Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 17 Disember 2017

Jabatan Imigresen Kelantan tahan dua tekong seludup 17 PATI

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Kelantan menahan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 37 tahun disyaki tekong yang terbabit dalam aktiviti menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata tangkapan tersebut dilakukan di Kampung Tersang, Jeram Perdah, Pasir Mas kira-kira pukul 11.30 malam pada Jumaat lepas.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan ketika sedang membawa 17 PATI warga Myanmar berusia tiga hingga 49 tahun menggunakan sebuah kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Seorang daripada suspek cuba melarikan diri selepas kami memperkenalkan diri namun berjaya ditahan, manakala rakannya ditahan ketika berada di dalam MPV berkenaan.

“Kesemua PATI berkenaan dipercayai masuk ke negara ini menerusi pangkalan haram Tersang tanpa menggunakan dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Wan Mohammed Saupee berkata kesemua warga Myanmar terbabit disiasat menurut Akta Imigresen 1959/1963 manakala dua suspek berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26 (J) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Beliau berkata pihaknya turut merampas kedua-dua kenderaan terbabit yang dianggarkan bernilai RM18,000 dan RM95,000.

Sumber: Bernama | 17 Disember 2017 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan