Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 21 Oktober 2013

Memperkenalkan Ekspres Sri Meranti

KOTA BHARU: Memperkenalkan perkhidmatan bas ekspres baharu, Ekspres Sri Meranti yang menawarkan perkhidmatan dari bandar-bandar utama di negeri Kelantan ke negeri-negeri Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya), dan Negeri Sembilan.

Perkhidmatan bas ini boleh didapati dari Kota Bharu, Rantau Panjang, Pasir Mas, dan Machang ke Kuala Lumpur, Shah Alam, Klang, Kajang, Putrajaya, Banting, dan Nilai serta sebaliknya.

Untuk informasi lanjut, sila layari laman sesawang Facebook rasmi Sri Meranti Ekspress Sdn Bhd: https://www.facebook.com/pages/Sri-Meranti-Ekspress-Sdn-Bhd/206459086183149

AirAsia lancar khidmat penandaan bagasi layan diri

Tony (dua dari kanan) dan Aireen (tengah) membantu penumpang menggunakan perkhidmatan penandaan bagasi layan diri di LCCT.
SYARIKAT penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad melancarkan perkhidmatan penandaan bagasi layan diri pertama di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes berkata, perkhidmatan itu akan memudahkan dan menjimatkan masa penumpang kerana tidak perlu beratur panjang.

Katanya, ujian September lalu menunjukkan ia mampu kurangkan tempoh beratur di kaunter daftar masuk bagasi.

“Kiosk penandaan bagasi itu hanya terdapat di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) Sepang yang terletak berdekatan kios daftar masuk  dan boleh digunakan bagi semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X.

“Kami merancang untuk menyediakan perkhidmatan ini di lapangan terbang lain tidak lama lagi,” katanya selepas melancarkan perkhidmatan itu dan Buku ‘Life In The Skies Everything You Want To Know About Flying’ yang ditulis oleh pengajar simulator penerbangan, Kapten Lom Khoy Hing di LCCT, Sepang.

Tony berkata, penumpang boleh melakukan penandaan bagasi layan diri satu jam sebelum masa perlepasan. Mengenai kesediaan untuk untuk berpindah ke KLIA 2, Tony berkata, ia bersedia untuk berpindah ke sana apabila ia beroperasi kelak. KLIA2 kini 94 peratus siap dan dijadualkan dibuka pada 2 Mei 2014.

Sumber: Sinar Harian | 20 Okt. 2013

Lebuh Raya Kota Bharu - Gua Musang akan dibina

Makhtar ketika memotong riben perasmian penutup Karnival Pelancongan Kelantan Selatan 2013.
GUA MUSANG: Kemajuan yang lebih pesat bakal berlaku di bandar ini apabila Kerajaan Persekutuan membina lebuh raya baharu yang lebih besar menghubungkan Kota Bharu - Gua Musang dalam tempoh dua tahun lagi.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK), Datuk Makhtar Mustapha berkata, kemajuan itu bukan sahaja daripada penyediaan kemudahan asas, sebaliknya tumpuan destinasi pelancongan menarik.

Menurutnya, bandar ini mempunyai banyak tempat boleh dilawati yang boleh menarik pelancong termasuk kolam air panas, banjaran gua batu kapur dan kawasan bersejarah di zaman perang.

Makhtar berkata, peruntukkan besar bagi pembinaan lebuh raya itu juga sudah diluluskan Kerajaan Persekutuan yang turut menghubungkan laluan dengan jalan Kuala Lipis yang dalam pembinaan sekarang.

Pakej pertama pembinaan jalan itu juga sudah bermula di Kota Bharu ke Kadok sejauh 12 kilometer membabitkan perbelanjaan RM200 juta dan pakej seterusnya sehingga ke Gua Musang akan disambung selepas itu.

“Pembangunan di bandar ini yang dijangka akan lebih pesat kerana ia juga turut membina beberapa jalan lingkaran untuk kemudahan pengguna,” katanya selepas Perasmian Penutup Karnival Pelancongan Kelantan Selatan 2013 di Taman Etnobotani, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Dr Junaida Lee Abdullah dan Adun Galas, Ab Aziz Yusof.

Beliau berkata, kemajuan yang bakal dinikmati rakyat itu hasil usaha pemimpin tempatan di Kelantan termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau mengakui bandar ini sudah banyak berubah kemajuannya kerana Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) sebuah agensi Kerajaan Pusat terbesar di Kelantan memainkan peranan yang besar dalam melakukan perubahan itu.

“Tengoklah dalam tempoh dua tahun akan datang suasana kemajuannya akan lebih pesat dan membangun sebagaimana jalan lingkaran yang dibina di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Kota Bharu,” katanya.

Katanya, kerajaan yakin cita-cita rakyat Kelantan untuk menikmati kemudahan jalan raya yang selesa dan sempurna itu akan tercapai sebagaimana yang dijanjikan pihak itu sebelum ini demi untuk membawa perubahan keseluruhannya.

“Kita juga sebelum ini berjanji untuk membuka laluan kedua Jambatan Sultan Yahya Petra yang siap dibina itu dan kita tunainya menjelang Hari Raya Aidiladha untuk memberi keselesaan kepada pengguna,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 19 Okt. 2013

Tidak jemu usaha tanaman sayur

Zulkifli mengasingkan timun yang dikutipnya mengikut gred untuk memudahkan kerja-kerja pemasaran.
MACHANG: Seorang warga emas tidak pernah jemu mengusahakan tanaman sayur dan jagung yang dimulakan sejak berumur belasan tahun dahulu.

Bagi Zulkifli Rani, 62, tanaman itu menjadi nadi kehidupannya dan amalan bertani sudah menjadi rutin harian sekalipun keupayaannya tidak lagi seperti dulu.

Zulkifli berkata, dia mewarisi pekerjaan itu daripada kedua orang tuanya dan dengan pendapatan mengusahakan pelbagai jenis tanaman itu dia membesarkan 11 anak.

“Pakcik tak tahu buat kerja lain, sejak muda sampai sekarang, inilah kerja pakcik dan alhamdulillah, sekarang anak-anak dah besar dan mempunyai hala tuju mereka sendiri cuma tiga daripada mereka yang masih bersekolah.

“Biasanya pakcik tanam jagung, cuma apabila habis musim jagung, pakcik usahakan tanaman lain seperti cili dan timun. Sejak kebelakangan ini, pakcik hanya tanam jagung dan timun sahaja kerana kudrat yang ada semakin terhad,” katanya yang mengusahakan tanaman itu secara kelompok di tepi Sungai Kelantan, dekat sini.
Zulkifli berkata, sebahagian peserta kelompok menjadikan pekerjaan itu sebagai punca pendapatan kedua namun, dia dan isteri bergantung sepenuhnya kepada hasil pendapatan jualan tanaman.

Tambahnya, selain menggunakan modal sendiri, agensi kerajaan berkaitan, termasuk Jabatan Pertanian juga banyak membantu termasuk menyediakan input pertanian sekali gus mengurangkan beban perbelanjaan yang terpaksa ditanggung.

“Lagipun sekarang harga sayur mahal dan mendapat sambutan baik. Malah, urusan pemasaran juga dibantu agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

“Bidang pertanian hari ini jauh berbeza berbanding ketika pakcik muda-muda dulu. Dulu cukup untuk makan namun, kini ia bertukar menjadi bidang perniagaan yang menguntungkan. Golongan muda sewajarnya memanfaatkan peluang ini dan tidak hanya bergantung kepada kerja makan gaji sahaja,” katanya.

Zulkifli yang mengusahakan 2,500 pohon timun mampu mengeluarkan sekitar 350 kilogram timun setiap hari dan hasil tanaman itu hanya mengambil masa 45 hari.

Katanya, kemudahan jentera yang pelbagai jenis juga membantu petani menguruskan tanaman dengan mudah dan tidak lagi bersusah payah seperti dulu.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 19 Okt. 2013

Jumaat, 18 Oktober 2013

Pembukaan gim bina badan di Rantau Panjang beri manfaat kepada golongan belia

Pembukaan gim bina badan memberi manfaat besar kepada golongan belia di Rantau Panjang.
RANTAU PANJANG: Pembukaan gim bina badan di Rantau Panjang awal bulan lalu, membuka peluang kepada belia untuk membina kecergasan diri.

Rostam Hussin, 28, berkata, pembukaan gim berkenaan banyak membantu remaja untuk kekal cergas malah mengelak daripada terlibat dalam kancah jenayah.

Sebelum ini saya terpaksa memandu lebih 30 kilometer semata-mata mahu ke pusat kecergasan dekat Pasir Mas. “Kini kami banyak menghabiskan masa di sini tanpa perlu membelanjakan wang banyak untuk petrol,” katanya.

Sementara itu, Mohd Irfan Saifullahan, 24, berkata, aktiviti ini juga akan mengelak remaja membuang masa dan berpeleseran. “Sekiranya lebih banyak pusat kecergasan seperti ini dibuka, maka remaja di sini terutama berdekatan sempadan akan lebih berdisiplin.

“Malah mereka akan lebih teruja untuk mengikuti sesi ini kerana setiap pusat kecergasan akan dilengkapi dengan kemudahan tutor yang berpengalaman,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 17 Okt. 2013

Khamis, 17 Oktober 2013

Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai: RM200 juta telah diperuntukkan untuk fasa pertama

KOTA BHARU: Kerajaan Pusat memperuntuk sejumlah RM200 juta untuk melaksana fasa pertama projek lebuh raya Kuala Krai - Kota Bharu bagi mengatasi kesesakan trafik seterusnya memberi kemudahan kepada rakyat negeri ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tender fasa pertama projek itu melibatkan jarak sejauh kira-kira tujuh kilometer membabitkan laluan dari Pasir Hor ke Kadok sudah dikeluarkan dan kini dalam pertimbangan kerajaan.

Beliau berkata, pihaknya berharap pelaksanaan projek itu dapat dimulakan Disember ini dan pembinaannya pula dilakukan selepas itu.

"Fasa pertama lebuh raya Kuala Krai - Kota Bharu sudah pasti dilaksanakan kerana peruntukan sudah ada dan tender sudah dipanggil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan lorong kedua Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra, di sini hari ini.

Pembukaan lorong kedua itu menyaksikan jambatan tersebut yang kini mempunyai empat lorong membabitkan kos sebanyak RM187 juta dibuka sepenuhnya kepada orang ramai bagi laluan Wakaf Bharu, Tumpat ke Jalan Sultan Yahya Petra di sini, seterusnya dapat mengatasi kesesakan.

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjanjikan tujuh projek besar untuk dilaksana di negeri ini sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat antaranya pembinaan lebuh raya Kuala Krai - Kota Bharu.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, Kerajaan Pusat akan meneliti tujuh projek yang dijanjikan sebelum ini meskipun Barisan Nasional (BN) gagal mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan mahu kerajaan Pas negeri membelanjakan setiap peruntukan penyelenggaraan jalan yang disalurkan Kerajaan Pusat memandangkan masih banyak jalan di negeri ini perlu dinaik taraf.

Sumber: Utusan Malaysia | 13 Okt. 2013

Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai: Tender fasa pertama dikeluar

KOTA BHARU: Kerajaan Pusat telah mengeluarkan tender bagi fasa pertama pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar).

Mustapa, yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan berharap pembinaan fasa pertama dari Pasir Hor ke Kadok di sini, sejauh 7 kilometer melibatkan kos kira-kira RM200 juta, dapat dimulakan tahun depan.

"Kita berharap tender berkenaan dapat diputuskan oleh Kementerian Kewangan pada Disember ini, dan pembinaan dapat bermula selepas itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan laluan Kota Bharu ke Pasir Pekan, Tumpat bagi Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra  di sini hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu berkata, pembinaan lebuh raya itu adalah janji Barisan Nasional (BN) dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 dan meskipun BN tidak berjaya memerintah negeri ini, pembinaan projek berkenaan tetap dilaksana bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

Beliau juga berkata, pembukaan laluan kedua dari Kota Bharu ke Pasir Pekan bagi Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra bakal melancarkan aliran trafik setelah laluan pertama dari Pasir Pekan ke Kota Bharu dibuka Februari lepas.

Mustapa yakin masalah kesesakan di jambatan berkenaan, terutama pada waktu puncak, akan berakhir dengan pembukaan laluan kedua itu.

"Setiap laluan mempunyai dua lorong, bermakna kita sudah ada empat lorong manakala jambatan lama pula ada dua lorong, ini menjadikan keseluruhan jambatan berkenaan mempunyai enam lorong," katanya. Kos pembinaan jambatan kedua yang merentangi Sungai Kelantan itu ialah RM180 juta.

Sumber: BERNAMA | 13 Okt. 2013