Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 1 Mac 2015

UMK rancang perkenal sistem 'feeder' tarik pelajar dari China

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merancang memperkenal sistem 'feeder' berbentuk kursus pensijilan Bahasa Inggeris di China bagi menarik pelajar dari negara itu melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan.

Naib Canselornya Prof Datuk Mortaza Mohamed berkata melalui sistem berkenaan pelajar dari China akan memperoleh sijil Bahasa Inggeris yang menjadi antara syarat kemasukan ke universiti tempatan, selain mempromosi universiti berkenaan di negara tembok besar itu.

"Ini adalah struktur yang lebih lestari berbanding hanya membuat promosi di sana," katanya kepada Bernama selepas Sesi Bicara bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed di universiti berkenaan.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi SME Corporation Malaysia Isham Ishak.

Dialog berkenaan dianjur bersempena Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke 21 (AEM) bertemakan 'Warga Kita, Komuniti Kita, Wawasan Kita', yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat.

Kata Mortaza inisiatif berkenaan adalah sejajar dengan matlamat UMK untuk mempunyai 10 peratus pelajar asing menjelang tahun hadapan.

Menurutnya antara kawasan yang disasarkan universiti berkenaan di China ialah wilayah-wilayah yang mempunyai populasi Islam yang besar seperti Xi'an. "Pada mereka, Malaysia ialah tempat yang selamat," katanya.

Kata Mortaza selain program 'feeder' berkenaan, UMK telah mewujudkan program berkembar dengan pusat pengajian tinggi luar negara seperti di indonesia dan Timur Tengah.

Katanya pelajar dari negara berkenaan akan mengikuti program pra-Diploma di negara asal mereka sebelum melanjutkan pelajaran ke negara ini.

Selain menembusi pasaran China, katanya universiti berkenaan akan turut meluaskan kerjasama ke negara anggota ASEAN seperti Laos dan Kemboja.

Langkah ini akan mengukuhkan lagi nama universiti berkenaan di negara serantau selepas turut menjalin kerjasama dengan universiti di Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina sebelum ini, katanya.

Mortaza berkata Malaysia mempunyai kelebihan dalam menarik pelajar asing belajar di sini memandangkan sistem pendidikan tinggi di negara ini diiktiraf negara luar, terutama negara Barat, selain penguasaan bahasa Inggeris yang bagus.

"Penguasaan bahasa inggeris penuntut kita lebih baik daripada rakan mereka di kebanyakan negara serantau, malah mungkin sama baik dengan Singapura," katanya.

Sejak memulakan pengambilan pelajar pada Jun 2007, UMK kini memiliki kira-kira 9,000 pelajar, termasuk 75 pelajar asing yang kebanyakkannya dari Thailand dan Indonesia.

Sumber: BERNAMA | 1 Mac 2015

PKS di AEM Ke-21 rancang berkembang ke luar negara

KOTA BHARU: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terpilih untuk mempamerkan produk mereka di Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-21 di sini, merancang menembusi pasaran serantau dan berharap inisiatif Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) akan menjadi platform untuk mereka melakukannya.

Kebanyakan mereka telah meningkatkan pelan perniagaan untuk mengembangkan operasi di rantau ASEAN menjelang penubuhan AEC akhir tahun ini.

Pengeluar produk kesihatan berasaskan sarang burung dan kosmetik tempatan, GHA Enterprise merancang membuka kemudahan pengeluarannya sendiri pada akhir tahun untuk meningkatkan pengeluaran harian kepada 5,000 botol daripada 1,000 botol ketika ini.

Pengarah Urusan, Asmahan Humaidi berkata, syarikat itu sedang mencari tanah yang sesuai untuk membina kemudahan pengeluarannya. Ia juga menyasarkan jualan RM1 juta tahun ini.

Tahun lepas, syarikat itu mencatat jualan RM460,000 dan tahun ini menyasarkan jualan lebih tinggi selepas menembusi pasaran Singapura, Vietnam dan Brunei.

"Tahun ini kami akan mengembangkan sayap kami ke Dubai dan Arab Saudi. Kami juga sudah memasuki China dan Thailand dan sambutannya sangat baik," kata Asmahan kepada Bernama.

Asmahan berkata, Jus Sarang Burung Annona dan G Ha Collocalya syarikat itu popular untuk kesihatan dan berharga berpatutan daripada RM40 sebotol.

Sementara itu, Pengarah Urusan Omni Mal Agencies Sdn Bhd, Chua Hock Tee berkata, syarikat merancang meningkatkan sumbangan dari pasaran luar negara kepada pendapatannya dengan mengembangkan operasi di pasaran ASEAN.

Syarikat itu ditubuhkan pada 1997 dengan misi untuk 'membebaskan pengguna daripada tawaran tradisional industri kurma dan buah-buahan kering'.

Produk Omni Mal dipasarkan di bawah jenama Gurun Emas dan Date-Licious.

Chua berkata, sebahagian besar kurma dibeli dari negara Timur Tengah dan Afrika Selatan.

"Kami mula meneroka pasaran eksport sejak dua hingga tiga tahun lepas dalam kuantiti yang kecil tetapi ia telah berkembang dengan pesat. Kami telah menembusi Singapura, Brunei, Korea Selatan, China dan Arab Saudi," katanya kepada Bernama.

Ketika ini pasaran luar pesisir menyumbang 10 peratus kepada pendapatannya.

Syarikat itu merancang mengembangkan perniagaannya ke negara ASEAN lain seperti Indonesia, Thailand dan Indo-China.

"Kami sedang melakukannya melalui pelan pengembangan dua hingga lima tahun kami dan dengan AEC kami berharap produk kami dapat menembusi negara terbabit," kata Chua.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Jenama Gahara Galore Sdn Bhd, Hanifi Triff A Thamid berkata, pihaknya bersedia membawa label batik artisannya, Ruzz Gahara, ke pasaran seberang laut, terutama Eropah.

Gahara Galore diasaskan Hanifi, 31, bersama rakan universitinya, Nik Faiz, 29, pada 2011, bermula dengan syarikat penyelidikan berasaskan corak kepada perniagaan yang lengkap dua tahun lalu.

Kedua-dua mereka percaya dalam merealisasikan corak kontemporari untuk menghasilkan sumber asli budaya etnik tradisional Malaysia dengan sentuhan gaya fesyen Barat.

"Kita mula eksport produk kita, kemudian kita import balik. Itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk meneroka pasaran luar," kata Hanifi kepada Bernama dengan menambah syarikat itu mempunyai ejen di Paris untuk mempromosi produknya di pasaran Eropah.

"Tetapi kini kami sangat memerlukan pembabitan tempatan. Setakat ini kami mempunyai tujuh artisan wanita yang bekerja di kilang kami di Penambang, Kelantan. Kami memerlukan lebih ramai untuk menyertai program latihan kami," tambahnya.

Syarikat itu mempunyai hab latihan sendiri dikenali Rumah Gahara yang turut terletak di Penambang.

Pameran itu yang bermula pada 27 Februari dan berakhir esok disertai lebih 200 delegasi.

Sebanyak 10 syarikat PKS dipilih Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk mempamerkan produk tempatan mereka kepada pengunjung asing.

Sumber: BERNAMA | 1 Mac 2015

Sabtu, 28 Februari 2015

Menara Condong Teluk Intan diisytihar sebagai warisan kebangsaan

Menara Condong Teluk Intan diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Dataran Menara Condong di sini, hari ini.
TELUK INTAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini mengisytiharkan Menara Condong Teluk Intan sebagai warisan kebangsaan.

Beliau berkata justeru itu, sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2015 ini, yang diadakan di Dataran Menara Condong di sini, amat istimewa dan mempunyai signifikan tersendiri kerana kerajaan memberi pengiktirafan kepada Menara Condong Teluk Intan sebagai warisan kebangsaan.

Muhyiddin berkata Menara Condong Teluk Intan, yang dibina pada 1885, memiliki keunikan yang amat ketara dengan konsep Pagoda yang menunjukkan pengaruh kekayaan budaya dan seni bina Cina seperti pada gerbang, bumbung genting dan hiasan jubinnya.

"Sejarah bangunan yang merupakan mercu tanda Bandar Teluk Intan ini unik kerana fokusnya adalah untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Ia dijadikan sebagai tangki air pada waktu kemarau dan juga mempunyai kemudahan memadam api.

"Jam yang terdapat pada menara ini juga merupakan lambang perpaduan rakyat Teluk Intan kerana ianya merupakan hasil sumbangan derma daripada penduduk tempatan pada ketika itu," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2015 di sini malam ini.

Muhyiddin juga berkata Menara Condong ini juga menjadi satu daripada tarikan kepada pelancong yang berkunjung ke Perak seperti 'The Leaning Tower of Pisa' di Itali.

"Tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Warisan Negara iaitu agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, dan juga kepada Kerajaan Negeri Perak khususnya Majlis Perbandaran Teluk Intan yang telah berjaya mendapatkan pengiktirafan Menara Condong Teluk Intan yang penuh sejarah ini, sebagai warisan kebangsaan," katanya.

Justeru, beliau berkata kerajaan juga dalam proses mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa bagi menjadikan Menara Condong Teluk Intan sebagai satu daripada warisan Dunia UNESCO.

"Sesungguhnya, usaha mengekalkan dan memelihara warisan dan budaya merupakan tanggungjawab kita bersama.

"Diharap ia juga akan dapat mempromosi Teluk Intan sebagai pusat tarikan pelancong dalam dan luar negara di masa akan datang," katanya.

Sumber: BERNAMA | 28 Februari 2015

Thailand invests US$337 million to promote halal products

BANGKOK: Thailand's government will invest about 10.93 billion baht (US$337.70 million) to promote halal products and become one of the top five halal food and product exporters in the world by 2020, Thai News Agency (TNA) reports.

Arthit Wuthikoro, director-general of Industry Ministry's Department of Industrial Promotion, said the decision was reached at a committee meeting held here Friday chaired by Deputy Prime Minister Mom Luang Pridiyathorn Devakula.

The government will promote and develop halal cosmetics, pharmaceutical and herbal products to meet international standards.

Arthit said development of halal food products will be divided into several strategies involving 77 projects.

The strategies range from boosting goods production and services and developing marketing standards to conducting research on halal food.

Thailand is the world's 13th largest halal food exporter.

Source: BERNAMA | 28 February 2015

Mustapa rai Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada majlis makan malam di Hotel Renaissance Kota Bharu

KOTA BHARU: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed malam ini meraikan menteri-menteri ekonomi ASEAN yang menghadiri Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-21 pada majlis makan malam di sini.

Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan berangkat menghadiri majlis berkenaan yang berlangsung di Hotel Renaissance Kota Bharu.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan wakil-wakil dari Dewan Undangan Negeri, persatuan perniagaan dan organisasi bukan kerajaan.

Majlis makan malam itu juga diserikan dengan persembahan kebudayaan berwarna-warni oleh murid-murid sekolah rendah.

Mustapa, yang dalam ucapannya turut memberi penerangan ringkas mengenai ekonomi dan juga tempat-tempat menarik negeri itu, juga memuji Myanmar yang telah menjadi pengerusi ASEAN tahun lepas.

Menteri-menteri ekonomi ASEAN berkumpul di sini mulai hari ini sehingga 1 Mac bagi menghadiri mesyuarat penting untuk memajukan rancangan bagi penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Pemukiman itu yang dipengerusikan oleh Mustapa, adalah antara pelbagai mesyuarat ASEAN yang diadakan sempena Malaysia menjadi pengerusi ASEAN pada 2015.

Sumber: BERNAMA | 28 Februari 2015

Najib umum tujuh inisiatif dan projek teruskan momentum pembangunan Labuan


LABUAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan tujuh inisiatif dan projek bagi meneruskan momentum pembangunan pulau bebas cukai ini yang berkembang pesat demi kemakmuran dan kesejahteraan penduduknya.

Inisiatif dan projek berkenaan termasuk meneruskan pemberian subsidi untuk feri penumpang Labuan bernilai RM15 juta setahun dan membangunkan Mini Pusat Transformasi Bandar (UTC) untuk menempatkan semua agensi kerajaan Persekutuan di bawah satu bumbung bagi menyediakan perkhidmatan lebih cekap kepada rakyat.

Selain itu, peruntukan RM1.5 juta untuk mewujudkan kemudahan eskalator di Kompleks Pasar Sentral Labuan; RM20 juta untuk menaik taraf kemudahan di jeti pendaratan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Labuan; pembinaan beberapa batang jalan raya yang perinciannya akan diumumkan kemudian dan penurunan secara ketara duti setem untuk penukaran status tanah pertanian kepada perumahan.

Turut diumumkan ialah projek-projek di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persektuan (JAWI) berjumlah RM77.5 juta.

Projek berkenaan adalah pembinaan surau baharu di Kampung Sungai Bedaun bernilai RM7 juta, RM5 juta bagi pembinaan surau pusat bandar, RM60 juta untuk pembinaan Sekolah Menengah Agama dan asrama di Kampung Sungai Bedaun serta RM2 juta untuk kerja baik pulih Masjid An Nur.

Najib mengumumkan inisiatif dan projek itu ketika berucap pada majlis perasmian Kompleks Pasar Sentral Labuan di sini hari ini. Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Anggota Parlimen Labuan yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Rozman Isli.

"Saya senang melihat pembangunan Pulau Labuan sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan. Dahulu kita lihat Labuan sebagai satu pulau yang agak lembab dan barangkali wajahnya tidak begitu segar tetapi hari ini jelas sekali bahawa hasil daripada perancangan dan strategi pembangunan yang dilaksanakan kerajaan maka Wilayah Persekutuan Labuan sudahpun bertukar wajah menjadi pulau yang lebih moden, progresif dan rancak pembangunan ekonominya.

"Namun tugas kita belum berakhir ... kita perlu jadikan Wilayah Persekutuan Labuan ini bukan sahaja manfaatnya dalam konteks domestik tetapi memaparkan Labuan sebagai pulau bertaraf antarabangsa. Usaha kita perlu dilipatgandakan," katanya.

Katanya usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi meningkatkan pembangunan Labuan meskipun ia kini sudah terkenal sebagai pusat industri gas dan minyak dan Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa (IOFC) selain beberapa potensi pelancongan yang sudah dikenal pasti serta memiliki sebahagian daripada kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan pusat matrikulasi.

Justeru itu, kata Najib dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bermula 2016, usaha serius perlu dilakukan untuk mengenal pasti apa lagi projek yang diperlukan bagi meneruskan pembangunan Labuan dalam pelbagai sektor ekonomi.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata projek dan inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan kerajaan di Labuan akan mendahulukan kepentingan rakyat demi kemakmuran dan kesejahteraan penduduk pulau berkenaan.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan penubuhan Yayasan Pendidikan Labuan serta mengumumkan bantuan RM2 juta untuk yayasan berkenaan meningkatkan taraf pendidikan dan membina modal insan.

"Saya dapat lihat kalau kita hendak jamin rakyat mengecapi pembaharuan dan transformasi ... mesti labur dalam pembangunan modal insan. Kalau tidak, nanti orang tempatan akan merasai diri mereka terpinggir daripada arus pembangunan," katanya.

Katanya sekiranya anak-anak tempatan Labuan berjaya dalam pendidikan dan memiliki kemahiran tinggi sudah tentu mereka akan turut mengecapi nikmat daripada apa juga bentuk aktiviti ekonomi dan pelbagai sektor lain yang diwujudkan di pulau berkenaan.

Najib juga mengumumkan untuk sekali lagi melawat Labuan sebelum akhir tahun ini.

Sumber: BERNAMA | 28 Februari 2015

Zon waktu tunggal ASEAN akan pertingkat semangat kekitaan, kata Munir

KOTA BHARU: Zon waktu tunggal ASEAN bukan sahaja membolehkan integrasi perniagaan dalam rantau tetapi juga merangsang aliran masuk perdagangan dan meningkatkan semangat kekitaan, kata Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.

Beliau berkata zon waktu tunggal akan memanfaatkan komuniti pelaburan kerana ia memastikan segala urus niaga dapat dilaksana pada masa sama.

"Apabila orang berdagang dengan kita dalam satu zon masa, mereka akan mengiktiraf kita sebagai satu. Ini faktor psikologi yang membina kesatuan bahawa kita bekerjasama dengan sangat rapat," katanya kepada pemberita di luar Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan, di sini hari ini.

Malaysia mengemukakan kembali cadangan agar ASEAN mempunyai satu zon waktu. Cadangan bagi zon masa tunggal bagi perkumpulan 10 negara itu dikemukakan kembali untuk pertimbangan kerajaan-kerajaan ASEAN selepas pertama kali dicadangkan pada 1995 dan dibincang semula pada 2004.

Sementara itu, Munir berkata pemansuhan halangan perdagangan bukan satu-satunya sebab yang membawa kepada pertumbuhan perdagangan intra ASEAN, tetapi turut bergantung kepada persekitaran ekonomi serantau yang kukuh dan keteguhan permintaan terhadap barangan.

"Hala tuju perniagaan saya bergantung kepada peluang yang saya nampak sebagai ahli perniagaan. Jika ada peluang di ASEAN, saya akan rebut peluang itu," katanya.

Munir berkata wujud keperluan untuk menyelesaikan pertelingkahan bagi memperkukuh kerjasama organisasi antara kerajaan ini.

"Di ASEAN, orang boleh terlepas apabila melanggar perjanjian yang ditandatanganinya. Ini tidak bagus. Kita harus mengubah perkara ini iaitu jika anda meterai perjanjian, anda harus patuh pada perjanjian itu," hujahnya.

Munir yang juga Pengerusi Institut Penyelidikan CIMB ASEAN, turut menolak akan keperluan mewujudkan satu sistem mata wang bagi rantau ini.

"ASEAN merupakan organisasi antara kerajaan, mana-mana kedaulatan tidak diserahkan kepada satu kuasa pusat.

"Pengalaman Eropah melaksanakan satu mata wang tanpa satu kerajaan pun yang mempunyai dasar ekonomi dan kewangan yang sama, menunjukkan ia tidak mapan," katanya.

Sumber: BERNAMA | 28 Februari 2015