Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 10 Ogos 2014

Industri maritim terus berkembang di Tok Bali

Kerja-kerja menyelenggarakan kapal giat dijalankan di limbungan milik SSME di Tok Bali.
PASIR PUTEH: Pembangunan baik di Tok Bali, di sini, membuka banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan perniagaan bersesuaian dengan keperluan persekitaran.

Semerak Shipyard And Maritime Engineering Sdn Bhd (SSME) yang mempunyai aset kekal melebihi RM10 juta mengungguli industri maritim di negeri ini selepas berjaya meningkatkan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembinaan kapal.

Ketua Pegawai Eksekutif SSME, Ismail Dollah optimis industri tersebut berdaya maju sesuai dengan persekitaran limbungannya yang terletak di Terusan Tok Bali.

Katanya, selain menyelenggarakan bot dan kapal, SSME berjaya membina bot tunda Ketengah untuk digunakan di Tasik Kenyir dan bot Catamaran untuk syarikat Gagnar Corporation Sdn Bhd.

Ketika ini katanya, pihaknya juga membina dua kapal penumpang aluminium sepanjang 40 meter milik syarikat Seawealth Maritime Service (SMS) Sdn Bhd bernilai RM34 juta.

“SSME juga menyelenggarakan aset daripada jabatan kerajaan seperti Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Laut dan Feri Sri Tanjung JKR serta aset syarikat swasta seperti Alam Maritim, Power Tium dan pengusaha bot laut dalam.

“Kita mempunyai 40 kakitangan tetap dan 100 pekerja secara kontrak dalam kalangan pakar tempatan yang berupaya membaiki dan membina kapal dalam tempoh diperlukan menerusi penggunaan teknologi moden,” katanya.

Ismail berkata, selain mempunyai kelebihan sebagai syarikat milik bumiputera sepenuhnya, SSME menawarkan latihan bidang kejuruteraan kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan kolej swasta.

“Kesemua pekerja adalah penduduk tempatan yang berpengalaman dalam pembinaan dan pembaikan kapal, manakala kakitangan pengurusan pula memiliki pengalaman tinggi termasuk pesara tentera dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya.

Menurutnya, kewujudan SSME sudah pasti menjadi penyokong kepada program Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang memberi tumpuan kepada Tok Bali sebagai bandar maritim yang maju pada masa akan datang.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 10 Ogos 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan