Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 28 September 2017

50 graduan jalani Program Latihan Kemahiran Industri ECRL

KUANTAN: Seramai 50 siswazah lulusan diploma dan ijazah pusat pengajian tinggi tempatan mencatat sejarah menjadi peserta pertama Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL), selama tiga bulan bermula hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata mereka akan ditempatkan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang di sini, bagi menjalani latihan yang bertujuan memantapkan pengetahuan dalam bidang teknologi kereta api.

Katanya, pengambilan peserta program itu dikendalikan Malaysian Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan mereka yang berkelulusan kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrikal itu menerusi proses temuduga.

"MRL menerima 760 permohonan bagi PLKI-ECRL sebaik sahaja majlis pecah tanah projek ECRL dirasmikan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) pada 9 Ogos lalu, sebelum disenarai pendek kepada 250 untuk sesi temuduga.

"50 peserta akhir ini akan ditawarkan pekerjaan secara automatik sama ada di MRL, China Communications Construction Company (CCCC) atau sub-kontraktor yang terlibat dalam projek ini,"katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Idris menambah pengambilan peserta PLKI-ECRL itu juga bukti komitmen kerajaan menunaikan janji melatih 3,600 anak tempatan dalam tempoh lima tahun supaya mereka berkeupayaan untuk terlibat dalam pembangunan ECRL bernilai RM55 bilion yang dijadualkan siap pada 2024.

Beliau menambah pengambilan seterusnya dijadualkan seramai 250 orang pada November ini diikuti 400 orang (2018), 1,200 orang (2019), 700 orang (2020) dan 500 orang masing-masing pada 2021 dan 2022.

Mengenai pemilihan UMP sebagai pusat latihan, Idris berkata universiti itu dipilih sebagai universiti koordinator hasil rundingan kerjasama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan MRL selain pengkhususannya sebagai universiti teknikal.

"Kedudukan UMP di tengah-tengah landasan ECRL menjadi nilai tambah kepada universiti ini. UMP juga telah mendapat kerjasama daripada Beijing Jiaotong University dan Southwest Jiaotong University bagi perkongsian pengetahuan dan teknologi bidang pengangkutan kereta api.

"Malah saya diberitahu Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UMP telah memperkenalkan kursus elektif berkaitan teknologi rel pada bulan ini, menunjukkan keseriusan dan komitmen mereka dalam bidang teknologi kereta api,"katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL Darwish Abdul Razak berkata mereka yang terpilih terdiri daripada 21 graduan diploma dan 29 graduan sarjana muda daripada institusi pengajian tinggi seluruh negara.

"Keutamaan diberikan kepada mereka yang berasal dari Pantai Timur dan Selangor. Mereka yang terpilih juga menerima elaun bulanan sebanyak RM900 bagi lulusan diploma dan RM1,000 bagi lulusan sarjana muda selain disediakan kemudahan penginapan,"katanya.

Darwish menambah mereka yang berjaya melengkapkan latihan dan penilaian PLKI-ECRL akan menerima sijil kehadiran yang diiktiraf oleh CCCC.

Sumber: Bernama | 25 September 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan