KOTA BHARU: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terpilih untuk mempamerkan produk mereka di Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-21 di sini, merancang menembusi pasaran serantau dan berharap inisiatif Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) akan menjadi platform untuk mereka melakukannya.
Kebanyakan mereka telah meningkatkan pelan perniagaan untuk mengembangkan operasi di rantau ASEAN menjelang penubuhan AEC akhir tahun ini.
Pengeluar produk kesihatan berasaskan sarang burung dan kosmetik tempatan, GHA Enterprise merancang membuka kemudahan pengeluarannya sendiri pada akhir tahun untuk meningkatkan pengeluaran harian kepada 5,000 botol daripada 1,000 botol ketika ini.
Pengarah Urusan, Asmahan Humaidi berkata, syarikat itu sedang mencari tanah yang sesuai untuk membina kemudahan pengeluarannya. Ia juga menyasarkan jualan RM1 juta tahun ini.
Tahun lepas, syarikat itu mencatat jualan RM460,000 dan tahun ini menyasarkan jualan lebih tinggi selepas menembusi pasaran Singapura, Vietnam dan Brunei.
"Tahun ini kami akan mengembangkan sayap kami ke Dubai dan Arab Saudi. Kami juga sudah memasuki China dan Thailand dan sambutannya sangat baik," kata Asmahan kepada Bernama.
Asmahan berkata, Jus Sarang Burung Annona dan G Ha Collocalya syarikat itu popular untuk kesihatan dan berharga berpatutan daripada RM40 sebotol.
Sementara itu, Pengarah Urusan Omni Mal Agencies Sdn Bhd, Chua Hock Tee berkata, syarikat merancang meningkatkan sumbangan dari pasaran luar negara kepada pendapatannya dengan mengembangkan operasi di pasaran ASEAN.
Syarikat itu ditubuhkan pada 1997 dengan misi untuk 'membebaskan pengguna daripada tawaran tradisional industri kurma dan buah-buahan kering'.
Produk Omni Mal dipasarkan di bawah jenama Gurun Emas dan Date-Licious.
Chua berkata, sebahagian besar kurma dibeli dari negara Timur Tengah dan Afrika Selatan.
"Kami mula meneroka pasaran eksport sejak dua hingga tiga tahun lepas dalam kuantiti yang kecil tetapi ia telah berkembang dengan pesat. Kami telah menembusi Singapura, Brunei, Korea Selatan, China dan Arab Saudi," katanya kepada Bernama.
Ketika ini pasaran luar pesisir menyumbang 10 peratus kepada pendapatannya.
Syarikat itu merancang mengembangkan perniagaannya ke negara ASEAN lain seperti Indonesia, Thailand dan Indo-China.
"Kami sedang melakukannya melalui pelan pengembangan dua hingga lima tahun kami dan dengan AEC kami berharap produk kami dapat menembusi negara terbabit," kata Chua.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Jenama Gahara Galore Sdn Bhd, Hanifi Triff A Thamid berkata, pihaknya bersedia membawa label batik artisannya, Ruzz Gahara, ke pasaran seberang laut, terutama Eropah.
Gahara Galore diasaskan Hanifi, 31, bersama rakan universitinya, Nik Faiz, 29, pada 2011, bermula dengan syarikat penyelidikan berasaskan corak kepada perniagaan yang lengkap dua tahun lalu.
Kedua-dua mereka percaya dalam merealisasikan corak kontemporari untuk menghasilkan sumber asli budaya etnik tradisional Malaysia dengan sentuhan gaya fesyen Barat.
"Kita mula eksport produk kita, kemudian kita import balik. Itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk meneroka pasaran luar," kata Hanifi kepada Bernama dengan menambah syarikat itu mempunyai ejen di Paris untuk mempromosi produknya di pasaran Eropah.
"Tetapi kini kami sangat memerlukan pembabitan tempatan. Setakat ini kami mempunyai tujuh artisan wanita yang bekerja di kilang kami di Penambang, Kelantan. Kami memerlukan lebih ramai untuk menyertai program latihan kami," tambahnya.
Syarikat itu mempunyai hab latihan sendiri dikenali Rumah Gahara yang turut terletak di Penambang.
Pameran itu yang bermula pada 27 Februari dan berakhir esok disertai lebih 200 delegasi.
Sebanyak 10 syarikat PKS dipilih Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk mempamerkan produk tempatan mereka kepada pengunjung asing.
Sumber: BERNAMA | 1 Mac 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan