Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 28 September 2017

JKM diperuntukkan lebih RM1 juta untuk hadapi banjir di Kelantan

KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan diberi peruntukan lebih RM1 juta sebagai persediaan menghadapi kemungkinan musibah banjir di negeri itu hujung tahun ini atau awal tahun depan, kata Pengarahnya Said Sidup.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi RM740,000 daripada Kerajaan Persekutuan manakala RM300,000 lagi daripada kerajaan negeri.

"JKM menyenaraikan 699 pusat pemindahan termasuk 14 berkapasiti besar yang mampu menempatkan 213,180 mangsa banjir," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Said berkata jabatan itu turut mengenal pasti kawasan berisiko dilanda banjir di jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh.

Selain itu, JKM menyenaraikan 222 pangkalan hadapan sebagai pusat pengumpulan barang keperluan asas untuk diagihkan ke pusat pemindahan, katanya.

Said berkata 28 kenderaan pacuan empat roda dan dua lori disediakan untuk memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan.

"Seramai 214 orang sukarelawan yang berdaftar dengan JKM akan dikerahkan membantu mangsa banjir apabila banjir diisytiharkan di suatu kawasan," katanya sambil menambah JKM akan mengadakan bengkel latihan simulasi bencana di semua 10 jajahan di negeri itu mulai bulan depan.

Sumber: Bernama | 25 September 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan