Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 17 Disember 2014

RTC Kelantan catat nilai jualan RM265 juta

KOTA BHARU: Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Tunjong di sini, mencatat nilai jualan sebanyak RM265 juta tahun ini sehingga November lepas.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Wilayah Timur 1 Mohd Ariffin Awang berkata nilai jualan itu termasuk sumbangan oleh 623 peniaga runcit dan borong melibatkan sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan daging.

Penganjuran 140 program seperti Karnival RTC Kelantan, Pesta Orkid dan Flora Kelantan 2014, dan Minggu Saham Amanah Malaysia 2014, turut menyumbang  kepada nilai jualan tersebut, katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohd Ariffin menjangka RTC itu boleh mencapai nilai jualan sehingga RM280 juta pada akhir tahun ini berbanding RM215 juta tahun lepas, berikutan pengunjung yang  sentiasa ramai.

Beliau berkata seramai 3.8 juta orang telah berkunjung ke RTC itu tahun ini sehingga bulan lepas berbanding 2.5 juta orang sepanjang tahun lalu.

"Ini menunjukkan masyarakat tempatan dan luar negeri ini memberi sambutan yang baik terhadap kewujudan RTC ini dan mereka suka membeli-belah di sini kerana  harga yang ditawarkan berpatutan," katanya.

Beliau berkata pada tahun depan, beberapa lagi kemudahan asas akan dibina termasuk medan selera.

Beliau berkata pada tahun depan, sebanyak 150 program dirancang dianjurkan oleh pelbagai agensi dan jabatan termasuk enam acara oleh Fama.   

Di RTC ini juga orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh beberapa jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pengangkutan Jalan. 

Sumber: Bernama | 16 Disember 2014

Isnin, 8 Disember 2014

PKINK bina lebih banyak rumah mampu milik dan beberapa projek penting lain di Kelantan

KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) akan membina 500 buah rumah mampu milik dengan jumlah pelaburan RM43 juta di beberapa kawasan di negeri Kelantan dan dijangka siap pada 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Dr Wan Zawawi Wan Ismail berkata, projek rumah mampu milik itu dilancarkan beberapa bulan lepas, sudah 10 peratus dalam proses pembinaan.

Menurutnya, PKINK akan membina 300 rumah kos sederhana di seluruh Kelantan dan pangsapuri servis yang dijangka siap menjelang akhir tahun depan.

PKNIK akan membangunkan projek ‘waterfront’ (pesisir air) di Kota Bharu dengan pelaburan RM200 juta dan dijangka siap pada 2017 serta Tok Bali Marine Township. PKINK merancang membangunkan Bandar Baharu Sungai Terah yang dalam perbincangan akhir bersama pemaju.

PKINK juga dalam perbincangan peringkat akhir bersama Kementerian Kewangan untuk membina Pusat Transformasi Bandar (UTC) di KB Cyber Plaza, Kota Bharu.

Pembinaan tersebut melibatkan RM43 juta. Ia dijangka beroperasi pada Julai 2015,” katanya yang berkunjung ke Kompleks Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), kelmarin.

Sumber: Sinar Harian | 7 Disember 2014

PERBADANAN KEMAJUAN IKTISAD NEGERI KELANTAN | PKINK | PROJEK RUMAH MAMPU MILIK | KOTA BHARU WATERFRONT | TEBINGAN KOTA BHARU | PUSAT TRANSFORMASI BANDAR (UTC) KOTA BHARU | KB CYBER PLAZA

Kencing Tikus: Elak mandi di kawasan air terjun

ALOR SETAR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mandi di kawasan air terjun di Kedah buat sementara ini berikutan peningkatan kes jangkitan kencing tikus yang boleh menyebabkan maut.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong berkata kes jangkitan kencing tikus atau leptospirosis semakin banyak dikesan di kalangan mereka yang pernah mengunjungi kawasan air terjun.

"Buat masa sekarang, saya nasihatkan orang ramai supaya elakkan daripada mandi di kawasan air terjun.

"Jika hendak mandi, mereka boleh ke hotel-hotel yang menyediakan kolam renang yang kebersihan sentiasa dipantau," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Leong berkata kes ini semakin menjadi sejak tiga tahun kebelakangan ini dan banyak aspek yang boleh menjadi penyumbang kepada perkara ini.

"Sejak kebelakangan ini sering berlaku hujan lebat dan banjir kilat jadi kita tidak tahu bahan apa yang telah mencemari air itu dan keadaan cuaca ini boleh menjadi salah satu punca kepada penyebaran virus kencing tikus," katanya.

Beliau berkata jumlah pengunjung ke kawasan air terjun semakin bertambah dan ini sekaligus telah menyebabkan jumlah sampah (sisa makanan) yang dibuang semakin bertambah, yang menjadi punca kehadiran semakin banyak tikus.

"Binatang-binatang seperti tikus yang sebelum ini mencari makan di dalam hutan akan keluar untuk mencari sisa-sisa makanan yang ditinggalkan pengunjung," kata beliau.

Katanya masalah berkaitan tikus ini tidak dapat dielakkan dan ini boleh dilihat pada jumlah tikus yang berkeliaran di kawasan-kawasan medan selera.

Beliau berkata virus kencing tikus ini akan menjadi cabaran besar kepada negeri Kedah.

Perbincangan akan dijalankan bersama Jabatan Kesihatan dan Jabatan Perhutanan bagi menangani masalah ini, kata Dr Leong.

Dua hari lepas, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dari Taman Pinang Merah, Bukit Pinang dekat sini, Amirah Maisarah Zir Omar Khan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), disyaki akibat jangkitan kencing tikus.

Difahamkan kanak-kanak itu dan dua adik perempuannya serta ibu bapa mereka telah pergi ke sebuah pusat rekreasi air di Yan untuk mandi-manda.

Adik mangsa, Nur Syazana, 5, disahkan positif jangkitan kencing tikus oleh sebuah pusat perubatan swasta dan masih dirawat di HSB manakala seorang lagi adiknya, Zaharah Alisa, 3, dan ibu mereka Siti Zaleha Ramlan, 32, mengalami demam.
Sementara itu, sampel darah Amirah Maisarah dihantar ke makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur untuk dibuat ujian pengesahan jangkitan leptospirosis.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata keputusan ujian pengesahan itu akan diketahui dalam tempoh seminggu.

Katanya, dua lagi adik mangsa, Nur Syazana, 5, dan Zaharah Alisa, 3, masih dirawat di HSB kerana mengalami simptom demam yang sama seperti arwah kakak mereka.

"Adik mangsa yang berusia lima tahun yang mengadu demam, batuk, selesema dan muntah kini dirawat di wad kanak-kanak HSB dan berada dalam keadaan stabil setelah diberi rawatan antibiotik," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, ujian darah Nur Syazana yang sebelum ini disahkan positif jangkitan kencing tikus oleh sebuah pusat perubatan swasta adalah "inconclusive" dan telah dihantar ke IMR untuk pengesahan.

"Adik mangsa yang berusia tiga tahun juga sedang dirawat di hospital yang sama kerana mengalami demam panas dan rawatan antibiotik telah mula diberikan.

"Ujian awal menunjukkan Zaharah Alisa dijangkiti leptospirosis dan sampel darah turut dihantar ke IMR untuk ujian pengesahan".

Sumber: mStar Online | 7 Disember 2014

Tok Bali bakal jadi pangkalan bekalan bagi aktiviti sokongan sektor minyak dan gas

KOTA BHARU: Pelabuhan Tok Bali di Pasir Puteh bakal berkembang setapak lagi apabila ia dicadangkan menjadi pangkalan bekalan aktiviti sokongan luar pesisir dalam sektor minyak dan gas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini kerana Tok Bali mempunyai potensi besar sebagai pangkalan bekalan itu selepas Kemaman, Terengganu.

"Kita difahamkan Kemaman begitu pesat membangun dan padat untuk penambahan lain dan sebab itu Tok Bali mempunyai daya tarikan bagi dijadikan pangkalan sokongan ini.

"Ini kerana aktiviti carigali minyak dan gas di sempadan yang dekat dengan Tok Bali, membuatkan Tok Bali sesuai dijadikan pangkalan baharu," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam meraikan 44 delegasi mewakili 29 syarikat minyak dan gas di sini, Sabtu malam.

Majlis itu adalah anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Mustapa berkata, Tok Bali yang terletak di lokasi strategik dengan Terminal Bekalan Pukal dan Pangkalan Bekalan Tok Bali bakal menawarkan penjimatan kos memandangkan ia berhampiran lapangan minyak dan gas yang baharu.

Menurutnya, jika pangkalan bekalan itu menjadi realiti, peluang pekerjaan yang banyak akan terhasil dan ia juga akan menarik minat syarikat multinasional seperti Murphy Oil, Exxon-Mobil, Petronas, Haliburton dan Scomi.

"Syarikat tempatan juga berpeluang mengambil bahagian menyediakan perkhidmatan kepada syarikat multinasional terutama di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand," katanya.

Beliau juga berkata, lawatan delegasi itu ke Tok Bali hari ini diharap dapat menarik minat mereka seterusnya bersetuju untuk menjadikan kawasan itu sebagai pangkalan bekalan baharu.

"Tetapi kita juga perlu melihat dari sudut sumber manusia dan industri sokongan yang perlu ada iaitu perusahaan kecil dan sederhana," katanya.

Mustapa berkata, kedatangan delegasi itu adalah usaha berterusan Jawatankuasa Khas Pelaburan Negeri Kelantan bagi membantu membawa pelabur ke Kelantan.

Katanya, Kelantan menerima kemasukan pelabur yang sedikit kerana kekurangan infrastruktur seperti jalan raya dan sebagainya.

"Setahun dua ini sudah ada yang berminat seperti tiga syarikat yang bakal membina kilang simen di negeri ini," katanya.

Sebelum ini jawatankuasa berkenaan membawa beberapa pelabur dari Korea dan Singapura untuk meninjau potensi pelaburan di negeri ini.

Sumber: Bernama | 7 Disember 2014

Atap Senggora masih menjadi pilihan

KOTA BHARU: Atap senggora yang juga dikenali sebagai atap bata dan pernah popular sekitar era tahun 70-an, kini masih mendapat tempat di hati masyarakat bagi pembinaan rumah atau gazebo.

Ketika itu, atap senggora banyak digunakan dalam pembinaan rumah khususnya daripada binaan kayu di seluruh Kelantan dan Terengganu selain di Selatan Thailand.

Atap daripada tanah liat ini, pada asalnya diperkenal dan dibawa masuk dari Singgora (Songkhla), sebuah wilayah di Segenting Kra, Selatan Thailand namun teknik pembuatannya telah tersebar ke Kelantan dan Terengganu yang kini kekal mendapat sambutan penduduk setempat.

Bagaimanapun dek perubahan dan pengenalan teknologi baharu yang moden dalam pembinaan rumah yang lebih cepat dan kos efektif, atap senggora tidak lagi mendapat sambutan seperti dahulu.

Namun, bagi pengusaha atap itu, Noraini Jusoh, 48, permintaan terhadap seramik tradisional itu meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini.

"Atap ini kembali menjadi perhatian apabila ramai pengusaha resort menggunakan atap ini di rumah tumpangan mereka. Ia bergantung kepada kreativiti yang digunakan pengusaha resort untuk menghasilkan reka bentuk dan konsep tradisional di resort mereka.

"Saya turut terima tempahan daripada orang perseorangan yang bukan sahaja dari Kelantan tetapi juga Terengganu dan Kuala Lumpur," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Festival Kraf Kelantan 2014, di Pintu Kota Sultan Ismail Petra (Dataran al-Quran) di sini, Ahad.

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata sejak berkecimpung sepenuhnya dalam bidang pembuat atap lebih 30 tahun lalu, permintaan terhadap penggunaan atap itu mempunyai pasang surut, namun tetap mempunyai permintaan.

"Kalau dahulu, orang buat rumah, bina pejabat tidak ada konsep berbanding hari ini, mereka inginkan konsep Bali, konsep Inggeris dan lain-lain," katanya.

Noraini berkata atap senggora yang berharga RM0.60 sekeping itu diproses menggunakan tulang empat kerat, diuli dan ditekap dalam acuan yang dikenali sebagai sarang bata.

"Ia perlu menggunakan kekuatan kaki untuk menguli tanah liat dan seterusnya menghasilkan kepingan atap yang kemudian akan dikumpul sehingga 40,000 keping sebelum dibakar.

"Kita mengambil masa 10 hari untuk bakar dan 10 hari untuk disejukkan kepingan atap itu," katanya yang mempunyai 16 pekerja di bengkel membuat atap miliknya di Kampung Beris Kubor Besar di Bachok.

Noraini yang merupakan generasi kelima dalam pembuatan kraftangan itu berkata pembuatan atap ini memberi cabaran besar buat diri dan keluarganya kerana pasaran tidak menentu, selain penggunaan kaedah tradisional dalam penghasilan setiap keping atap senggora.

"Tetapi sejak mendaftar di bawah usahawan Kraftangan Malaysia ini banyak keistimewaan dan bantuan disediakan kerajaan dalam memperkembangkan seramik tradisional ini.

"Selain menerima jemputan pada pameran festival di seluruh negara, saya juga dibantu dari segi penyediaan bengkel pembuatan dan diberi khidmat nasihat dalam memasar dan mempromosikan produk," katanya.

Katanya pihak kraftangan juga menyediakan mesin pembakar yang dapat menjimatkan tempoh pembakaran kepada hanya lapan jam.

Sumber: Bernama | 7 Disember 2014 | Oleh Rosmawati Zawawi

Rabu, 3 Disember 2014

Taman Negara Kelantan terancam akibat kerakusan

GUA MUSANG: Pusat pelancongan terkenal di Kelantan, Taman Negara Kelantan di Kuala Koh di sini, dibimbangi berdepan dengan kemusnahan akibat pembukaan ladang kelapa sawit secara meluas di kawasan bersempadan taman negara itu sejak setahun lepas.
Antara kemusnahan yang didakwa akibat aktiviti itu adalah berlakunya pencemaran sungai terutama apabila hujan lebat menyebabkan air berlumpur dari kawasan berkenaan mengalir ke sungai utama di Taman Negara Kuala Kelantan sehingga mengancam spesies ikan seperti kelah.
Selain itu, Orang Asli di kawasan itu turut mendakwa pembukaan ladang sawit itu menjejaskan mereka hingga pernah dihalau keluar dari kawasan itu kerana dianggap menduduki secara haram di Kampung Kuala Koh.
Pengusaha Pelancongan Taman Negara Kuala Koh, Nik Nora Nik Mohd Yussof berkata sejak kebelakangan ini, taman negara itu semakin kurang pengunjung terutama kaki pancing berikutan pencemaran sungai yang menjejaskan minat mereka memancing ikan.
Beliau berkata masalah itu beberapa kali dilaporkan kepada kerajaan negeri dan pihak berkaitan.
"Saya dukacita segala aduan yang dikemukakan tidak diendahkan oleh pihak berkenaan hingga Taman Negara Kuala Koh terus terdedah kepada kemusnahan berikutan berlaku hakisan hingga menyebabkan air sungai berkeladak.
"Perkara paling membimbangkan, pengusaha ladang sawit itu melakukan kerja membaja dan meracun yang boleh menyebabkan air hujan di kawasan ladang terbabit mengalir ke taman negara dan memusnahkan pelbagai spesies ikan sungai," dakwa beliau.
Nik Nora berkata taman negara itu sebelum ini tidak putus-putus dikunjungi pelancong sama ada dari dalam atau luar negara kerana tertarik dengan suasana keindahan kawasan berkenaan yang penuh kehijauan alam semula jadi di samping boleh menyusuri sungai untuk memancing.
Namun, kata beliau dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, mereka tidak berminat lagi untuk ke taman negara itu kerana keadaan tidak lagi seindah dulu.
"Pemandu pelancong juga terjejas teruk kerana berlaku kekurangan pelancong dan chalet juga di kawasan ini banyak yang kosong," katanya.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Kuala Koh, Hamdan Keladi, 46, berkata keluarga Orang Asli di kampung itu beberapa kali dihalau pemaju perladangan kerana kawasan itu sudah menjadi milik syarikat terbabit.
Bagaimanapun, kata beliau penduduk kaum itu tetap tidak akan berpindah kerana sudah lama tinggal di kampung berkenaan dan tidak ada tempat lain untuk dijadikan perkampungan baharu untuk penduduk Orang Asli.
"Kami telah tinggal di sini sebelum ladang itu dibuka, takkan kami hendak tinggalkan kampung ini semata-mata mengalah tindakan pemaju itu berulang kali menghalau kami semua," katanya.
Beliau berkata peluang penduduk Orang Asli untuk mencari sumber pendapatan hasil hutan termasuk rotan dan kayu gaharu juga teruk terjejas selepas kawasan itu ditebang untuk dimajukan sebagai ladang kelapa sawit.
Sumber: mStar Online | 3 Disember 2014

Selasa, 2 Disember 2014

Kelantan pertaruh lapan pemain baharu musim depan

Mohd Norfarhan Mohamad kembali beraksi untuk pasukan Kelantan pada musim 2015.
KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyenaraikan lapan muka baharu termasuk empat pemain import untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presidennya Tan Sri Annuar Musa berkata pemain berkenaan adalah bekas penyerang Terengganu, Mohd Norfarhan Mohamad, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Noor Hazrul Mustapha dari Perak serta pemain Harimau Muda A iaitu Mohd Ferris Danial Mat Nasir.

Sementara itu, empat pemain import terdiri daripada pemain Montenegro, Stefan Nikolic, dua bekas pemain kelab Persebaya Surabaya, Indonesia, Emmanuel Kenmogne dan Isaac Pupo serta pemain kelahiran Australia, Jonathan McKain.

Beliau berkata kehadiran pemain ini dapat memperkuatkan lagi pasukan Kelantan setelah bergelut dengan prestasi kurang memberangsangkan musim ini.

"Kita mempertaruhkan keyakinan tinggi dengan barisan pemain pada musim ini dan kita yakin jurulatih (George Boateng) mempunyai lebih banyak pilihan dalam kesebelasan utama," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan pemain 'The Red Warriors (TRW) 2015' dan penyerahan bas KAFA di sini, pada Isnin.

"Pelbagai usaha dibuat untuk memantapkan lagi pasukan dan kita ingin jadi pasukan yang berada di kelompok teratas," katanya.

Annuar berkata pihaknya meletakkan sasaran sekurang-kurangnya berjaya merangkul sebuah piala dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

"Dalam saingan liga kita sasar untuk berada dalam kelompok empat terbaik manakala dalam saingan Piala FA atau Piala Malaysia kita harap dapat menjuarainya.

"Kita harap pemain dapat tunjukkan komitmen yang tinggi dan naikkan mutu permainan setanding dengan usaha yang dibuat oleh pengurusan," katanya.

Beliau berkata saingan Liga Malaysia musim depan dijangka sengit namun peluang untuk menjadi juara masih terbuka.

"Pasukan seperti Pahang, Terengganu, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan lain-lain sedang membuat persiapan dan ini merupakan liga yang paling sengit sejak saya menjadi presiden.

"Oleh sebab itu kita berbelanja besar untuk bersaing dan mencabar kejuaraan, ini kombinasi terbaik dalam pasukan Kelantan," katanya.

Sebagai rekod, pasukan Kelantan menduduki tangga keenam Liga Super musim ini dengan pungutan 31 mata selain mara ke peringkat separuh akhir Piala FA.

Mereka turut tersingkir daripada saingan Piala Malaysia selepas kalah agregat 3-4 kepada Kedah pada peringkat separuh akhir.

Pada majlis berkenaan, KAFA turut menerima sebuah bas dua tingkat yang bernilai RM300,000 daripada syarikat perkhidmatan bas ekspres Konsortium E-Mutiara Berhad.

Sumber: Bernama | 1 Disember 2014

Jumaat, 21 November 2014

Projek lebuh raya CSR Pakej 2 dari bandar Gua Musang ke Jambatan Sungai Lakit akan dibina di bawah RMK-11

Jajaran Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) bagi Pakej 2 dari bandar Gua Musang ke Jambatan Sungai Lakit, Gua Musang sejauh 63 kilometer. 
GUA MUSANG: Projek pembinaan lebuh raya Central Spine Road (CSR) sepanjang 63 kilometer dari bandar Gua Musang ke Sungai Lakit, di sini bakal memberi manfaat kepada jutaan pengguna lebuh raya pantai timur.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustafa berkata, projek yang dijangka dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) itu memendekkan masa perjalanan dan mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas terutama setiap kali menjelang musim perayaan.

“Saya yakin pembinaan lebuh raya itu akan memberi kemudahan kepada orang ramai seperti yang diharapkan sebelum ini.

“Bagaimanapun penduduk perlu bersabar dan menikmati pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Ke 33 di Sekolah Kebangsaan (SK) Gua Musang, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Ab. Aziz Yusoff merangkap Yang Dipertua PIBG SK Gua Musang.

Makhtar berkata, rakyat di negeri ini tidak perlu berasa terpinggir kerana Kerajaan Persekutuan sentiasa merancang dan melaksanakan pelbagai projek yang memberi manfaat kepada mereka.

“Di Gua Musang contohnya, pembangunan semakin rancak dilakukan. Antaranya, 1,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina untuk penduduk setinggan.

“Malah, Sekolah Menengah Sains Gua Musang dan Projek Agropolitan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang sudah memberi manfaat kepada lebih 1,000 orang golongan miskin tegar,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Kelantan | 19 November 2014

Kajian Kuala Krai paling mundur di Malaysia berniat jahat - Adun

KUALA LUMPUR: PAS Kuala Krai menyifatkan kajian berhubung daerah Kuala Krai paling mundur di Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia sangat berat sebelah dan tidak tepat sekaligus mempunyai misi politik yang sangat jahat dan berterusan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman (gambar) berkata, kajian yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Negara ini hadir di saat rakyat terpinga-pinga dengan isu kenaikan harga minyak yang menyebabkan harga barangan meningkat dengan begitu mendadak.

"Namun bila orang luar hadir ke Kelantan ternyata isi kajian yang sering diwar-warkan itu hanyalah sampah sarap yang sangat tidak tepat. Kajian-kajian ini jelas bertentangan dengan kenyataan," ujar beliau dalam satu kenyataan  di laman Facebooknya.

Beliau berkata demikian sebagai memberi respons kepada berita yang disiarkan dalam akhbar milik Umno, Utusan Malaysia yang mengulangi retorik yang sukar untuk diterima akal bila mana kajian pada 2010 menunjukkan Kuala Krai daerah termundur di Malaysia.

Adun Mengkebang itu turut menyenaraikan prasarana yang terdapat di daerah itu antaranya, tujuh bank komersial utama, pasar raya Pantai Timur, Econjaya, PKT dan beberapa pasar raya yang lain, di samping itu terdapat berpuluh-puluh hotel serta kedai makanan segera seperti KFC, Pizza Hut, Marry Brown dan Secret Recipe.

"Penyenaraian ini bukanlah bertujuan untuk mendabik dada bahawa dengan adanya perkara di atas menunjukkan kita sudah maju, namun ia adalah sekadar menyangkal tohmahan sebagai daerah termundur di Malaysia. Adalah tidak lojik dengan kehadiran tujuh bank utama di sini, Kuala Krai masih dilabelkan sedemikian?

"Saya juga percaya ini adalah rentetan gambaran yang sama kepada Kelantan semenjak hampir 25 tahun lepas. Di saat segala isi bumi Kelantan di ratah dan disedut dengan penuh rakus tanpa diberikan hak walau 5%," tegasnya.
   
Keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 19 November 2014.

Jelasnya yang juga Timbalan Speaker DUN Kelantan, rakyat dapat melihat dan membandingkan kajian yang amat berat sebelah ini dengan mudah dan lebih tepat apatah lagi pada zaman di mana teknologi maklumat menguasai dunia.

"Jika kajian ini di buat adalah untuk bertujuan memajukan Kuala Krai saya tidak kisah. Namun lebuh raya yang dijanjikan semenjak Rancangan Malaysia Kelima di mana Kuala Krai merupakan antara laluan utamanya sehingga sekarang masih belum kelihatan. Ini sepatutnya yang perlu lebih dimalukan.

"Seperti kata pujangga "bak ketam mengajar anaknya berjalan betul". "Saya mengajak anda ke Kuala Krai. Singgah dan berkatalah dengan betul tentang apa yang ada di sini. Kita sebenarnya bergerak seiring walaupun dengan jelas kita dinafikan hak,"tambahnya.

Sumber: Harakah Daily | 21 November 2014

Rabu, 19 November 2014

Tun Jeanne harap Lojing tidak jadi seperti Cameron Highlands


KOTA BHARU: Semua pihak disaran agar mengambil iktibar daripada kejadian banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands dan tidak membiarkan perkara sama berulang di Tanah Tinggi Lojing, Kelantan.

Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah berkata, jika semua pihak membiarkan pihak tertentu rakus memusnahkan tanah tinggi itu, kawasannya yang kaya dengan flora dan fauna hanya menunggu masa untuk musnah sama sekali.

"Apa yang berlaku di Cameron Highlands sepatutnya sudah membuka mata semua pihak. Mereka menganggap menjaga alam sekitar tidak penting, tetapi lihatlah apa yang berlaku.

"Kita lupa apa yang telah dibuat itu telah merosakkan alam sekitar dan kini tiba masanya kita perlu menjaga Lojing supaya jangan jadi seperti itu," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sini hari ini.

MoU itu adalah antara kerajaan negeri Kelantan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Tropical Rainforest Conservation & Research Centre (TRCRC) Bhd dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Kelantan diwakili Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah, Naib Canselor UMK Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose mewakili UMK, Jeanne mewakili TRCRC dan ECERDC diwakili Ketua Pegawai Ekesekutifnya Datuk Jebasingam Issace John. Turut hadir Penaung Landskap Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi.

MoU itu sebagai kerjasama untuk menjaga 404 hektar kawasan Lojing selepas ia diwartakan sebagai kawasan pemuliharaan pada 2010, yang mengandungi habitat bunga pakma atau rafflesia.

Jeanne bagaimanapaun merasa gembira kerana terdapat cadangan untuk menanam kira-kira sejuta pokok di Cameron Highlands bagi memulihkan keadaannya walaupun akan mengambil masa lama.

Mengulas lanjut mengenai Lojing, beliau berkata, kawasan seluas lebih 400 hektar itu perlu dilindungi dari kemusnahan kerana ia terdapat bunga pakma yang boleh dijadikan tarikan pelancongan.

"Ini bukan untuk penjagaan rafflesia sahaja tetapi untuk semua yang ada di tanah tinggi ini," katanya.
Mohd Amar pula berkata, kerajaan negeri sangat peka dengan penjagaan alam sekitar dengan mengetatkan syarat bahawa setiap pemaju di Lojing perlu mematuhi peraturan Penilaian Alam Sekitar (EIA).

"Ada syarikat yang telah diambil tindakan dan ada yang dibawa ke muka pengadilan kerana kegagalan mematuhi peraturan EIA," katanya.

Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar perlu lebih peka dalam menguatkuasakan undang-undang di tanah tinggi itu jika terbukti ada pihak terbabit melakukan pencemaran dan merosakkan alam sekitar di situ.

Mohd Amar bagaimanapun menafikan keadaan di Lojing adalah serius seperti yang didakwa dan mendapati keadaannya tidak seburuk seperti yang berlaku di Cameron Highlands.

Sementara itu Pengarah UMK Kampus Jeli, Prof Datuk Dr Ibrahim Che Omar berkata, pihaknya akan membuat kajian lebih mendalam untuk memohon kepada kerajaan Kelantan bagi mewartakan kawasan yang lebih luas di Lojing.

"Kalau kita dapati ia menjejaskan kawasan habitat rafflesia, kita akan mohon untuk mewartakan kawasan sekelilingnya pula," katanya.

Beliau berkata UMK akan sentiasa membuat pemantauan dan penelitian agar kawasan Lojing tidak menjadi lebih buruk.

Sumber: Bernama | 18 November 2014

Selasa, 18 November 2014

LPT3 akan dibina di bawah RMK-11

Pelan induk pembangunan Lebuh Raya Pantai Timur. Sumber: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat akan membina Lebuh Raya Pantai Timur  (LPT) sehingga ke Kelantan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11: 2016 - 2020) nanti. 

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT3) di Kelantan melibatkan jajaran Kuala Terengganu - Setiu - Besut - Kelantan, iaitu sehingga ke Pengkalan Kubor melalui Kota Bharu.  

Projek LPT melibatkan tiga fasa dan hanya LPT3 yang masih belum bermula pembinaannya. Rosnah juga berkata, berdasarkan laporan Pelan Induk Pembangunan Rangkaian Jalan Raya Semenanjung Fasa 1, projek LPT3 berpotensi dilaksanakan menggunakan kaedah penswastaan. 

Dalam pada itu, kajian kemungkinan pembinaan LPT3 telah dijalankan dari 15 Julai 2007 sehingga 15 Mei 2009. LPT3 merupakan sambungan LPT2 dan melibatkan jajaran sepanjang 150 kilometer. 

Pembinaan LPT3 dijangka dapat meningkatkan darjah ketersampaian antara ketiga-tiga ibu negeri di Pantai Timur Malaysia, iaitu Kota Bharu (Kelantan), Kuala Terengganu (Terengganu), dan Kuantan (Pahang). Ia juga dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di ketiga-tiga negeri di Pantai Timur Malaysia. 

KATA KUNCI: LEBUH RAYA PANTAI TIMUR FASA 3 | LPT3 | RMK-11 | DATUK SERI ROSNAH ABDUL RASHID SHIRLIN | TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA | KEMENTERIAN KERJA RAYA

Jumaat, 14 November 2014

Tourist town in the offing in Kelantan

KOTA BHARU: Property developer Auei Teras Holdings Sdn Bhd plans to build a tourist town known as the International Ideopolis Longevity City (IILC) costing RM3 billion on a 104-hectare site here.

Its president and chief executive officer Rita Sarbani Ismail said the project would incorporate three components, namely education, entrepreneurship development and healthcare.

She said IILC would be developed in five phases over a period of 15 years at the cost of RM3 billion in collaboration with Shaanxi Yilan Enterprise Group of Xian, Shaanxi Province, China and Al-Hijrah Trust of Birmingham, the UK.

"When completed, IILC will have a 60-storey academic tower and four other high-rise buildings of between 15 and 20 storeys. The buildings will have modern facilities, apart from a mosque, a hotel and an office space," she said at a news conference here, today.

Rita Sarbani said in an effort to nurture entrepreneurship, IILC would provide 1,000 places for entrepreneurs to grow their businesses, including in the field of education and health tourism.

"We are awaiting the Kelantan government's approval of the parcels of land for IILC and we expect the project will get off the ground in 2016," she said.

She said Auei Teras Holdings, Shaanxi Yilan Enterprise and Al-Hijrah Trust entered into a memorandum of understanding (MoU) to develop IILC in Xian on Nov 1.

The MoU also entails the development of a language learning centre, Global Education Multivarsity and Language College in Xian that would offer a wide range of foreign language courses such as Mandarin, English, bahasa Melayu, Arabic, French and Japanese.

The centre could enroll 600 students and the first intake will start their courses in September next year, Rita Sarbani said.

Source: Bernama | 13 November 2014

Kota Bharu bakal miliki bandar pelancongan IILC

KOTA BHARU: Syarikat pemaju hartanah, Auei Teras Holdings Sdn Bhd merancang membangunkan bandar pelancongan 'International Ideopolis Longevity City (IILC)' bernilai RM3 bilion di sini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Rita Sarbani Ismail berkata projek itu yang menggabungkan tiga komponen utama iaitu pendidikan, pembangunan keusahawanan dan jagaan kesihatan akan dibangunkan di atas kawasan seluas 104 hektar.

IILC akan dibangunkan dengan kerjasama Shaanxi Yilan Enterprise Group dari Xian, Wilayah Shaanxi, China dan Al-Hijrah Trust dari Birmingham, United Kingdom menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai 1 Nov lalu di Xian, katanya dalam sidang media di sini Khamis.

Menurutnya projek yang akan dibangunkan dalam lima fasa dijadual bermula 2016 dan mengambil masa 15 tahun untuk siap sepenuhnya.

Apabila siap kelak, IILC akan mempunyai sebuah menara ilmu setinggi 60 tingkat dan empat menara lain dengan ketinggian 15 dan 20 tingkat, katanya.

"Kami sekarang sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri Kelantan bagi kawasan yang dimohon untuk pembangunan IILC itu," katanya.

Selain itu, Rita Sarbani berkata di bawah MoU tersebut juga ketiga-tiga syarikat akan membangunkan pusat pengajian bahasa dikenali 'Global Education Multivarsity and Language College' di Xian yang menawarkan pengajian pelbagai bahasa seperti Mandarin, Inggeris, Melayu, Arab, Perancis dan Jepun.

"Pengambilan pertama pada September tahun depan dan bagi peringkat permulaan ini dijangka menempatkan 600 pelajar," katanya.

Sumber: Bernama | 13 November 2014

Kerajaan Pusat digesa atasi masalah jalan raya di Kelantan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja‎ Raya diminta memberi tumpuan kepada pembangunan Kelantan khususnya kemudahan jalan raya.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad‎ berkata isu kemudahan asas terutamanya soal jalan raya akan dibangkitkan di parlimen bagi mendapat respons kerajaan.

"Terlalu banyak rungutan diterima dari rakyat Kelantan khususnya mereka yang bekerja di luar yang ingin balik terutama ketika cuti umum.

"Kesesakan perjalanan yang mereka terpaksa tempuhi, walaupun ini diketahui umum tetapi tidak ada tindakan dari kerajaan pusat," katanya selepas‎ menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kerja Raya di Parlimen pagi tadi.

Beliau juga berharap‎ Kerajaan Pusat memberi perhatian serius terhadap masalah tersebut agar kesulitan pengguna jalan raya dapat diatasi sepenuhnya.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat menyambut baik usaha kerajaan dalam membangunkan negeri itu.

Namun katanya, kerajaan perlu memandang serius dalam soal menaik taraf jalan-jalan di Kelantan terutamanya menghubungkan bandar-bandar.

"Bila musim perayaan boleh menyebabkan pengguna jalan raya memandu lebih 16 jam.

"Ini merupakan satu situasi yang menyukarkan pengguna, Kerajaan Pusat  perlu beri perhatian dalam perkara ini.

"Melalui memorandum ini terdapat fakta-fakta yang boleh dirujuk kerajaan agar pembangunan atau menaik taraf jalan dilakukan dengan segera," kata beliau.

Memorandum tersebut telah diserahkan oleh Drs Zainuddin kepada Pegawai Khas Menteri, Kementerian Kerja Raya, Reduwan Salleh di lobi Parlimen.‎ 

Sumber: Harakah Daily | 13 November 2014

Selasa, 11 November 2014

Sultan Kelantan mahu kerajaan negeri beri perhatian serius isu alam sekitar dan gesa kerajaan Pusat naik taraf LTSIP

Gambar fail: Sultan Muhammad V
KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mahu kerajaan negeri mengambil langkah tersusun dan bersepadu bagi menangani isu-isu alam sekitar seperti hakisan dan pencemaran sungai yang kini menjadi isu global dan serius.

Baginda bertitah aktiviti penebangan hutan dan perlombongan tanpa etika boleh memberi kesan serius terhadap kualiti air dan menjejaskan kualiti hidup rakyat di negeri ini.

"Maka tindakan penguatkuasaan oleh semua pihak yang diamanahkan perlu diperkemaskan dan dipertingkatkan," titah baginda pada istiadat penganugerahan gelaran dan darjah kebesaran negeri sempena sambutan Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-45 di Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Titah ucapan baginda dibacakan Pemangku Raja Dr Tengku Muhammad Fa'iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Sebelum itu, 240 individu menerima gelaran kebesaran, darjah kebesaran dan Jaksa Pendamai daripada Pemangku Raja.

Sultan Kelantan juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan di atas perancangan untuk mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bandar ini yang akan meningkatkan kualiti penyampaian dan perkhidmatan kerajaan.

Baginda sukacita kerana kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan telah mencapai kesepakatan dalam pelaksanaan projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai.

"Beta menaruh harapan kerjasama dan kesepakatan dapat diteruskan dalam banyak lagi perancangan pembangunan dan prasarana untuk rakyat negeri ini," titah baginda.

Baginda juga menyarankan agar kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan sewajarnya dalam menyenaraikan projek-projek pembangunan yang memberi impak besar kepada landskap ekonomi negeri Kelantan.

Projek-projek itu termasuklah menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) menjadi lapangan terbang antarabangsa, rancangan tebatan banjir Sungai Golok, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Ketiga, dan Jambatan Kampung Cina-Pelekbang.

Baginda juga bertitah menggesa kerajaan negeri supaya meneroka bidang-bidang baharu berteknologi tinggi seperti industri teknologi hijau dan bioekonomi.

Pada istiadat itu, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengetuai senarai 630 penerima gelaran kebesaran, darjah kebesaran, bintang, pingat, surat kepujian dan pelantikan Jaksa Pendamai.

Arifin dianugerah Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) daripada Sultan Muhammad V yang membawa gelaran Datuk Lela Negara.


Sumber: Bernama | 11 November 2014

Ahad, 9 November 2014

Pencuri motosikal di masjid dibogelkan oleh orang ramai di Bachok

Seorang remaja dibogelkan oleh penduduk kampung selepas cuba mencuri motosikal di Masjid Pauh Lima, Bachok, Kelantan, malam semalam. 
KOTA BHARU: Tindakan seorang pelajar berusia 15 tahun yang cuba mencuri motosikal di salah sebuah masjid di Kampung Pauh Lima, Bachok di sini semalam membawa padah apabila dia dipukul dan dibogelkan oleh orang ramai yang menangkapnya.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 malam ketika orang ramai sedang menunaikan solat Isyak di masjid tersebut.

Lebih malang, gambar kejadian pelajar itu dibogel dan dimalukan dengan cara yang agak keterlaluan telah dimuat naik di laman sosial seperti Facebook, aplikasi WhatsApp serta WeChat dan kini menjadi ‘viral’ dan hangat diperkatakan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa berkata, remaja berkenaan merupakan seorang pelajar di salah sebuah sekolah di Kota Bharu.

Menurutnya, ketika kejadian remaja tersebut cuba melarikan motosikal milik seorang warga emas berusia 61 tahun yang sedang menunaikan solat Isyak di masjid tersebut.

Cubaan suspek untuk melarikan motosikal itu gagal apabila dia berjaya ditangkap oleh penduduk yang baru selesai menunaikan solat sebelum dipukul dan dibogelkan.

“Akibatnya, suspek mengalami kecederaan di bahagian atas kepala, lebam di belakang bahu kiri serta calar di bahagian belakang badan, tangan dan kaki,” katanya.

Rohaimi memberitahu, berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku terlibat dalam beberapa kes kehilangan motosikal di sekitar Binjai dan Melor.

Katanya, suspek turut mengaku terdapat seorang lagi rakannya turut terlibat yang bagaimanapun telah melarikan diri.

“Suspek menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A/ 511 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 5 November 2014

Pencuri motosikal dipaksa berjalan itik ke Balai Polis Palekbang

Rakaman video memaparkan suspek dipaksa berjalan itik sambil disaksikan orang ramai yang tersebar di laman sosial Facebook. 
TUMPAT: Seorang remaja dipaksa berjalan itik selama lebih sejam menuju ke balai polis selepas dia dicekup orang ramai ketika dia dan seorang rakannya dikatakan cuba mencuri sebuah motosikal di Kampung Palekbang dekat sini, hari ini.

Remaja berkenaan yang berusia 18 tahun ditangkap penduduk kampung kira-kira pukul 6 pagi. Bagaimanapun rakannya berjaya meloloskan diri.

Sumber memberitahu, kejadian tersebut pada mulanya disedari isteri pemilik kenderaan berkenaan yang terdengar bunyi rantai pengunci motosikal ditarik dengan kuat.

“Suaminya yang turut terjaga dari tidur terus membuka pintu rumah sebelum ternampak kelibat dua lelaki berada dalam garaj rumah mereka sambil memegang alat pemotong keluli.

“Suspek yang terkejut segera melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan namun gagal menghidupkan enjin kenderaan tersebut. Mereka kemudian nekad meninggalkan kenderaan tersebut dan cuba melarikan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut sumber itu, salah seorang suspek bagaimanapun berjaya ditangkap tidak lama kemudian hasil bantuan penduduk kampung sebelum dipaksa berjalan itik dengan tangan terikat sehingga tiba di Balai Polis Palekbang, kira-kira pukul 7.20 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Zaharudin Rasip mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 511 dan 448 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri dan menceroboh kediaman.

Sementara itu, rakaman video selama 50 saat yang memaparkan suspek dipaksa berjalan itik sambil disaksikan orang ramai telah tersebar di laman sosial Facebook.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 2 November 2014

Transgender: Mains akan kemuka rayuan ke Mahkamah Persekutuan

SEREMBAN: Majis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membabitkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan enakmen itu sebagai tidak sah di sisi Perlembagaan kerana didapati mendiskriminasikan lelaki Islam yang menghidap keadaan dikenali sebagai masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.

Setiausaha Mains, Kamal Amran Kamarudin bagaimanapun berkata, perkara tersebut masih dalam perbincangan dan rayuan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Setakat ini, tarikh belum ditetapkan. Apabila sudah bersedia nanti, barulah kita teruskan dengan rayuan. “Kita hargai setiap komen dan cadangan dikemukakan, selain berharap masyarakat Islam akan memberikan sokongan kepada usaha Mains dan kerajaan negeri,” katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas gesaan Gabungan Peguam-peguam Ikatan Muslimin Malaysia (iPeguam) yang mahu Mains memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

Pengerusinya, Tuan Muhammad Luttfi Abdul Khalid berkata, rayuan itu penting kerana perkara terbabit melibatkan isu Perlembagaan dan kewibawaan institusi agama Islam di Negeri Sembilan.

Keputusan ini juga akan menjadi rujukan bagi negeri lain dan juga di Wilayah Persekutuan sendiri, sekiranya kes serupa berulang. Ini kerana pihak berkuasa agama Islam negeri tiada pilihan, melainkan terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Nasional | 9 November 2014

Kes transgender: Mahkamah Rayuan didakwa khilaf

SHAH ALAM: Mahkamah Rayuan didakwa khilaf ketika membuat penghakiman yang membenarkan rayuan tiga lelaki Islam berpakaian seperti wanita, semalam.

Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (gambar) berkata, keputusan itu tidak sejajar dengan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan dua penghakiman Mahkamah Persekutuan di atas (kes Sulaiman Takrib dan Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur), PPMM berpandangan Mahkamah Rayuan telah khilaf di dalam penghakiman semalam.

“Malah ia juga tidak sejajar dengan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 3 yang meletakkan Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi agama bagi Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Mahkamah Rayuan juga gagal mengambil kira norma masyarakat Melayu Islam yang merupakan teras kepada jati diri kebangsaan.

“Islam dan Melayu merupakan sebahagian daripada struktur asas yang membentuk Perlembagaan Persekutuan. Memusnahkan struktur asas ini akan mengakibatkan jati diri dan kerangka Perlembagaan Persekutuan itu sendiri terpecah.

“Walau apa pun, penghakiman semalam adalah penghakiman yang sah oleh sebuah mahkamah yang kompeten. Ia perlu dihormati sehingga ada keputusan sebaliknya,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru kerajaan Negeri Sembilan memohon penggantungan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Rayuan tersebut.

“PPMM menyeru kerajaan Negeri Sembilan dan pihak-pihak yang dinamakan di dalam prosiding tersebut memohon kebenaran merayu dalam tempoh yang ditetapkan. PPMM juga mendesak sementara menunggu permohonan kebenaran merayu diputuskan Kerajaan Negeri Sembilan memohon penggantungan perintah yang dikeluarkan itu.

“PPMM juga menyeru kerajaan Persekutuan yang merupakan ‘amicus curae’ di dalam prosiding tersebut  bekerjasama dengan kerajaan Negeri Sembilan di dalam rayuan tersebut,” katanya.

Selain itu, PPPM turut menyeru Majlis Agama Islam Negeri di seluruh Malaysia supaya memohon kebenaran mencelah di dalam prosiding rayuan kelak.

“Ini adalah disebabkan Majlis-Majlis Agama Islam adalah penasihat utama dalam hal ehwal agama Islam kepada Sultan atau Raja atau Yang di-Pertuan Besar negeri masing-masing dan Yang di-Pertuan Agong bagi negeri yang tidak mempunyai Raja.

“Keputusan ini juga memberi kesan kepada undang-undang sama yang ada di negeri-negeri lain.  Majlis Agama Islam Negeri-Negeri ini mempunyai kepentingan undang-undang yang jelas di dalam prosiding kerana ia juga akan memberi kesan kepada undang-undang di negeri berkenaan,” katanya.

Mahkamah Rayuan, dalam satu keputusan penting, semalam mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.

Sumber: Sinar Harian | Nasional | 8 November 2014

Jumaat, 31 Oktober 2014

Operasi bas ekspres di Hentian Putra dipindahkan ke Terminal Bersepadu Selatan mulai 1 Dis 2014

Lobi Utama Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR: Operasi perkhidmatan bas ekspres laluan Pantai Timur Malaysia dari Hentian Putra, Kuala Lumpur akan dipindahkan sepenuhnya ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur berkuat kuasa 1 Disember depan. 

Menurut pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar, pihaknya telah berbincang dengan pengusaha bas di Hentian Putra dan mereka telah bersetuju untuk berpindah ke TBS. 

TBS jauh lebih selesa jika dibandingkan dengan Hentian Putra dengan pelbagai kemudahan dan mempunyai kapasiti yang mencukupi bagi menampung bas yang banyak terutama dari laluan Pantai Timur Malaysia. Pemindahan operasi ini juga mendapat sokongan daripada pengguna. 

TBS dilengkapi dengan kemudahan lobi perlepasan dan ketibaan yang berasingan, kaunter tiket bersepadu, surau, kedai serbaneka, medan selera, mesin juruwang automatik (ATM), eskalator (tangga gerak), medan parkir kereta, dan sebagainya. 

Terminal bersepadu ini mudah dihubungkan dengan jaringan pengangkutan awam yang cekap, iaitu KTM Komuter, LRT RapidKL, dan ERL Transit melalui Stesen Bandar Tasik Selatan yang hanya terletak bersebelahan dengan bangunan terminal bersepadu ini. 

Perkhidmatan bas RapidKL juga ada disediakan untuk menghubungkan terminal bersepadu ini dengan Terminal Bas Pudu Sentral di pusat bandar raya Kuala Lumpur dan sebaliknya.
operasi bagi bas ekspres laluan timur dari Hentian Putra akan berpindah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur ber­kuat kuasa 1 Disember depan.
Syed Hamid berkata, pihaknya telah berbincang dengan pengusaha bas di hentian tersebut dan mereka bersetuju untuk berpindah ke TBS.
Katanya, Hentian Putra sememangnya sudah tidak sesuai dise­babkan pelbagai faktor terutama dari segi keselamatan dan gang­guan lalu lintas.
“Di TBS, ia lebih selesa dengan pelbagai kemudahan dan mempunyai kapasiti mencukupi bagi menampung bas yang banyak terutama dari laluan Pantai Timur. Pemindahan operasi itu juga mendapat sokongan daripada pengguna,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kaji-naikkan-tambang-bas-ekspres-30-peratus-1.18881#sthash.flK4EKK1.dpuf
es laluan timur dari Hentian Putra akan berpindah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur ber­kuat kuasa 1 Disember depan.
Syed Hamid berkata, pihaknya telah berbincang dengan pengusaha bas di hentian tersebut dan mereka bersetuju untuk berpindah ke TBS.
Katanya, Hentian Putra sememangnya sudah tidak sesuai dise­babkan pelbagai faktor terutama dari segi keselamatan dan gang­guan lalu lintas.
“Di TBS, ia lebih selesa dengan pelbagai kemudahan dan mempunyai kapasiti mencukupi bagi menampung bas yang banyak terutama dari laluan Pantai Timur. Pemindahan operasi itu juga mendapat sokongan daripada pengguna,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kaji-naikkan-tambang-bas-ekspres-30-peratus-1.18881#sthash.flK4EKK1.dpuf
operasi bagi bas ekspres laluan timur dari Hentian Putra akan berpindah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur ber­kuat kuasa 1 Disember depan.
Syed Hamid berkata, pihaknya telah berbincang dengan pengusaha bas di hentian tersebut dan mereka bersetuju untuk berpindah ke TBS.
Katanya, Hentian Putra sememangnya sudah tidak sesuai dise­babkan pelbagai faktor terutama dari segi keselamatan dan gang­guan lalu lintas.
“Di TBS, ia lebih selesa dengan pelbagai kemudahan dan mempunyai kapasiti mencukupi bagi menampung bas yang banyak terutama dari laluan Pantai Timur. Pemindahan operasi itu juga mendapat sokongan daripada pengguna,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kaji-naikkan-tambang-bas-ekspres-30-peratus-1.18881#sthash.flK4EKK1.dpuf
operasi bagi bas ekspres laluan timur dari Hentian Putra akan berpindah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur ber­kuat kuasa 1 Disember depan.
Syed Hamid berkata, pihaknya telah berbincang dengan pengusaha bas di hentian tersebut dan mereka bersetuju untuk berpindah ke TBS.
Katanya, Hentian Putra sememangnya sudah tidak sesuai dise­babkan pelbagai faktor terutama dari segi keselamatan dan gang­guan lalu lintas.
“Di TBS, ia lebih selesa dengan pelbagai kemudahan dan mempunyai kapasiti mencukupi bagi menampung bas yang banyak terutama dari laluan Pantai Timur. Pemindahan operasi itu juga mendapat sokongan daripada pengguna,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kaji-naikkan-tambang-bas-ekspres-30-peratus-1.18881#sthash.flK4EKK1.dpuf