Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 12 September 2017

KKLW sukar laksana pembangunan berkaitan tanah di Kelantan

PASIR PUTEH: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menghadapi kesukaran melaksanakan projek pembangunan yang berkaitan dengan tanah di Kelantan terutama bagi memperluas ladang tanaman getah dan sawit.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata kesukaran itu disebabkan Kerajaan Persekutuan tidak mendapat kerjasama penuh daripada Kerajaan Negeri Kelantan bagi mendapatkan tanah yang mencukupi untuk pelaksanaan projek tersebut.

"Ini termasuklah memperluas kawasan untuk dimajukan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) iaitu agensi di bawah kementerian ini," katanya ketika berucap merasmikan program Moh Ngeteh Merdeka KKLW sempena Hari Kemerdekaan 2017 Peringkat Negeri Kelantan di Kampung Gong Datuk di sini, hari ini.

Ahmad Jazlan berkata kekangan untuk mendapatkan tanah menyebabkan usaha melibatkan penyertaan lebih ramai rakyat Kelantan dalam projek pembangunan tidak dapat dilaksanakan.

Sementara itu, beliau mengingatkan pekebun kecil getah dan penoreh supaya segera membuat permohonan dengan Lembaga Getah Malaysia bagi mendapatkan bantuan musim tengkujuh sebanyak RM200 sebulan selama tiga bulan mulai November ini.

"Walaupun tarikh akhir pendaftaran ialah pada 31 Okt ini tetapi mereka harus segera membuat permohonan bagi mengelak kesulitan jika membuat permohonan di saat-saat akhir," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa bantuan kewangan RM200 sebulan selama tiga bulan dari November 2017 hingga Januari 2018 diberi kepada 440,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara berikutan musim tengkujuh.

Sumber: Bernama | 11 September 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan