Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 17 Disember 2017

Nelayan Pantai Sabak dakwa nelayan Vietnam rosakkan unjam

KOTA BHARU: Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap nelayan Vietnam yang didakwa memusnahkan unjam nelayan tempatan sehingga menjejaskan pendapatan mereka. 

Lebih 200 nelayan pesisir pantai di Jeti Tanjong Kuala dekat Pantai Sabak, Pengkalan Chepa di sini mendakwa nelayan negara itu menggunakan bot Kelas C dan menceroboh masuk ke zon tangkapan nelayan pesisir menyebabkan unjam milik nelayan tempatan rosak.

Pengerusi Komuniti Nelayan Tanjong Kuala Mohd Faizal Rashid mendakwa pencerobohan tidak terkawal membolehkan nelayan asing itu mengaut seberapa banyak tangkapan di kawasan tersebut sehingga menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan di kawasan itu.

"Sudah lama perkara ini berlarutan namun, ia semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini kerana nelayan asing semakin rakus menangkap ikan di kawasan nelayan pesisir pantai," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya semasa musim tengkujuh sekarang, nelayan pesisir pantai banyak bergantung kepada unjam yang kini musnah akibat kegiatan nelayan asing itu.

Sehubungan itu, beliau berharap agensi berkenaan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perikanan, Polis Marin dan Jabatan Laut mengambil tindakan tegas berhubung isu itu.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi yang membuat lawatan ke Jeti Tanjong Kuala berkata isu itu akan dibincangkan dengan agensi terbabit bagi memastikan aktiviti pencerobohan itu ditangani segera.

Sumber: Bernama | 17 Disember 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan