Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 28 September 2017

Pembelian 16 pesawat jimatkan kos pajakan hingga 20%

Peter Bellew
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines mempertahankan langkah pembelian 16 pesawat Boeing yang merupakan sebahagian daripada penyusunan semula kumpulan pesawatnya bagi menjimatkan kos pajakan antara lima hingga 20 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Peter Bellew berkata, sebagai sebahagian daripada langkah itu juga, Malaysia Airlines turut menandatangani surat hasrat (LOI) dengan AerCap untuk memajak enam pesawat terpakai A330-200 bagi menggantikan enam pesawat bersaiz kecil Boeing 737 yang akan dipulangkan semula kepada syarikat pemajak.

Ketika ini, Malaysia Airlines beroperasi dengan 69 pesawat dengan 48 pesawat bersaiz kecil (narrow­body), manakala sele­bihnya adalah pesa­wat bersaiz besar (widebody).

Jelasnya, jumlah itu akan meningkat kepada 80 pesawat menjelang 2022 apabila pesawat bersaiz kecil yang tidak boleh beroperasi lagi akan digantikan dengan pe­sawat bersaiz besar yang menyaksikan pengimbangan semula rangkaian kumpulan pesawat daripada 70:30 kepada 55:45.

“Bagi penyusunan semula kumpulan pesawat ini, kami secara dasarnya tetap mempertimbangkan mekanisme pajakan kerana ia amat praktikal tanpa melibatkan sebarang pembiayaan tambahan apatah lagi kos pajakan bagi semua pesawat ini adalah lebih rendah dan mungkin lebih rendah lagi berbanding kos pajakan sedia ada.

“Sehubungan itu, dengan kadar pajakan baharu tersebut (bagi pesawat A330-200) adalah sangat kompetitif dan kami cuba mengambil peluang melalui pajakan ini,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan terbaharu pelan pemulihan Malaysia Airlines di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Malaysia Airlines, Tan Sri Md. Nor Yusof.

Berdasarkan LOI itu yang ditandatangani hari ini, A330-200 akan dipajakkan selama enam tahun mulai 2018 hingga 2023 dan akan digunakan untuk meme­nuhi perjalanan jarak jauh.

Pesawat tersebut akan mula diterima secara berperingkat pada Februari 2018 diikuti Jun dan Oktober bagi membolehkan syarikat penerbangan itu menempah pesawat bersaiz besar yang sete­rusnya.

Setakat ini, Malaysia Airlines beroperasi dengan enam buah pesawat A380, 15 buah A330-300 dan 48 buah B737-800.

Pada 12 September lalu, Boeing dan Malaysia Airlines menandatangani Memorandum Persefahaman untuk membeli 16 pesawat, masing-masing lapan 787 Dreamliners dan 737 MAXs, di Washington D.C.

Syarikat penerbangan negara itu melalui proses penstrukturan semula sejak 2014 yang menyaksikan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), sebagai pemegang saham utama menyuntik sebanyak RM6 bilion dengan separuh daripadanya digunakan sebagai modal permulaan untuk pembentukan entiti baharu (kemudiannya dikenali sebagai MAB pada Julai 2015).

Bellew turut mengalu-alukan pelantikan Habibul Rahman Kadir Shah sebagai pengarah bukan eksekutif MAS pada 18 Mei lalu, yang disifatkannya sebagai ‘bertenaga’ dan mempunyai pandangan yang kukuh berhubung bagaimana syarikat penerbangan itu harus dipertingkatkan.

“Saya fikir dia mempunyai perspektif berbeza. Beliau seorang akauntan bertauliah dan mempunyai pengalaman dengan syarikat multinasional. Beliau seorang ahli perniagaan yang banyak pengalaman, sentiasa bergerak sepanjang masa,’’ ujarnya.

Habibul Rahman merupakan graduan UiTM dan ahli bersekutu Chartered Institute of Secretaries and Administrators, Park Crescent, London. Beliau pernah berkhidmat sebagai akauntan di tiga konglomerat iaitu Bata, Nestle dan L’oreal lebih 10 tahun sebelum menubuhkan firma perunding Strategi Korporat dan Penasihat Kewangan dalam bidang penggabungan, pengambilalihan, penyusunan semula dan penyah­laburan.

Bellew juga mengalu-alukan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa dalam menyertai lembaga pengarah MAS.

Sumber: Utusan Malaysia | Ekonomi | 27 September 2017 | Terbitan 28 September 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan