Kejayaan menangkap ikan seberat 70 kilogram dan sepanjang hampir dua meter menjadi tumpuan penduduk termasuk belia. |
Norisan Mustafa, 35, berkata, ikan patin sepanjang hampir dua meter itu ditangkap menggunakan teknik ‘jeremai’ di Sungai Lubok Jong.
Menurutnya, kenaikan paras air di Sungai Lubok Jong kerana hujan sejak beberapa minggu lalu, menyebabkan ikan mula memenuhi kawasan di sini.
Norisan berkata, seramai 10 penduduk meletakkan pukat jeremai pada jam 10 malam dan selang 30 minit kemudian mereka dapati perangkap mula mengena.
“Disebabkan keadaan terlalu gelap, kami ingat anak buaya terperangkap kerana ekornya mengibas ketika jala ditarik ke atas.
“Selepas empat penduduk berusaha mengangkat pukat jeremai itu, barulah kami dapati ia adalah ikan patin terbesar pernah ditangkap di sungai ini,” katanya.
Sementara itu, Abdullah Mohamad, 50, berkata, inilah kali pertama penduduk berjaya menangkap ikan seberat dan sepanjang ini.
Selain ikan patin katanya, penduduk berjaya menangkap beberapa guni ikan sungai, baung, tapah dan lambak.
Katanya, kebiasaannya penduduk berjaya menangkap ikan patin seberat kurang daripada 20 kilogram seekor.
“Kejayaan ini meningkatkan lagi semangat penduduk untuk menangkap ikan ketika musim tengkujuh,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 Oktober 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan