Kesemua tertuduh dibawa keluar dari mahkamah selepas denda diputuskan |
KOTA BHARU: Sembilan kaki judi termasuk dua warga emas masing-masing didenda RM800 oleh mahkamah majistret, di sini, kelmarin.
Hukuman diputuskan Majistret, Mohamad Nasrudin Mohamed selepas semua tertuduh, Muhamad Akmal Yahaya, 19; Adnan Jusoh, 60; Mazlan Nordin, 55; Badrol Isam Ismail, 41; Nik Ahmad Fakri Nik Mahmood, 48; Mohamad Nazri Bedol, 43; Azaha Mat Nor, 47; Rozalani Abdul Manaf, 42, dan Mohd Fazlan Husin, 32, mengaku bersalah terhadap tuduhan.
Semua mereka juga diperintahkan menjalani hukuman penjara selama sebulan, jika denda itu gagal dijelaskan. Mereka mengaku salah didakwa bersama-sama bermain judi jenis ‘ting-tong’ di hadapan kaunter penjualan tiket di Jalan Doktor, di sini, jam 7 petang, 5 Ogos lalu.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pada serbuan lalu, sepasukan anggota polis membuat pemerhatian di kaki lima di hadapan kaunter penjualan tiket bas, mendapati sekumpulan lelaki sedang bermain judi. Polis kemudian menyerbu lokasi berkenaan dan berjaya menahan sembilan lelaki.
Polis merampas sebuah kotak yang dijadikan sebagai alas untuk bermain judi, wang kertas berjumlah RM29 dan dua keping duit syiling 20 sen.
Terdahulu, peguam bela Faizal Ab Rahman yang mewakili semua tertuduh memohon anak guamnya dikenakan hukuman denda minimum.
“Kebanyakan tertuduh bekerja sebagai buruh, prebet sapu dan peniaga buah yang perolehi pendapatan tidak menentu,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamed memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap semua tertuduh.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 9 Ogos 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan