TUMPAT: Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan projek tebatan banjir bernilai RM300 juta di sepanjang Sungai Golok di Tumpat bermula awal tahun hadapan bagi mengatasi masalah 'banjir termenung' di jajahan itu.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Hamim Samuri berkata projek tebatan banjir sepanjang 26 kilometer itu akan bermula di Pengkalan Kubor hingga ke Kuala Jambu, di sini.
"Tebatan setinggi satu hingga tiga meter itu dijangka akan dibina Feb depan selepas sesi pemilihan kontraktor yang layak diselesaikan dalam masa terdekat. Projek ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun setengah," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerjanya ke Kelantan hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kelantan Kamal Mustapha dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail.
Hamim turut melawat tapak projek tebatan banjir tersebut selain meninjau perkembangan terkini kawasan yang dilanda banjir di negeri ini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Hamim berkata projek tebatan banjir itu turut melibatkan pembinaan pintu laluan automatik dan pembentung air bagi memastikan air dari kawasan perkampungan dapat dialirkan ke sungai tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya turut menyediakan kemudahan 110 unit pam air bergerak untuk kegunaan musim banjir di seluruh negara bernilai lebih RM30 juta.
Sementara itu, Mat Razi berkata projek tebatan banjir tersebut bukan hanya akan memberi keselesaan kepada ribuan penduduk malah mampu mengelakkan lebih 200 hektar sawah padi di sekitar Pengkalan Kubor daripada ditenggelami banjir.
Katanya dengan terbinanya tebatan tersebut masalah 'banjir termenung', iaitu masalah air banjir bertakung yang selama ini mengambil masa sehingga tiga minggu untuk surut bakal diatasi.
"Keprihatinan yang ditunjukkan kerajaan pusat ini pastinya memberi kelegaan kepada semua pihak terutama penduduk kampung. Kami amat menghargainya dan ia diharap mampu menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk sejak sekian lama," katanya.
Sumber: Bernama | 14 Disember 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan