Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 30 Disember 2017

Kecuaian punca kes curi motosikal meningkat di Kelantan

PASIR PUTEH: Kecurian motosikal mencatat kes tertinggi daripada 4,473 keseluruhan kes jenayah yang berlaku di Kelantan sejak Januari hingga semalam, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Beliau berkata 1,959 kes kecurian motosikal dilaporkan bagi tempoh berkenaan berbanding 1,913 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lepas.

"Kebanyakan kecurian motosikal berlaku disebabkan kecuaian pemilik kenderaan itu seperti meninggalkan kunci pada kenderaan dan meninggalkan motosikal dalam keadaan enjin masih hidup," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 10 mangsa banjir di Kampung Baru di sini, hari ini.

Sebelum itu, Hasanuddin beramah mesra dengan orang ramai dan peniaga di pasar minggu kampung berkenaan melalui program pencegahan jenayah Kepolisan Berprofil Tinggi (HPP). Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak Datuk Zawawi Othman dan ADUN Selising Zulkifli Ali. 

Hasanuddin percaya kerjasama pemimpin masyarakat dan orang ramai dengan polis akan dapat mengurangkan kes jenayah di negeri ini pada masa akan datang.

"Program HPP akan diteruskan sepanjang tahun depan kerana ia ternyata memberi impak terbaik kepada polis untuk mendapatkan maklumat bagi mencegah dan membendung kegiatan jenayah di sesuatu kawasan," katanya.

Mengenai penyeludupan dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia di kawasan sempadan, beliau berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kes berkenaan.

Sumber: Bernama | 28 Disember 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan