Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 7 Ogos 2014

Mustapa bawa pembangunan di Jeli, berjuang untuk lapangan terbang antarabangsa dan lebuh raya untuk Kelantan

JELI: "Kalau saya letih kerana penat bekerja atau ada masalah, mari ke Jeli saya terhibur dengan apa yang saya lihat kerana inilah pemikiran saya, perancangan saya, dan sumbangan saya secara langsung kepada pembangunan Jeli sekarang, inilah kepuasan saya", kata Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mustapa, 64, anak kelahiran Bachok, mula berjuang membangunkan Jeli sebaik dipilih sebagai wakil rakyat parlimen itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1995 tanpa berhenti di tengah jalan, beliau terus mengubah kawasan yang dianggap termundur di negeri ini sehingga menjadi kawasan pesat membangun.

Meskipun pernah tewas satu penggal kepada calon PAS, Mohd Apandi Mohamad pada PRU 1999, tidak mematahkan semangatnya untuk terus menabur bakti kepada rakyat di kawasan ini sehingga mereka memberi semula mandat kepada beliau untuk kembali menjadi wakil rakyat pada PRU 2004 hingga sekarang.

Pada PRU 2013 Mustapa turut dipilih sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Lanas, satu daripada DUN dalam Parlimen Jeli.

Daripada sebuah pekan kecil, Jeli ditransformasikan menjadi sebuah bandar dengan pelbagai kemudahan termasuk jalan raya empat lorong yang merancakkan pembangunan sekitarnya.

Kini Jeli menjadi pusat pendidikan dengan tersedianya sekolah rendah dan menengah baharu, kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Politeknik, Maktab Rendah Sains Mara, Kolej Komuniti, Pusat Giat Mara, Sekolah Menengah Sains dan Pusat Anak PERMATA Negara.

MENINGKATKAN SYIAR ISLAM

Jeli juga tidak ketinggalan dalam usaha meningkatkan syiar Islam melalui pelbagai kemudahan disediakan termasuk masjid dan surau yang dibina baharu atau dinaiktaraf dan Pusat Dakwah Jeli yang lebih dikenali sebagai Pondok Moden bagi memastikan program dakwah dilaksanakan dengan lebih sistematik.

Kemudahan awam lain yang memberi banyak manfaat kepada penduduk ialah hospital, klinik kesihatan, klinik 1Malaysia, dan klinik desa yang turut diwujudkan di perkampungan masyarakat Orang Asli Sungai Rual yang terletak di pedalaman daerah ini.

Pembinaan stadium mini, gelanggang futsal, gelanggang takraw dan badminton di sekitar daerah ini membantu menggalakkan masyarakat terutama golongan muda melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

Di samping tumpuan kepada bidang pertanian dan pelancongan, pelbagai kemudahan disediakan kepada penduduk untuk menjalankan perniagaan seperti mewujudkan kawasan perniagaan baharu di Bukit Bunga dan kemudahan perbankan.

Kompleks Kastam, Imigresen, dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Bunga dan jambatan kedua merentasi Sungai Golok yang menghubungkan Bukit Bunga dan Buketa di kawasan selatan Thai, adalah pintu gerbang moden untuk rakyat dua negara dalam membangunkan sosio ekonomi setempat.

Bagi pengguna Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan Jeli-Grik di Perak, hentian rehat dan rawat di Gemang dengan kemudahan surau dan medan selera sudah tentu menghilangkan kepenatan memandu.

Selain jalan kampung dinaiktaraf, beberapa jambatan baharu siap dibina untuk kemudahan penduduk antaranya bagi membawa hasil pertanian ke bandar Jeli.

BERPUASHATI MENTRANSFORMASIKAN JELI

Bercakap kepada wartawan Bernama dalam satu temuramah di sini, Mustapa yang lebih mesra dipanggil "Tok Pa" oleh penduduk, berkata walaupun beliau boleh berpuashati mentransformasikan Jeli namun masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk mensejahterakan rakyat di kawasan itu.

"Saya memberi tumpuan dalam bidang pendidikan, program tuisyen yang diadakan di kediaman saya Darul Falah yang bermula pada 1996 membuahkan hasil di mana kini ramai anak Jeli yang berjaya sehingga ramai yang dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara", katanya.

Beliau berkata, usaha lain yang sedang diperhebatkan ialah mengatasi masalah kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan penduduk melalui projek ekonomi dan memberi keselesaan hidup melalui pembinaan baharu atau membaikpulih rumah penduduk yang daif.

Kepuasan lain bagi beliau ialah berjaya membawa sebuah universiti ke Kelantan bagi menampung peluang pendidikan kepada anak negeri iaitu UMK melibatkan pembinaan tiga kampus iaitu di Bachok (kampus induk), Pengkalan Chepa dan Jeli.

"Saya bertanggungjawab dari segi fizikalnya, dari segi perancangannya mungkin ramai yang terlibat, idea sudah lama, dengan kehendak Allah SWT saya dikirim (2004) ke (jawatan) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (antaranya) jaga Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang menyediakan peruntukan, pada masa itu juga Perdana Menteri ketika itu Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) umum penubuhan UMK.

"Selepas sebulan Pak Lah umum dalam parlimen, (2006) saya dihantar pula (dilantik Menteri) ke Kementerian Pengajian Tinggi, masa itulah hendak laksanakan UMK... Tuhan yang maha kuasa," katanya yang juga Menteri Mentor UMK.

Kewujudan UMK yang kini mempunyai lebih 5,000 pelajar dan berteraskan keusahawanan, bukan sahaja untuk anak negeri ini malah dapat menampung pelajar dari seluruh negara.

UMK menjadi pemangkin kepada pembangunan di tiga kawasan berkenaan termasuk rantaian perniagaan hiliran yang berkaitan dengannya yang secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

"Dahulu sebelum ada UMK kampus Jeli, kawasan ini adalah hutan dan sekarang mereka yang melalui Jalan Raya Timur Barat boleh melihat kawasan ini terang benderang dengan bangunan-bangunan universiti", katanya. UMK kampus Jeli mula beroperasi pada Februari 2012.

IMPIAN MUSTAPA UNTUK KELANTAN

Ditanya harapannya untuk negeri Kelantan, Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata masalah perpecahan perpaduan dalam kalangan rakyat negeri ini akibat perbezaan fahaman politik harus segera dipulihkan untuk keharmonian dan kesejahteraan.

"Perpaduan di masjid dan kampung-kampung masih ada masalah, masih ada pihak yang mengeluarkan kata-kata yang tajam, saya amat dukacita dengan perpecahan", katanya.

Beliau menyedari di bawah lebih 23 tahun sejak 1990 Kelantan di bawah pentadbiran kerajaan PAS, aspek pembangunan jauh ketinggalan berbanding negeri lain yang sudah maju dan ini merugikan rakyat.

Beliau mahukan infrastruktur yang lebih baik kerana bukan sahaja untuk kesenangan rakyat tetapi sebagai daya penarik kepada pelabur untuk datang melabur di negeri ini.

"Kalau persekitaran tidak sesuai, infrastruktur tidak cukup, pelabur akan fikir dua tiga kali untuk datang melabur di negeri ini", katanya.

Mustapa berkata antara infrastruktur asas yang amat diperlukan oleh pelabur ialah lapangan terbang bertaraf antarabangsa, pelabuhan, lebuh raya dan sistem jalan raya yang terbaik, serta bekalan air yang stabil dan mencukupi sesuai dengan keperluan industri.

"Saya nak infrastruktur yang lebih baik, saya berjuang untuk lapangan terbang, lebuh raya kerana ini antara yang terpenting untuk Kelantan", katanya.

Beliau berkata perkara lain yang perlu diberi keutamaan ialah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi mengelakkan anak muda berhijrah ke negeri lain untuk mencari pekerjaan.

Sumber: Bernama | 7 Ogos 2014 | Oleh: Mohamad Bakri Darus

Tiada ulasan:

Catat Ulasan