudian mengangkat dua biji kelapa sebelum mula berdoa supaya perlindungan diberikan kepada Anwar bagi memastikan pemimpin pembangkang itu dapat menjalani hukuman dengan baik tanpa gangguan makhluk halus.

“Berikan perlindungan kepada Anwar, tegap dan tabahkan hati supaya dia senang buat amal ibadat dan jauhkan kejahatan orang yang hasad dengki daripada beliau,” doanya sambil membacakan beberapa potong ayat al-Quran.

Ibrahim kemudian dengan gaya seperti pemain golf menggunakan kayu golf sebenar bagi memukul empat biji limau yang diletakkan di atas jalan raya. “Okay, alhamdulillah,” katanya selepas itu.

Untuk rekod, Ibrahim pernah mencetuskan kontroversi sehingga menarik perhatian media antarabangsa apabila menggunakan bubu mata pancing dan teropong buluh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi ‘membantu’ mencari pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac tahun lalu.

Sumber: Sinar Harian | Nasional | 15 Februari 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan