LIPIS: Kerajaan Persekutuan akan membuka laluan Central Spine Road (CSR) bermula dari Merapoh ke Relong, Kuala Lipis, akhir tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ini adalah pakej ketiga membabitkan jarak laluan sejauh 107 kilometer.
Menerusi pakej berkenaan, katanya kerajaan akan membina tiga jambatan hidupan liar (Eco-Bridge) di Lembah Sungai Yu membabitkan kos RM60 juta.
"Projek ini adalah pakej ketiga yang diluluskan pelaksanaannya dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) bermula dari Merapoh ke Simpang Pelangai, Bentong.
"Menerusi projek ini, kerajaan memberi perhatian khusus terhadap aspek pemuliharaan hidupan liar. Kita membina laluan utama haiwan berkenaan antara Taman Negara Kuala Tahan di sebelah timur dengan Banjaran Titiwangsa di sebelah barat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas taklimat Projek CSR Pakej Ketiga dari Gua Musang, Kelantan hingga ke Kampung Relong di Kampung Kubang Rusa di sini, petang tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Ir Zohari Akob.
Fadillah berkata, pembinaan tiga buah jambatan hidupan liar itu bukti keprihatinan kerajaan terhadap pemuliharaan hidupan liar dan habitat berkenaan berdekatan hutan taman negara.
"Selain memberi tumpuan kepada aspek keselesaan kepada pengguna, tujuan kerajaan mengekalkan alam semula jadi di sepanjang projek CSR ini adalah untuk dijadikan aset kepada industri pelancongan.
"Saya yakin Lembah Yu akan menjadi transit terpenting kepada pemandu dari Lembah Klang ke Pantai Timur dan berpeluang melihat haiwan liar seperti gajah, harimau, tapir serta seladang melintas di bawah jambatan berkenaan," katanya.
Sumber: Berita Harian Online | 21 Oktober 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan