Scoot
akan mengendalikan penerbangan harian dari Singapura ke Kuching dan terbang
tiga kali seminggu ke Kuantan.
|
KUALA LUMPUR: Scoot, unit penerbangan tambang rendah jarak sederhana dan jauh Singapore Airlines Group memulakan jualan tiket bagi destinasi terbaharu di Malaysia iaitu Kuching dan Kuantan.
Ketua Pegawai Eksekutif Scoot, Lee Lik Hsin berkata, Scoot akan menawarkan penerbangan ke Kuching setiap hari bermula 29 Oktober 2017 dan ke Kuantan tiga kali seminggu bermula 2 Februari 2018.
Katanya, Scoot akan mengendalikan penerbangan harian dari Singapura ke Kuching dan terbang tiga kali seminggu ke Kuantan.
Lik Hsin berkata, penambahan Kuching dan Kuantan ke dalam laluan penerbangannya melengkapkan rangkaian meluas syarikat penerbangan itu bagi Asia Tenggara.
“Kami akan terus mencari peluang untuk menawarkan ‘scootitude’, pengalaman perjalanan unik Scoot kepada lebih ramai penumpang di rantau ini,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.
Scoot juga telah menawarkan tambang sehala menarik bagi penerbangan ke Kuching serta Kuantan hingga 14 Ogos lalu.
Dua lokasi itu merupakan antara lima destinasi penerbangan baharu yang diumumkan pada 25 Julai lalu bersempena dengan penggabungan Scoot-Tigerair di bawah jenama Scoot.
Tiga destinasi lain itu ialah Honolulu, Amerika Syarikat, Harbin, China dan Palembang, Indonesia.
Dalam perkembangan lain, jelasnya, Scoot menyasar untuk menggandakan jumlah pesawatnya dalam tempoh lima tahun.
“Scoot yang memiliki 14 Boeing 787 Dreamliners kerangka lebar dan 23 Airbus A320 ketika ini, akan menambah enam Boeing 787 Dreamliners dan 39 Airbus A320neo ke dalam kumpulan pesawatnya tidak lama lagi.
“39 pesawat Airbus A320neo itu akan diserahkan secara berperingkat bermula dari 2018 dan tahun-tahun seterusnya bagi pertumbuhan dan penggantian pesawat yang ada sekarang,” kata Lik Hsin.
Scoot juga melancarkan pesawat A320 pertamanya, yang sebelum ini dikendalikan oleh Tigerair dan mengecat semula dengan lambang pengenalan Scoot, dinamakan Conscious Coupling bersempena dengan penggabungan Scoot dan Tigerair.
Keseluruhan pesawat Tigerair akan menjalani transformasi dan perubahan lambang pengenalan itu dijangka selesai pada pertengahan 2018.
Sumber: Utusan Malaysia | Bisnes | 1 September 2017 | Terbitan 2 September 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan