Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 1 Mac 2015

UMK rancang perkenal sistem 'feeder' tarik pelajar dari China

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merancang memperkenal sistem 'feeder' berbentuk kursus pensijilan Bahasa Inggeris di China bagi menarik pelajar dari negara itu melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan.

Naib Canselornya Prof Datuk Mortaza Mohamed berkata melalui sistem berkenaan pelajar dari China akan memperoleh sijil Bahasa Inggeris yang menjadi antara syarat kemasukan ke universiti tempatan, selain mempromosi universiti berkenaan di negara tembok besar itu.

"Ini adalah struktur yang lebih lestari berbanding hanya membuat promosi di sana," katanya kepada Bernama selepas Sesi Bicara bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed di universiti berkenaan.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi SME Corporation Malaysia Isham Ishak.

Dialog berkenaan dianjur bersempena Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke 21 (AEM) bertemakan 'Warga Kita, Komuniti Kita, Wawasan Kita', yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat.

Kata Mortaza inisiatif berkenaan adalah sejajar dengan matlamat UMK untuk mempunyai 10 peratus pelajar asing menjelang tahun hadapan.

Menurutnya antara kawasan yang disasarkan universiti berkenaan di China ialah wilayah-wilayah yang mempunyai populasi Islam yang besar seperti Xi'an. "Pada mereka, Malaysia ialah tempat yang selamat," katanya.

Kata Mortaza selain program 'feeder' berkenaan, UMK telah mewujudkan program berkembar dengan pusat pengajian tinggi luar negara seperti di indonesia dan Timur Tengah.

Katanya pelajar dari negara berkenaan akan mengikuti program pra-Diploma di negara asal mereka sebelum melanjutkan pelajaran ke negara ini.

Selain menembusi pasaran China, katanya universiti berkenaan akan turut meluaskan kerjasama ke negara anggota ASEAN seperti Laos dan Kemboja.

Langkah ini akan mengukuhkan lagi nama universiti berkenaan di negara serantau selepas turut menjalin kerjasama dengan universiti di Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina sebelum ini, katanya.

Mortaza berkata Malaysia mempunyai kelebihan dalam menarik pelajar asing belajar di sini memandangkan sistem pendidikan tinggi di negara ini diiktiraf negara luar, terutama negara Barat, selain penguasaan bahasa Inggeris yang bagus.

"Penguasaan bahasa inggeris penuntut kita lebih baik daripada rakan mereka di kebanyakan negara serantau, malah mungkin sama baik dengan Singapura," katanya.

Sejak memulakan pengambilan pelajar pada Jun 2007, UMK kini memiliki kira-kira 9,000 pelajar, termasuk 75 pelajar asing yang kebanyakkannya dari Thailand dan Indonesia.

Sumber: BERNAMA | 1 Mac 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan