JELI: Sebanyak 132 murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rual di sini, teruja kerana akan memulakan sesi persekolahan mereka pada minggu hadapan di sekolah baharu yang lebih selesa berdekatan perkampungan mereka.
Seorang murid Romi Zaudi, 11, berkata beliau tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahannya itu bersama rakan-rakannya yang lain.
"Sekolah baharu ini cantik, tidak seperti sekolah lama kami. Kami akan dapat belajar dalam bilik darjah baharu dan akan menggunakan komputer di makmal komputer yang baharu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad merasmikan majlis penyerahan sekolah bernilai RM13 juta itu yang siap pembinaannya pada September lepas, dan turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Sekolah berkenaan kini mempunyai 10 bangunan akademik, asrama dan kemudahan asas lain seperti padang permainan dan surau.
Romi berkata mereka juga gembira kerana disediakan sebuah padang yang luas untuk aktiviti riadah dan sukan.
Asikin Osman, 11, pula kelihatan gembira dapat tinggal di asrama baharu yang lebih selesa bersama rakan-rakannya.
"Sebelum ini di sekolah lama, kami juga tinggal di asrama, namun asrama baharu ini lebih selesa yang turut berada di dalam kawasan sekolah yang memudahkan saya dan rakan-rakan lain pergi ke kelas," katanya.
Seorang penduduk Mohd Rezduan Tokol, 55, berkata sekolah baharu itu akan memberi semangat kepada murid di sini untuk belajar bagi meningkatkan prestasi pembelajaran mereka.
"Saya ada tiga orang anak yang akan memulakan persekolahan di sini iaitu tahun satu, tiga dan enam, saya harap anak saya dan murid lain dapat menggunakan sepenuhnya keselesaan dan kemudahan yang terdapat di sekolah ini untuk cemerlang dalam pelajaran.
"Lepas ini tiada alasan untuk malas pergi sekolah, kemudahan sekolah ini tidak sama seperti generasi terdahulu yang belajar di sekolah lama," katanya.
Sumber: Bernama | 27 Disember 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan