KOTA BHARU: Kerajaan Pusat memperuntuk sejumlah RM200 juta 
untuk melaksana fasa pertama projek lebuh raya Kuala Krai - Kota Bharu 
bagi mengatasi kesesakan trafik seterusnya memberi kemudahan kepada 
rakyat negeri ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa 
Mohamed berkata, tender fasa pertama projek itu melibatkan jarak sejauh 
kira-kira tujuh kilometer membabitkan laluan dari Pasir Hor ke Kadok 
sudah dikeluarkan dan kini dalam pertimbangan kerajaan.
Beliau berkata, pihaknya berharap pelaksanaan projek itu dapat 
dimulakan Disember ini dan pembinaannya pula dilakukan selepas itu.
"Fasa pertama lebuh raya Kuala Krai - Kota Bharu sudah pasti 
dilaksanakan kerana peruntukan sudah ada dan tender sudah dipanggil," 
katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan lorong kedua 
Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra, di sini hari ini.
Pembukaan lorong kedua itu menyaksikan jambatan tersebut yang kini 
mempunyai empat lorong membabitkan kos sebanyak RM187 juta dibuka 
sepenuhnya kepada orang ramai bagi laluan Wakaf Bharu, Tumpat ke Jalan 
Sultan Yahya Petra di sini, seterusnya dapat mengatasi kesesakan.
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib 
Tun Razak menjanjikan tujuh projek besar untuk dilaksana di negeri ini 
sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat antaranya pembinaan lebuh 
raya Kuala Krai - Kota Bharu.
Dalam pada itu, Mustapa berkata, Kerajaan Pusat akan meneliti tujuh 
projek yang dijanjikan sebelum ini meskipun Barisan Nasional (BN) gagal 
mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.
Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO 
Kelantan mahu kerajaan Pas negeri membelanjakan setiap peruntukan 
penyelenggaraan jalan yang disalurkan Kerajaan Pusat memandangkan masih 
banyak jalan di negeri ini perlu dinaik taraf.
Sumber: Utusan Malaysia | 13 Okt. 2013 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan