![]()  | 
| Zamri Ahmad (tiga dari kanan) menunjukkan model pembangunan kepada sebahagian pelabur dari Singapura di Kota Bharu, semalam. | 
KOTA BHARU: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur 
(ECERDC) menjangka dapat menarik pelabur-pelabur Singapura ke negeri ini
 terutama dalam industri hartanah, pembinaan dan pelancongan.
Pengurus Besar Pembangunan Pelaburan ECERDC, Datuk Zamri Ahmad 
berkata, lawatan delegasi daripada Persekutuan Perniagaan Singapura itu 
adalah bagi mendapatkan pendedahan mengenai potensi pelaburan di negeri 
ini.
Beliau berkata, rombongan seramai 19 orang itu yang datang daripada 
pelbagai sektor seperti perhotelan, hartanah dan pembinaan mahu 
menerokai peluang-peluang pelaburan di negeri ini.
"Walaupun mereka menunjukkan minat dalam bidang perhotelan dan 
makanan, namun kita juga mahu mengetengahkan industri halal serta 
pengilangan, pemprosesan makanan dan peluang-peluang dalam hartanah. 
"Kita akan membawa mereka melihat peluang yang ada dalam industri 
sedia ada seperti industri halal di Pasir Mas dan Tok Bali, Pasir 
Puteh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan 
Industri cawangan Kelantan, Azran Deraman; Pengarah Lembaga Pembangunan 
Pelaburan Malaysia (MIDA) negeri, Ismadi Ismail dan Pesuruhjaya Tinggi 
Singapura ke Malaysia, Jeevan Singh.
Rombongan Persekutuan Perniagaan Singapura yang diketuai James Aw itu
 dalam lawatan promosi ke Kelantan, Terengganu dan Pahang selama tiga 
hari bermula hari ini.
Sementara itu, Azran memberitahu, agensi tersebut bersama wakil 
daripada ECERDC, MIDA, Tourism Malaysia, Setiausaha Kerajaan Kelantan 
dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) telah pergi ke 
Singapura pada 8 hingga 10 Oktober lalu.
"Dalam pertemuan itu, kita telah memberi penerangan lanjut mengenai 
peluang-peluang pelaburan yang terdapat di Kelantan sebelum mereka 
sampai ke sini hari ini.
"Selain itu, kita juga telah memberi penerangan kepada Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura tentang perkara sama.
"Setakat ini, masing-masing menunjukan minat kerana kita mempunyai 
penerbangan terus dari Singapura ke Kelantan yang memudahkan untuk 
memasar produk mereka. Kita akan cuba bawa kumpulan ini ke Kelantan 
tidak lama lagi," katanya.
Tambahnya, sebuah syarikat pembinaan terkemuka di Singapura telah 
menunjukkan minat untuk memajukan beberapa tempat di Kota Bharu dan Tok 
Bali, Pasir Puteh.
"Syarikat itu telah menunjukkan minat untuk berbincang lanjut 
mengenai perancangan tersebut. Malah, syarikat itu juga ingin mengetahui
 tentang insentif-insentif yang boleh kita tawar kepada mereka," 
katanya.
"Dalam masa terdekat, kita akan mengatur pertemuan antara syarikat 
ini dan PKINK bagi memastikan pelaburan itu dapat dibawa masuk ke negeri
 ini," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Ekonomi | 14 Oktober 2014 

Alhamdulillah
BalasPadam