Sebahagian tapak untuk pembinaan Hospital Bachok yang telah menjadi semak-samun. (Gambar fail yang diambil pada September 2012 oleh Azman) |
Jajahan Bachok terletak di sebelah timur negeri Kelantan yang bersempadan dengan Jajahan Kota Bharu dan Pasir Puteh serta mengadap Laut China Selatan. Setakat ini kebanyakan penduduk Bachok yang melebihi 100,000 orang terpaksa mendapatkan rawatan hospital di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ2) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kota Bharu atau Hospital Tengku Anis di bandar Pasir Puteh.
Janji Sejak Rancangan Malaysia Kesembilan
Projek pembinaan sebuah hospital daerah di jajahan ini telah dicadangkan untuk dilaksanakan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9: 2006 - 2010) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH). Proses pengambilan tanah bagi projek ini telah dibuat di dalam RMK-9 tetapi sehingga kini projek ini belum ada tanda-tanda untuk dilaksanakan segera walaupun semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (April - Mei 2013), UMNO Bahagian Bachok ada membuat majlis solat hajat di tapak hospital ini. Tapak hospital telah dikosongkan oleh penduduk yang terlibat dengan projek ini secara berperingkat-peringkat dan keluarga terakhir telah mengosongkan tapak hospital ini pada Mac 2011.
Kebajikan Rakyat Tidak Penting, Yang Penting Survival Politik
Cara rakyat di Bachok diperlakukan membuktikan bahawa kebajikan rakyat tidak penting bagi UMNO Bahagian Bachok. UMNO Bahagian Bachok yang masih diketuai Datuk Dr Awang Adek bin Hussin (Awang Adek) yang kini menjadi Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat tidak pernah memikirkan jerit-perih dan kebajikan rakyat di Bachok. Mereka hanya tahu kepentingan survival politik dan bagaimana untuk menarik sokongan rakyat kepada UMNO. Tiada apa yang dibanggakan sangat oleh penduduk Bachok khususnya dan rakyat Kelantan amnya apabila Awang Adek dilantik menjadi Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat.
Rakyat Kelantan tidaklah terlalu bodoh untuk mempercayai sesuatu janji politik termasuk janji pembinaan sebuah hospital yang belum tentu ditunaikan jika UMNO menang di Bachok. Persoalannya, penyediaan kemudahan kesihatan termasuk hospital daerah ini memang tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan bukannya di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri Kelantan.
Apakah jasa Awang Adek di Bachok? Jika Dato' Sri Mustapa Mohamed yang juga seorang anak Bachok ada jugalah jasanya kepada penduduk Bachok dan Jeli khususnya berkaitan penubuhan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ketika beliau menjadi menteri pengajian tinggi pada ketika itu. UMK kini mempunyai tiga buah kampus, iaitu Kampus Bachok, Kampus Kota di Kota Bharu, dan Kampus Jeli. Sebagai tambahan, sebuah lagi politeknik dibina di Kelantan, iaitu di Jeli di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.
Jika Dato' Sri Mustapa Mohamed kalah di Parlimen Jeli pada suatu hari nanti, setidak-tidakpun orang akan tetap mengingati jasa-jasanya di Jeli mahupun di Bachok (tentang penubuhan UMK) tetapi bagaimana pula dengan Awang Adek yang sudah dua kali berturut-turut ditolak oleh penduduk Bachok melalui Pilihan Raya Umum Ke-12 (2008) dan Pilihan Raya Umum Ke-13 (2013)? Sudahlah beliau sendiri tidak mempertahankan projek hospital Bachok untuk penduduk Bachok, beliau jugalah yang tidak bersungguh-sungguh dan adakah akan dikenang sebagai seorang pemimpin yang baik?
Penduduk Bachok Ditipu Hidup-hidup
Laporan New Straits Times bertarikh 28 Ogos 2012 dengan tajuk "RM100m hospital for Bachok next year" (Hospital RM100 juta untuk Bachok pada tahun depan) cukup mengembirakan penduduk Bachok lebih-lebih lagi yang bercakap itu merupakan seorang perdana menteri. Tahun depan (next year) yang dimaksudkan itu tentulah tahun 2013 tetapi malangnya sehingga ke hari ini projek tersebut gagal direalisasikan. Bukankan penduduk Bachok ditipu hidup-hidup kali ini?
Jawapan Yang Diberikan Macamlah Orang Bachok Bodoh Sangat
Sumber: Berita Harian | 13 September 2012 |
- 01.06.2006: Bermulanya Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9: 2006 - 2010)
- 16.05.2007: Laporan Berita Harian dengan tajuk "Bachok, Kuala Krai dapat hospital". Antara intipati laporan berita ini adalah Bachok bakal memiliki hospital daerah tanpa pakar dengan kemudahan 80 katil yang akan dilaksanakan di dalam RMK-9.
- 08.03.2008: Pilihan Raya Umum Ke-12. Janji pembinaan hospital ini dijadikan bahan kempen oleh UMNO dan Barisan Nasional.
- 01.01.2011: Bermulanya Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10: 2011 - 2015) tetapi projek hospital daerah ini masih belum dimulakan.
- 28.08.2012: Laporan New Straits Times dengan tajuk "RM100m hospital for Bachok next year." Y.A.B Perdana Menteri (Dato' Sri Najib bin Tun Abdul Razak) mengumumkan bahawa projek hospital Bachok bernilai lebih RM100 juta akan mula dibina pada tahun 2013.
- 05.05.2013: Pilihan Raya Umum Ke-13.
- 31.12.2013: Pembinaan hospital ini masih belum dimulakan walaupun Perdana Menteri sendiri berkata projek ini akan mula dibina pada tahun 2013. Suatu lagi janji ditepati! (Ditepatilah sangat!)
- 05.05.2014: Pilihan Raya Umum Ke-13
- 16.05.2014: Tujuh tahun kemudian - sebuah hospital masih gagal direalisasikan.
- 10.10.2014: Pembentangan Belanjawan Negara 2015 di Dewan Rakyat. Dua buah hospital daerah baharu akan dibina pada tahun 2015, iaitu Hospital Dungun (Terengganu) dan Hospital Seri Iskandar (Perak). Tiada peruntukan diumumkan untuk pembinaan Hospital Bachok yang sepatutnya telah bermula pembinaannya pada tahun 2013 (seperti yang dijanjikan oleh YAB Perdana Menteri).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan