KUALA LUMPUR: Berikut merupakan inipati utama Belanjawan Negara 2015 (Bajet 2015) yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat oleh YAB Perdana Menteri pada petang tadi yang berkaitan dengan negeri Kelantan:-
- Landasan kereta api sektor Pantai Timur melibatkan jajaran Gemas - Mentakab, Jerantut - Sungai Yu, dan Gua Musang - Tumpat akan dinaik taraf dengan peruntukan berjumlah RM150 juta.
- Sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan diwujudkan di pusat bandar raya Kota Bharu pada tahun depan. Ia merupakan salah satu daripada empat UTC yang akan diwujudkan pada tahun depan dan tidak termasuk sebuah UTC mini di Alor Setar, Kedah. Tiga lagi lokasi ialah Kuala Terengganu, Seremban, dan Kangar.
Antara perkara-perkara yang menyakitkan hati:-
- Tiada peruntukan disediakan untuk menaik taraf landasan dan kemudahan bangunan terminal di Lapangan Terbang Kota Bharu sedangkan Kerajaan Pusat boleh menyediakan peruntukan untuk memanjangkan landasan Lapangan Terbang Lahad Datu, Sabah untuk membolehkan pesawat berkeupayaan tinggi mendarat.
- Dua buah hospital baharu akan dibina pada tahun depan, iaitu Hospital Dungun di Terengganu dan Hospital Seri Iskandar di Perak. Tiada peruntukan disediakan untuk pembinaan Hospital Bachok yang dijanjikan sejak 2007 lagi.
- Beberapa lagi lebuh raya baharu akan dibina pada tahun depan dan kebanyakannya di Kuala Lumpur Raya (Greater Kuala Lumpur) dan Lebuh Raya Pan Borneo di Malaysia Timur. Persoalannya, adakah rakyat Kelantan tidak perlukan lebuh raya? Dengan pembukaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sehingga ke Kuala Terengganu pada Disember ini, maka Kelantan akan menjadi satu-satunya negeri di Semenanjung Malaysia yang tidak dihubungkan secara terus dengan jaringan lebuh raya yang cekap dengan ibu kota Kuala Lumpur.
- Perkhidmatan bas henti-henti di Kuching, Ipoh, Seremban, Kuala Terengganu, dan Kangar akan ditambah baik melalui sistem kontrak dengan pengendali bas sedia ada di ibu-ibu negeri tersebut. Persoalannya, bilakah perkhidmatan bas Rapid Kota Bharu (RapidKB) akan dimulakan?
Walaupun Kerajaan Pusat acap kali menafikan Kelantan dianaktirikan tetapi rakyat Kelantan boleh menilai sendiri bagaimanakah layanan Kerajaan Pusat ke atas negeri dan rakyat Kelantan. Lapangan Terbang Kota Bharu sepatutnya telah lama dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa (LTAB) langsung tidak diberi perhatian oleh Kerajaan Pusat.
Begitu juga kemudahan sebuah hospital di Bachok, lebuh raya yang menghubungkan negeri ini secara terus dengan ibu kota Kuala Lumpur, dan juga kemudahan pengangkutan awam yang lebih cekap seperti di Kuala Lumpur Raya, George Town, dan Johor Bahru. Biarlah rakyat Kelantan sendiri yang menilai sama ada Kelantan sebenarnya dianaktirikan atau tidak. Biarpun berapa banyak kali penafian dibuat oleh Kerajaan Pusat, hakikatnya rakyat Kelantan bukanlah bodoh sangat untuk menilainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan