KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang baharu, menggantikan Sultan Muhammad V yang kini Yang di-Pertuan Agong.
Pelantikan baginda selama lima tahun sehingga 2022 itu diperkenankan oleh Sultan Muhammad V pada 12 Feb lepas dan pemasyhuran hari ini diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dalam istiadat yang berlangsung di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini.
Tengku Muhammad Faiz, 43, berkelulusan doktor falsafah dalam bidang sejarah dari University College of London.
Turut hadir pada istiadat itu ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK Profesor Datuk Dr Mortaza Mohamed.
Bertitah pada istiadat tersebut, Tengku Muhammad Faiz mahu UMK memberi tumpuan kepada usaha menjamin kualiti dan kecemerlangan dalam semua aspek yang menentukan kekuatan serta penjenamaan universiti itu dapat diperkasa.
"Kita kini berada dalam era revolusi industri keempat dengan perkembangan teknologi yang sangat pesat. Dalam hal ini, beta berharap UMK tidak ketinggalan dalam melakukan lonjakan dan bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan global semasa," titah baginda.
Titah baginda pada masa sama UMK harus memastikan sanjungan nilai dan fikrah keinsanan graduan yang dihasilkan perlu dinamik dan seimbang dari sudut intelek dan rohani.
Sebagai sebuah universiti keusahawanan, UMK perlu melipatgandakan usaha untuk menjadikan keusahawanan sebagai kekuatan utamanya dengan meningkatkan ekosistem keusahawanan meliputi aspek akademik, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan pelajar, titah Tengku Muhammad Faiz.
Baginda juga bertitah dalam usia yang kini sudah mencapai 10 tahun, universiti itu telah memberi sumbangan yang amat besar bukan hanya kepada dunia pendidikan tinggi negara tetapi juga kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat terutama di Kelantan.
Baginda berharap UMK akan terus memberi impak kepada kesejahteraan hidup rakyat yang memerlukan perhatian melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan yang telah dilakukan seperti pelan tindakan pengurusan kemiskinan.
Sumber: Bernama | 25 September 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan