Dato' Sri Mustapa Mohamed mengadakan perbincangan dengan Dato' Mokhtar, Pengarah JPPK mengenai pembangunan Kelantan pada 24 Oktober 2014. Foto ihsan: Facebook (Dato' Sri) Mustapa Mohamed |
KEGAGALAN Kelantan menarik pelaburan langsung asing (FDI) bagi menanam modal di negeri ini berpunca daripada kekurangan kemudahan infrastruktur pengangkutan terutamanya lebuh raya dan lapangan terbang antarabangsa (LTAB). Perkara ini diakui sendiri oleh Kerajaan Pusat termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang bertanggungjawab dalam menarik lebih banyak FDI ke negeri Kelantan khususnya dan Malaysia amnya.
Sungguhpun begitu, Kerajaan Pusat masih gagal dalam mempercepatkan projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) kepada sebuah LTAB dan pembinaan lebuh raya Jalan Utama Tengah (CSR) dari Bentong, Pahang sehingga ke Kota Bharu, Kelantan yang menjadi laluan utama yang menghubungkan Kota Bharu dengan Kuala Lumpur.
Dua perkara ini sepatutnya diberi perhatian serius oleh Kerajaan Pusat terutamanya melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR). Menteri Persekutuan yang berasal dari Kelantan, iaitu Dato' Sri Mustapa bin Mohamed juga sepatutnya mengambil perhatian serius akan dua perkara ini.
Naik Taraf LTSIP Kepada Sebuah LTAB
Cadangan menaik taraf LTSIP kepada sebuah LTAB sekali gus menjadi hab penerbangan utama bagi wilayah Pantai Timur Malaysia bukanlah suatu cadangan baharu. Cadangan ini telah lama diutarakan, iaitu tahun 1980-an lagi tetapi sehingga ke hari ini, Kerajaan Pusat masih belum melaksanakan projek naik taraf lapangan terbang ini walaupun setiap kali pilihan raya umum diadakan, Barisan Nasional memasukkan cadangan naik taraf LTSIP kepada LTAB di dalam manifesto mereka di Kelantan.
Dalam pada itu, setiap tahun rakyat Kelantan menanti dengan penuh harapan sekiranya Kerajaan Pusat bermurah hati menyediakan peruntukan khusus untuk menaik taraf LTSIP kepada sebuah LTAB melalui pembentangan belanjawan negara tahunan tetapi saban tahun rakyat Kelantan menanti dengan penuh kehampaan. Persoalan bilakah lapangan terbang ini akan dinaik taraf kepada sebuah LTAB menjadi persoalan berkaitan pembangunan yang paling popular dan yang paling kerap diutarakan oleh rakyat Kelantan. Namun, apakan daya jika harapan rakyat Kelantan ini sekadar melukut di tepi gantang.
LTSIP merupakan lapangan terbang tersibuk di wilayah Pantai Timur Malaysia dari segi jumlah pengendalian penumpang tahunan dan juga pergerakan keluar masuk pesawat. Ia juga merupakan lapangan terbang domestik ketiga tersibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Miri dan Lapangan Terbang Subang Kuala Lumpur. Secara keseluruhannya, ia juga merupakan salah satu daripada 10 lapangan terbang tersibuk di Malaysia.
Pada tahun 2013 misalnya, LTSIP mengendalikan kira-kira 1.6 juta penumpang berbanding kapasiti 1.5 juta penumpang setahun yang mampu ditampung oleh bangunan terminal sedia ada. Dengan kata lain, sudah sampai masanya bangunan terminal sedia ada dibesarkan bagi menampung pertumbuhan pengendalian penumpang yang meningkat dengan ketara saban tahan.
Selain bangunan terminal, landasan LTSIP juga perlu dipanjangkan lagi dari 2,400 meter kepada 3,500 meter bagi membolehkan lapangan terbang ini mengendalikan pesawat berbadan lebar seperti B777-200ER, A330-300, dan B747-400 sekali gus menjadi hab penerbangan utama bagi wilayah Pantai Timur Malaysia.
Setakat ini, wilayah Pantai Timur Malaysia merupakan satu-satunya wilayah di Malaysia yang belum dilengkapi dengan kemudahan LTAB berbanding dua buah LTAB di Wilayah Utara Malaysia dan masing-masing sebuah di Wilayah Tengah Malaysia, Wilayah Selatan Malaysia, wilayah Sabah, dan wilayah Sarawak. Jadi, sudah sampai masanya wilayah Pantai Timur Malaysia juga mempunyai sebuah LTAB, iaitu di Kota Bharu, Kelantan.
Jalan Utama Tengah (CSR)
Projek pembinaan lebuh raya Jalan Utama Tengah (Central Spine Road [CSR]) dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan telah pun diluluskan pembinaannya di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10: 2011 - 2015) oleh Kerajaan Pusat melibatkan jajaran sepanjang 390 kilometer (km) dengan anggaran kos RM6 billion.
Pembinaan lebuh raya ini mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya R5, iaitu jalan empat lorong dua hala dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi dan projek ini dibahagikan kepada enam pakej reka bentuk dan dilaksanakan secara berfasa bermula pada tahun 2008.
Pakej I dan II melibatkan laluan Lebuh Raya Kuala Krai - Gua Musang sedia ada yang akan dinaik taraf kepada jalan empat lorong dua hala. Pakej I dari Kuala Krai sehingga ke Jambatan Sungai Lakit, makakala Pakej II dari Jambatan Sungai Lakit sehingga ke bandar Gua Musang.
Pakej III pula, bermula dari bandar Gua Musang sehingga ke Kampung Relong, Lipis, Pahang. Pelaksanaan pakej ini dibahagikan kepada kepada fasa dan laluan dari Merapoh sehingga ke Kampung Relong sedia untuk dibuka kepada lalu lintas mulai Disember 2014. Pembinaan laluan baharu ini telah bermula secara berperingkat-peringkat sejak 2008 dan Pakej III diberikan keutamaan memandangkan ia merupakan kawasan berisiko tinggi kemalangan jalan raya.
Pakej IV dan V pula masing-masing bermula dari Kampung Relong sehingga ke Raub dan dari Raub sehingga ke Bentong untuk bersambung dengan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), manakala Pakej VI dari Karak sehingga ke Simpang Pelangai, Bentong, Pahang.
Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai (Lebuh Raya KBKK) yang telah bermula sejak April 2014 merupakan sebahagian daripada CSR. Projek ini dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat melibatkan jajaran dari Persimpangan Wakaf Siku sehingga ke Machang, manakala Kerajaan Negeri Kelantan bertanggungjawab bagi jajaran dari Machang sehingga ke Kuala Krai.
Cadangan pembinaan CSR ini sebenarnya ada di dalam Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Pusat pada tahun 2007. Oleh itu, Kerajaan Pusat diminta mempercepatkan pembinaan lebuh raya ini terutamanya melibatkan Pakej I sehingga V (Kuala Krai - Bentong) supaya dapat mempercepat dan melancarkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan sebaliknya.
Harapan Rakyat Kelantan
Setakat ini, telah banyak projek pembangunan yang dibawa masuk dan dilaksanakan di negeri Kelantan oleh Kerajaan Pusat seperti pembinaan sekolah, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), kolej matrikulasi, politeknik, dan universiti; menaik taraf kemudahan hospital termasuk di Hospital Universiti Sains Malaysia dan Hospital Raja Perempuan Zainab II; pembinaan balai polis dan bomba baharu; menaik taraf jalan-jalan persekutuan; pembinaan pejabat-pejabat pentadbiran kerajaan baharu; dan sebagainya.
Namun, Kerajaan Pusat 'terlepas pandang' dua perkara lagi yang sepatutnya turut diberikan perhatian serius, iaitu kemudahan LTAB di negeri ini dan juga mempercepatkan projek pembinaan lebuh raya CSR dari Bentong sehingga ke Kota Bharu. Dengan adanya sebuah LTAB dan jaringan lebuh raya yang cekap, ia akan dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negeri ini sekali gus merancakkan industri pelancongan, pembuatan, dan perkhidmatan di negeri Kelantan khususnya dan wilayah Pantai Timur Malaysia amnya. Ia juga mampu menjadi daya tarikan untuk menarik kemasukan FDI ke negeri Kelantan.
FOKUS PEMBANGUNAN KELANTAN | LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA (LTAB) | LEBUH RAYA | JABATAN PEMBANGUNAN PERSEKUTUAN KELANTAN | DATO' SRI MUSTAPA BIN MOHAMED | LEBUH RAYA JALAN UTAMA TENGAH | CENTRAL SPINE ROAD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan