Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 15 Oktober 2014

Projek Lebuh Raya Rakyat Machang - Kuala Krai berjalan lancar


KOTA BHARU: Selepas pelancaran masuk tapak diadakan pada 27 Ogos lalu, kerja-kerja tanah pembinaan Lebuh Raya Rakyat Machang - Kuala Krai kini siap kira-kira 75 peratus.

Kerja-kerja tersebut membabitkan jajaran sepanjang 3 km di Bukit Bakar, Machang. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata, kerja-kerja tersebut berjalan lancar.

Katanya, pembinaan diteruskan secara berperingkat-peringkat termasuk di kawasan tapak milik persendirian.

“Proses pengambilan semula tanah milik yang terbabit dengan jajaran itu sedang dijalankan Pejabat Tanah dan Galian.

Ia dijangka mengambil masa sehingga sembilan bulan untuk diselesaikan,” katanya menjawab soalan Ustaz Roseli Ismail (PAS-Kemuning) pada persidangan Dun hari ini.

Projek lebuh raya tersebut diusahakan kerajaan negeri setelah tertangguh sejak 1986 apabila kerajaan pusat tidak senaraikan dalam RMK-5.

Pembinaan lebuh raya rakyat sepanjang 30.5 kilometer bermula dari Bukit Tiu sehingga Dusun Damar, Kuala Krai membabitkan kos sebanyak RM854 juta dijangka siap akhir 2017.

Sementara itu Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, sejak 2010 sehingga September lepas Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) mengeluarkan pinjaman sebanyak RM23.7 juta kepada pelajar melanjut pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Katanya, pinjaman yang diberi pada 2010 kepada seramai 529 pelajar, 2011 (615 pelajar), 2012 (906 pelajar), 2013 (1,039 pelajar) dan 31 pelajar sehingga September lepas.

Pinjaman tersebut termasuk kepada 222 pelajar yang mengikut pengajian di Universiti al Azhar, Mesir dalam bidang perubatan, pendidikan Islam, tahfiz dan lughah.

Selain itu pinjaman kepada pelajar di Jordan seramai 50 orang, Indonesia (100) dan Maghribi (12). 
 
Sumber: Harakah Daily | 14 Oktober 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan