Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 12 Oktober 2014

Kemudahan jeti di Pengkalan Kubor akan dinaik taraf oleh Kerajaan Pusat

Jeti Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan. 
TUMPAT: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi membina sebuah jeti besar dan 10 jeti kecil di Pengkalan Kubor bagi kemudahan nelayan dan penduduk di kawasan berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembinaan jeti itu bagi memenuhi keperluan rakyat di kawasan berkenaan.

Beliau mengumumkan peruntukan tersebut di hadapan kira-kira 5,000 penduduk Pengkalan Kubor pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat: Sepetang Bersama Perdana Menteri di Pusat Khidmat Masyarakat Kampung Geting, Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan untuk menaik taraf Pondok Simpangan di sini yang diasaskan Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor yang baharu Mat Razi Mat Ail sebagai Pondok Moden.

Tanpa menyebut jumlah peruntukan, Najib berkata beliau meluluskan peruntukan khas bagi kerja menaik taraf pondok berkenaan yang dijadikan pusat pengajian ilmu agama Islam.
   
Pada majlis itu, Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengulas Bajet 2015 yang dibentangkannya di Dewan Rakyat semalam, sambil berkata kerajaan melakukan yang terbaik untuk keperluan rakyat termasuk kepada petani dan nelayan di Pengkalan Kubor.

Ini termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia, kenaikan elaun bulanan kepada nelayan dan peruntukan RM250 juta untuk membina dan membaik pulih rumah nelayan di seluruh negara.

Dalam lawatan ke Dun Pengkalan Kubor hari ini, Perdana Menteri turut melawat Pondok Simpangan dan menunaikan solat Asar di Masjid Kampung Simpangan di sini.

Sebelum itu, beliau menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Siam Kelantan di Wat Machimmaran, Jubakar di sini. Lawatannya itu juga bagi mengucapkan terima kasih kepada rakyat di Dun Pengkalan Kubor kerana terus memberi kepercayaan dan sokongan kepada BN.   

Pada pilihan raya kecil Dun Pengkalan Kubor 25 Sept lalu, Mat Razi Mat Ail mempertahankan kerusi BN bagi Dun itu dengan memperoleh majoriti 2,635 undi iaitu bertambah sebanyak 899 undi berbanding majoriti 1,736 undi diperoleh penyandang Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada pilihan raya umum ke-13.

Mat Razi mendapat 9,961 undi, mengalahkan calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim (7,326 undi) dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail yang hilang wang pertaruhan dengan memperoleh 38 undi sahaja.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dan Mat Razi.

Sumber: Bernama | 11 Oktober 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan