Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 15 Disember 2017

Jangan tiru iklan usahawan bodohkan diri sendiri

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr Ibrahim Che Omar (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn. Bhd., Syed Muhammad Ghaddafi Syed Ali Al-Habshee selepas program Syarahan Perdana bertajuk 'Perintis Jutawan Muda' di Kampus Kota Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa di Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Usahawan muda tidak perlu meniru cara segelintir pihak menarik perhatian pengguna melalui iklan yang memperbodohkan diri sendiri.

Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn. Bhd., Syed Muhammad Ghaddafi Syed Ali Al-Habshee berkata, strategi memasarkan produk dengan cara memfokuskan kepada kemewahan dan gaya hidup pengusaha adalah sangat mengelirukan dan merupakan contoh yang buruk kepada usahawan baharu.


Beliau berkata, usahawan sepatutnya memberi pendidikan serta maklumat tentang kebaikan produk dan bukannya menjuruskan tumpuan kepada diri sendiri.


“Kalau anda bodohkan diri untuk lariskan produk mungkin orang suka beli tetapi sekejap saja kerana apabila anda sudah tiada maka perniagaan anda juga mati.


“Kita sepatutnya mendidik pengguna tentang kebaikan produk yang kita keluarkan dan bukannya mencari ‘spotlight’ untuk diri sendiri.


“Apabila masyarakat mempunyai informasi yang baik mengenai produk kita, kalau kita mati sekalipun orang akan tetap cari produk kita,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk ‘Perintis Jutawan Muda’ di Kampus Kota Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa di sini hari ini.


Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK Prof. Datuk Dr Ibrahim Che Omar dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Keusahawanan Global (GERIC) UMK, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhamad.


Program tersebut adalah penamat bagi siri syarahan termasuk Syarahan Pengerusi dan Syarahan Pelantikan Profesor anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) UMK bagi tahun ini.
Sumber: Utusan Online | Nasional | 14 Disember 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan