BACHOK: Polis Kelantan mengenal pasti lebih 100 lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand dalam usaha mengekang kemasukan pelarian Rohingya secara haram ke negara ini berikuan pergolakan yang sedang berlaku di Myanmar.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata lantaran itu, kawalan semakin dipertingkatkan bagi membendung kemasukan pelarian Rohingya di kawasan sempadan tersebut selain mengelak berlakunya perkara dan insiden yang tidak diingini.
"Polis sudah mengenal pasti terdapat antara 130 dan 150 lorong tikus yang diwujudkan untuk kegiatan penyeludupan di sempadan tersebut dari kawasan Jeli hingga ke Tumpat. Kita akan pantau dan tingkatkan kawalan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup kejohanan bola sepak dan bola tampar Piala Ketua Polis Kelantan di sini, hari ini.
Terdahulu, di majlis tersebut, Hasanuddin, dalam ucapannya, berkata anggota polis di negeri itu perlu melakukan aktiviti fizikal bagi mengurangkan berat badan dan mencegah penyakit kronik seperti serangan jantung, kencing manis dan buah pinggang.
Beliau berkata mana-mana anggota yang didapati gagal mengawal berat badan, bakal terlepas peluang untuk dinaikkan pangkat.
Sumber: Bernama | 18 September 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan