KOTA BHARU: Zon waktu tunggal ASEAN bukan sahaja membolehkan integrasi perniagaan dalam rantau tetapi juga merangsang aliran masuk perdagangan dan meningkatkan semangat kekitaan, kata Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.
Beliau berkata zon waktu tunggal akan memanfaatkan komuniti pelaburan kerana ia memastikan segala urus niaga dapat dilaksana pada masa sama.
"Apabila orang berdagang dengan kita dalam satu zon masa, mereka akan mengiktiraf kita sebagai satu. Ini faktor psikologi yang membina kesatuan bahawa kita bekerjasama dengan sangat rapat," katanya kepada pemberita di luar Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan, di sini hari ini.
Malaysia mengemukakan kembali cadangan agar ASEAN mempunyai satu zon waktu. Cadangan bagi zon masa tunggal bagi perkumpulan 10 negara itu dikemukakan kembali untuk pertimbangan kerajaan-kerajaan ASEAN selepas pertama kali dicadangkan pada 1995 dan dibincang semula pada 2004.
Sementara itu, Munir berkata pemansuhan halangan perdagangan bukan satu-satunya sebab yang membawa kepada pertumbuhan perdagangan intra ASEAN, tetapi turut bergantung kepada persekitaran ekonomi serantau yang kukuh dan keteguhan permintaan terhadap barangan.
"Hala tuju perniagaan saya bergantung kepada peluang yang saya nampak sebagai ahli perniagaan. Jika ada peluang di ASEAN, saya akan rebut peluang itu," katanya.
Munir berkata wujud keperluan untuk menyelesaikan pertelingkahan bagi memperkukuh kerjasama organisasi antara kerajaan ini.
"Di ASEAN, orang boleh terlepas apabila melanggar perjanjian yang ditandatanganinya. Ini tidak bagus. Kita harus mengubah perkara ini iaitu jika anda meterai perjanjian, anda harus patuh pada perjanjian itu," hujahnya.
Munir yang juga Pengerusi Institut Penyelidikan CIMB ASEAN, turut menolak akan keperluan mewujudkan satu sistem mata wang bagi rantau ini.
"ASEAN merupakan organisasi antara kerajaan, mana-mana kedaulatan tidak diserahkan kepada satu kuasa pusat.
"Pengalaman Eropah melaksanakan satu mata wang tanpa satu kerajaan pun yang mempunyai dasar ekonomi dan kewangan yang sama, menunjukkan ia tidak mapan," katanya.
Sumber: BERNAMA | 28 Februari 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan